MENUJU MARDHOTILLAH

Belajar merupakan satu jihad di jalan Allah. Mengajar merupakan suatu jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah! ..Jadi belajar dan mengajarlah dengan penuh keikhlasan padaNYA.

Wednesday, November 17, 2010

Kelebihan ibadah hati berbanding ibadah fizikal


Firman Allah dalam surah Az-Zariyat : 56 yang bermaksud ....
" Dan tidak Ku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu."
Sepotong ayat yang seringkali kita dengar dalam ceramah dan usrah tentang matlamat kejadian manusia dan jin iaitu seluruh penghidupan ini adalah sebenarnya untuk ubudiyyah kepada Allah...menjadi hamba hanya senya kepada Allah SWT semata-mata. Pendekata apa saja yang kita lakukan sebenarnya adalah ibadah kita pada Allah SWT. Segala gerak geri kita sama ada zahir ataupun batin semuanya nya adalah ibadah. Diam kita, tidur kita, makan minum kita, senyum kita .....dari perkara sekecil-kecilnya hinggalah pada amalan yang besar.....semuanya tidak lari dari konsep ibadah pada Allah. Sehinggakan di bahagian bumi mana  kita berada, dalam ketika mana....hakikat ubudiyyah ini tidak boleh di pisahkan dari hidup ini!
   Namun perbandingan antara ibadah zahir dan batin, ibadah batin yang tersembunyi dalam jiwa kita adalah lebih utama. Ibadah  batin yang merupakan ibadah hati merupakan sesuatu yang sangat penting  kerana ia merupakan landasan amal sama ada amal kita Allah terima ataupun tidak.  Jika ibadah-ibadah  hati  itu baik, maka baiklah amalan-amalan zahir dan akhlak yang dimiliki. Jika buruk ibadah hati, maka buruklah amalan dan akhlak zahir yang dimiliki ! Kesempurnaan ibadah bukan hanya pada zahir, malah apa yang ada didalam jiwa pun perlu diambil kira!
      Untuk melakukan perubahan diri, ia mestilah bermula dari perubahan hati kita. Rasulullah saw berjaya mengubah masyarakat jahiliyyah kerana Baginda berjaya mengubah hati manusia. Mengubah hati manusia sebenarnya lebih sukar dari mengubah gunung! Tetapi  Baginda berjaya melakukan satu revolusi hati yang menyeluruh yang menghasilkan perubahan yang menyeluruh dengan menanamkan hakikat keimanan dalam hati para sahabatnya pada fasa Makiyyah selama 13 tahun. Ayat-ayat  Makiyyah ini penuh dengan persoalan keimanan yang menyentuh hati para sahabat sehingga keyakinan mereka cukup teguh dan mantap pada Allah dan Rasul.
    Jadi kita perlulah mengambil iktibar tentang bagaimana revolusi hati yang dilakukan oleh Rasulullah saw dan sebenarnya inilah kaedah terbaik yang perlu kita contohi dalam mendekati diri sendiri dan masyarakat untuk kembali pada Allah.
  
