Tuesday, April 12, 2011

Kembali pada pimpinan Al-Quran!




Bismillahirrahmanirrahim...

Firman Allah dalam surah Azzariyat ayat 56 bermaksud.....
" Dan tidak Ku jadikan jin dan manusia melainkan untuk berubudiyyah kepadaKu."
 Itulah hakikatnya kita manusia ini, diciptakan oleh Allah hanya senya untuk mentauhidkan Allah SWT sahaja dalam kehidupan ini. Perlunya hakikat ini benar-benar dirasai di jiwa kita sebagai seorang manusia.......tanpa kesedaran ini manusia akan enggan mengakui dan mentauhidkan Allah dalam kehidupannya!

Perbezaan dijiwa ini pada tahap awalnya sungguh penting kerana cetusan rasahati inilah yang menentukan tindakan seterusnya. Perbezaan jiwa akan membuahkan perbezaan dalam mengambil nilai nilai dalam kehidupan ini!  Walaupun pada awalnya perbezaan yang wujud di jiwa ini sukar dilihat namun ia nya sungguh penting......kerana segala sesuatu tindakan bermula dari jiwa.....apa yang dirasai di lubuk jiwa inilah yang akan mencorakkan tindakan yang di ambil dalam kehidupan...!! Jadi kita tidak boleh meremehkan keyakinan yang tersemat dijiwa ......perlunya kita benar-benar mentauhidkan  Allah dalam hidup ini!

Sebenarnya jalan untuk kita melaksanakan apa yang dirasai dijiwa ini terbentang luas dihadapan mata kita....dalam Al-Quran yang diturunkan yang merupakan sumber hidayah dan manual kehidupan ini!
Namun sayangnya betapa ramainya manusia tidak mengindahkan dan merasa ragu-ragu untuk mengikuti jalan ini......dirasakan sukar dan terlalu banyak halangan-halangan. Sebenarnya hati itulah yang enggan dan ingkar......bukannya banyaknya halangan yang dihadapi! Hati yang ditipu oleh bisikan iblis dan syaitan yang sentiasa menyesatkan, membisikan di jiwa agar jalan yang baik dan selamat kelihatan susah, buruk  dan jalan yang buruk dan menyeleweng itu kelihatan baik. Perlunya kita melawan bisikan ini dan tetapkan hati......inilah yang perlu ku ikuti iaitu jalan Allah yang sebenarnya walaupun ianya sukar!!

Al Quran yang Allah turunkan itu bukanlah untuk menyusahkan kita manusia ini, malah sebenarnya melalui jalan inilah memudahkan kita untuk sentiasa dapat menghubungi Allah SWT sebagai seorang hamba yang memerlukan Allah setiap masa dalam hidup ini.  Firman Allah dalam surah Toha:1-2
"Hai manusia,  tidaklah Aku turunkanAl-Quran itu untuk menjadi susah." 

Dengan penurunan Al-Quran ini, menjadikan hati cukup senang kerana dapat sentiasa berhubung dengan Allah SWT , berinteraksi dengan Kalamullah yang mulia dan merasai seolah-olah sedang berhubungan terus menerus dengan Allah! Inilah yang dirasai oleh Rasulullah dan para sahabat-sahabat Rasul yang sentiasa menunggu-nunggu penurunan wahyu dari Allah....merasakan bimbingan, peringatan dan kasih sayang Allah pada setiap ayat yang di turunkan!! Bila wahyu Allah agak lambat diturunkan, betapa resah dan gelisah dan rindunya hati mereka menunggunya. Kita lihat bagaimana Bilal bin Rabah setelah wafatnya baginda Rasul.......menangis kerana tiadanya lagi wahyu diturunkan, rindu dan cintanya hati mereka pada peringatan Allah!    

