Thursday, April 07, 2011

Sedekah yang mulia...


Bismillahirrahmanirrahim

Diriwayatkan oeh Abu Hurairah bahawa ada sesaorang  datang kepada Rasulullah saw dan berkata,” Wahai Rasulullah, sedekah bagaimanakah yang paling mulia? Rasulullah saw menjawab,” Engkau bersedekah dalam keadaan sihat , bakhil, takut miskin dan ingin kaya.  Jangan engkau tunda sedekah itu sehingga roh sudah mencapai kerongkongan, baru engkau berkata , Ini untuk si anu dan yang itu untuk si anu.”  (Riwayat Muslim)

Sesorang yang bakhil bermaksud dia takut hartanya berkurang dan takut miskin dalam keadaan dia sihat walfiat. Jadi dia sangat sayang pada hartanya sehingga ia takut bersedekah.  Jadi jika orang bakhil itu mahu bersedekah dan mengeluarkan hartanya , maka niatnya lebih tulus dan pahalanya lebih besar.

Berbeza sekali dengan orang yang bersedekah tapi pada ketika dia sudah sakit dan mungkin dia tiada harapan untuk hidup lagi.  Sedekahnya pada ketika sihat tadi lebih mulia dan bernilai sisi Allah berbanding ketika sakit!

Bagi syaitan,  tiada lebih berat baginya melainkan cuba mengagalkan niat orang yang ingin sedekah melalui tipudaya dan bisikan-bisikan ke dalam jiwa manusia. Melalui bisikan tadi syaitan akan mencampakkan rasa lemah ke dalam jiwa manusia agar enggan bersedekah kerana takut muflis , berkurangnya harta .

Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah :268 yang bermaksud...
“Syaitan menjanjikan kefakiran kepada kamu dan menyuruh kamu berbuat mungkar.  Dalam pada itu Allah menjanjikan keampunan dan anugerahNya.”

Dari hadis Riwayat Ahmad yang bermaksud...
“ Sebaik sahaja seorang itu mengeluarkan sedekah, maka tujuh puluh syaitan berhamburan menghalang sedekah itu.”

 Syaitan berusaha menghalangi sedekah kerana  sedekah merupakah amal jariah yang akan berkekalan.....

Kepentingan bersedekah membantu orang yang susah dan berkeperluan sangat di anjurkan oleh Rasulullah saw. Pernah suatu hari Rasulullah saw ketika bersama sahabatnya di datangi oleh sekelompok kaum yang tidak berkasut dan berpakaian compang camping. Kebanyakannya dari kaum Bani Mudhar.  Wajah Baginda Rasulullah berubah  kerana sedih melihat keadaan mereka yang miskin itu. Beliau masuk  dan keluar smula dan kemudian menyuruh   Bilal supaya azan dan qamat lalu beliau solat. Selepas solat Rasulullah berkhutbah dan membacakan ayat Al-Quran Surah An-Nisa ayat 1 yang bermaksud.....
" Wahai manusia! Bertakwalah kamu kepada Allah yang telah menciptakan kamu dari satu jiwa.  Dari satu jiwa tersebut Dia menciptakan pasangannya dan mengembang biakkan lelaki dan perempuan dengan banyak.  Bertakwalah kepada Allah yang dengan namaNya kamu saling meminta dan jagalah silaturrahim.  Sesungguhnya Allah Maha Mengawasi atas kamu." Kemudian beliau berkata lagi....'hendaknya setiap orang memberi sedekah dari setiap dnarnya, dirhamnya, pakaiannya dan dari tepung atau gandumnya serta kurmanya ........hinggakan beliau berkata, " walaupun dengan setengah buah kurma." 

Kemudian datang seorang lelaki Ansar membawa kantung yang hampir tidak terangkat oleh tangannya, diikuti dengan yang lain sehingga makanan dan pakaian terkumpul.....dan wajah Rasulullah berseri seri bahagia melihatnya. Kemudian beliau berkata," Sesiapa yang mempelopori satu kebaikan dalam Islam, dia mendapat pahala dari perbuatannya itu dan pahala orang-orang yang mencontohinya tanpa mengurangi pahala mereka sedikit pun. Sebaliknya, sesiapa yang mempelopori satu keburukan dalam Islam, ia memperoleh dosa dari perbuatannya dan dosa orang yang mencontohinya tanpa mengurangi dosa mereka sedikit pun... (Hadis Riwayat Muslim).

Jadi buatlah kebaikan yang dapat dicontohi orang lain supaya pahala yang didapati berterusan dan berlipat ganda...tapi jauhilah keburukan yang orang lain mengikuti apa yang kita perbuat...dosanya berlipat kali ganda pula!!

Mudah-mudahan Allah sentiasa merahmati kita semua, insyaAllah dan memimpin kita kejalan yang benar! 

3 comments:

  1. asm

    Bersedekah sesuatu yang kita cintai..itu yang terbaik
    AT

    ReplyDelete
  2. asm

    Bersedekahlah dengan sesuatu yang kita cintai...itu yang terbaik.
    AT

    ReplyDelete
  3. tersentuh dgn ayat quran yang dikongsikan..walaupun pyh utk diamalkan ..tetapi berusahalah wahai diri..

    ReplyDelete

Hakikat hidup ini...

Siapa yang gemar membantu orang, Maka hidupnya senantiasa dipermudahkan. Siapa yang memiliki sikap belas ihsan, Maka akan disayang sesa...