 Berbalik pada persoalan ibadah hati, ia  boleh di kategorikan kepada lima bahagian iaitu wajib, sunnat, haram, makruh dan harus.  
  •  Yang diwajibkan bagi hati adalah seperti ikhlas, tawakkal, khauf (rasa takut), raja' (berharap) dan taubat.
  •  Yang  sunnat dan dianjurkan bagi hati adalah menyempurnakan dari ibadah hati yang wajib tadi seperti ridha, khusyuk, rindu  dan jinak padaNya dan menuju kepadaNya. 
  • Yang diharamkan pada hati pula ada tiga perkara iaitu:
  1.  kekafiran seperti mengingkari Allah , syirik dan bersikap ragu-ragu 
  2.  berbuat dosa-dosa besar seperti riya, ujub, sombong, bangga diri, putus asa dari rahmat Allah, merasa aman dari makar Allah, gembira dengan bencana yang menimpa kaum muslimin, memaki musibah yang menimpanya dan dengki.
  3.  dosa-dosa kecil adalah dosa-dosa yang tidak sampai kepada dosa besar seperti hati berhasrat melakukan dosa-dosa kecil.
  • Yang dimakruhkan bagi hati adalah lalai terhadap Allah dengan ketergantungan yang berlebih-lebihan terhadap urusan duniawi, lintasan-lintasan hati yang merupakan fikiran yang sebenarnya dimana meninggalkannya tersebut lebih afdhal dari memikirkannya , namun ia tidak diseksa kerananya.
  • Yang diharuskan bagi hati adalah kekosongan jiwa dari makna-makna agung dan terlintasnya buah-buah fikiran duniawi yang menyibukan hatinya.
    Ibadah hati sebenarnya sangat besar pengaruhnya dan lebih indah dalam praktiknya. Ini adalah kerana hatilah yang merasai hakikat kebahagiaan, yang merasa dekat dengan Allah, patuh padaNya dan cahaya hati inilah yang tersebar kepada ibadah anggota fizikal yang lain.  Begitu juga bila hati bermaksiat pada Allah, pengaruhnya juga akan tersebar pada anggota fizikal yang lain berupa keburukan dan kejelekan akhlak.
   Hati adalah pusat ilmu dan ketakwaan, cinta dan benci, ragu-ragu dan bencana. Hatilah yang tahu tentang Allah, menuju kepadaNya: anggota tubuh lain hanyalah sebagai pengikut hati yang patuh dan  sedia berkhidmat menurutinya. Persisnya adalah seperti seorang tentera yang siap siaga menunggu arahan dari ketuanya! 
    Apabila ibadah hati diambil perhatian yang berat dan khusus, akan memperolehi kemenangan yang besar dan unggul seperti yang dilakukan oleh ulama salaf.  Diantara kelebihan ibadah-ibadah hati berbanding ibadah fizikal  adalah.........
  • Ibadah fizikal akan rosak jika rosaknya ibadah hati.
Contohnya seperti tidak ikhlas, sombong dan hasad dengki. Tanpa ikhlas dalam beramal akan membawa kepada syirik dan nifaq. Bila sombong , tiadanya tawaddhu' atau rendah hati dalam amalan, maka akan rosaklah amalan tersebut. Tawaddhu' dalam amalan adalah penting kerana  ia merupakan ibadah hati yang sangat besar. . Sifat sombong pula menghalang dari masuk syurga meskipun amalan-amalan yang dibuat sangat banyak. Sedangkan dengki menghilangkan kebaikan sesaorang kerana dalam hatinya ada api yang terus menyala-nyala yang membahayakan saudara semuslim. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud.....................
" Hati-hatilah dengan dengki sebab dengki dapat memakan kebaikan-kebaikan sebagaimana api memakan kayu api atau rumput kering."
  • Ibadah hati sebab mendapat darjat yang tinggi disyurga
Ibadah hati seperti kecintaan pada Allah, rindu padaNya, bertawakkal, bertaubat padaNya, memohon bantuan dariNya, terikat jiwa denganNya........sungguh besarnya pahala ibadah ini dan tingginya darjat orang yang beribadah dengannya disyurga nanti. Hal ini tidak berlaku pada ibadah fizikal walaupun betapa besar dan agungnya ibadah fizikal tersebut. Para Nabi beroleh keistimewaan dan darjat yang tinggi disisi Allah kerana keistimewaan ibadah hati mereka.
  • Ibadah hati lebih berat dari ibadah fizikal
Maksiat-maksiat yang dilakukan oleh hati lebih berat dan besar berbanding ibadah fizikal contohnya sifat syirik dan sombong yang mana diharamkan surga bagi mereka yang mempunyai sifat sebegini kecuali apabila Allah menghendaki atau orang yang sombong itu bertaubat. Sabda Nabi saw...
" Tidak akan masuk syurga sesaorang yang dalam hatinya terdapat sifat sombong sebesar biji sawi."
  • Ibadah hati lebih indah dan nikmat dari ibadah fizikal
Kelazatan ibadah hati hanya akan dinikmati oleh orang yang merasainya ketika berhubung dengan Allah SWT. Kenikmatan dan kelazatan sebenar didunia ini adalah apabila hati mencintai Allah SWT, jinak dan rindu padaNya, berjalan menujuNya dan berpaling selain dariNya. Melalui ibadah hati, ibadah fizikal dapat diperelokkan, contohnya solat yang dibuat dengan khusyuk lebih nikmat dan berkesan dijiwa berbanding solat orang yang hatinya lalai dari mengingati Allah. Ia dapat meningkatkan hubungan dengan Allah, dan tertingkatnya iman dan takwa.