Berbanding dengan kita.....Al Quran sudah lengkap diturunkan dan terbentang luas di hadapan mata kita. Apa yang perlu bagi kita ...hanya menyelak lembaran Al-Quran, membacanya dengan tadabbur dan cuba melaksanakan tuntutanNya. Tapi kita lebih suka menyelak lembaran akhbar yang menyiarkan berita-berita sensasi yang belum tentu kesahihannya! Sebenarnya berita-berita dalam lembaran Al-Quran lebih hebat dan lebih sensasi! Ia menceritakan azab neraka yang hebat, syurga yang penuh nikmat dan janji-janji Allah yang pasti benar dan soheh! Namun,  Al-Quran kita tinggalkan dalam almari buku dan dibaca sekali sekala bila perlu ketika kematian, dibulan Ramadhan dan ketika kita resah dan susah hati sahaja........

Bukan itu tujuan Al Quran diturunkan!! Jadi sama-samalah perbetulkan sikap kita terhadap Al-Quran petunjuk sepanjang jalan hidup ini!   

Bagi hati yang telah diproses dengan iman yang melahirkan ubudiyyah yang benar pada Allah......hati  itu  lembut, tawaddhu dan merasa  cukup senang, cukup gembira dan  cukup bertuah bila mendengar Kalamullah kerana dari setiap ayat yang didengar dan dibaca membawa kesan yang mendalam di jiwa untuk memperhambakan diri pada Allah!  Tapi hati yang lembut dan rendah hati pada yang selain Allah tidak akan merasai ketinggian dan kehalusan didikan Allah dari Al-Quran ini! Malah rasa panas dan tidak selesa setiap kali di perdengarkan peringatan dari Allah spertimana orang kafir Quraish menutup telinga mereka setiap kali Al-Quran dibacakan! 

Hati sebegini dipimpin oleh hawa nafsu yang pemimpinnya adalah syaitan. Syaitan ini hanya dapat  menguasai hawa nafsu bila nafsu ini memutuskan diri dari petunjuk hidayah dan pimpinan dari Allah SWT.

Jadi, jika kita faham dan sedar akan hakikat ini, sewajarnya lah kita tidak sewenang-wenangnya menukarkan pimpinan Allah dengan pimpinan syaitan....kelak kita akan merasai akibatnya bila kita akur dengan bisikan hawa nafsu dan syaitan ini! Hidup kita akan sentiasa keluh kesah, tiada ketenangan abadi, jiwa kita sentiasa diuliti masalah demi masalah yang membuntukan fikiran!  

Sebelum mengambil sesuatu keputusan dalam hidup ini.....berfikir panjanglah...adakah apa yang kita buat ini dalam redha Allah atau tidak,  atau hanya mengikuti kata hati yang tiada pimpinan dari Allah? Kembalikanlah segalanya kepada Allah..... mungkin kita rasa sesuatu itu baik bagi kita tapi sebenarnya ianya tidak baik....hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui apa yang terbaik bagi kita dalam hidup ini! Kita ini  manusia lemah yang hanya boleh mengukur dari pandangan akal yang sempit...tidak dapat menjangkau lebih jauh dari apa yang difikirkan.    

Sebenarnya kita manusia lemah itu tempat pergantungan diri kita dalam setiap aspek kehidupan ini hanya Allah semata-mata bukannya yang lain!! 

2 comments:

  1. asm

    didiklah hati untuk faham Al quran dan cuba laksanakan di dalam kehidupan secara menyeluruh

    ATH

    ReplyDelete
  2. Salam ziarah,menarik artikel yang di tulis.Saya menjemput saudara/saudari untuk memberikan pendapat,pandangan,komentar dan info tambahan di atas tulisan terbaru di blog saya berkaitan “Dakwaan makam Sahabat Nabi Saw ada di Malaysia”.Semoga Allah membalasi segala kebaikan saudara/saudari.Sekian,Terima Kasih.

    ReplyDelete

Hakikat hidup ini...

Siapa yang gemar membantu orang, Maka hidupnya senantiasa dipermudahkan. Siapa yang memiliki sikap belas ihsan, Maka akan disayang sesa...