  • Ibadah hati lebih besar dari  ibadah fizikal
Ulama salaf lebih mengutamakan ibadah hati berbanding ibadah fizikal. Abu Darda r.a. mengatakan, 
 " Berfikir (bertafakkur) seketika itu lebih baik daripada solat semalaman suntuk."
Ibadah-ibadah hati adalah asas tercapainya ihsan kerana ihsan itu dibangun di atas landasan muraqabah (perasaan sentiasa beroleh pengawasan dari Allah). Sedangkan ihsan adalah peringkat tertinggi dalam agama iaitu seperti sabda Nabi saw....
   "Ihsan itu adalah apabila engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihatNya, dan jika engkau tidak dapat melihatNya, maka Dia melihat kamu." 
  • Ibadah hati mendorong ibadah fizikal
Apabila hati beriman pada Allah, mencintaiNya ia akan mendorong anggota tubuh untuk beribadah
padaNya. 'Utbah bin Ghulam mengatakan......
" Sesiapa yang mengenali  Allah, pasti ia mencintaiNya, dan sesiapa yang mencintaiNya, pasti ia mentaatiNya." 
Iman yang ada didalam jiwa merupakan pemancar atau penggerak utama (masdar wahid) dalam melakukan amalan zahir. Peningkatan iman sebenarnya berkadar terus dengan peningkatan amal.
  • Ibadah Hati membesarkan ibadah fizikal
Tanpa ibadah hati, ibadah fizikal tidak bererti contohnya amal tanpa niat  yang ikhlas bukanlah ibadah namanya. Imam  Abdullah bin Al-Mubarak berkata......
   " Banyak sekali amal yang kecil menjadi besar kerana niat dan banyak sekali amal yang besar menjadi kecil kerana niat."
Niat  yang berada di dalam hati  merupakan amalan hati yang tersembunyi yang menentukan kualiti amalan zahir. Kualiti amalan zahir bergantung pada kualiti amalan hati pelakunya bahkan juga ia menentukan nilai diri sesaorang.  Sabda Rasulullah saw yang bermaksud.....
    "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa paras kamu dan harta kamu, tetapi melihat kepada hati-hati dan amalan kamu."  
Firman Allah dalam surah A-Syuara :88-89 yang bermaksud.....
      " (Hari Kiamat adalah) hari yang mana tidak berguna harta dan sekelian anak pinak kecuali orang yang membawa hati yang sejahtera." 
Kisah seorang ahli abid yang rajin solat malam pada malam hari dan berpuasa sunat pada siang hari namun Rasulullah saw mengatakan ia ahli neraka kerana lidahnya suka mencela jirannya. Bencana lidah ini mencampakkannya kedalam api neraka meskipun amalannya banyak. Dan sebenarnya lidah yang suka mencela  menunjukkan hati yang masih kotor.
      Jadi tidak akan lurus iman di jiwa selagi tidak lurus dan bersih hati sesaorang.Tidak akan lurus dan bersih hati selagi tidak lurus lidahnya. 
  • Ibadah hati berterusan tiada hadnya , sedangkan ibadah fizikal terhenti ,ada hadnya
Ibadah hati akan sentiasa menyertai sesaorang  itu samada terjaga atau tidur, sihat atau sakit...pendekata dalam semua urusannya, tiada had untuk melakukannya. Sedangkan ibadah fizikal memiliki waktu dan batas tertentu untuk melakukannya .Ibadah fizikal terputus ketika tidur, ketika melakukan tugas-tugas duniawi, menyelesaikan hajat diri dan keluarganya dan sebagainya. Bila ibadah  hati ini sentiasa menyertai sesaorang hamba Allah SWT dalam kehidupannya, betapa besarnya kebaikan  dan pahala yang akan diperolehnya berbanding ibadah fizikal yang sering terputus.
  • Ibadah hati kadang-kadang dapat mengganti ibadah fizikal.
Contohnya jihad. Jika jihad sukar dilaksanakan atas sebab-sebab uzur syarie, mengajak hati untuk berjihad, ada tekad dan niat untuk berjihad dapat mengantikan posisi jihad. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud.....
    "Sesiapa yang mati sedangkan ia belum pernah berjihad(berperang) dan jiwanya tidak pernah berniat untuk berjihad maka ia mati berada di atas salah satu cabang kemunafikan."

       Dari keterangan diatas, jelas sekali keutamaan ibadah hati berbanding ibadah fizikal dari segi keindahan dan besar pengaruhnya terhadap diri sesaorang. Melakukan ibadah hati dapat mengubati hati yang sakit ,meneguhkannya dan  menjadikan ia lebih sensitif dengan ayat-ayat Allah. Segala amal ibadah terutamanya amal hati dapat membersihkannya manakala dosa mengotori hati. Hakikat perjalanan hidup ini adalah untuk mempersembahkan hati yang bersih kepadNya. Keuntungan atau kebahagiaan hidup manusia ditentukan oleh usaha membersihkan hati atau mengotorinya.
Firman Allah dalam surah Al-Syam : 9-10 yang bermaksud.....
" Dan beruntunglah orang yang membersihkan jiwa dan merugilah orang yang mengotorinya."
     Hati yang bersih, dipenuhi cahaya iman, takwa dan sifat mahmudah mempunyai kuasa yang cukup hebat dan luarbiasa umpama magnet yang menarik sesuatu yang diluar kita. Apa yang bersemi dihati menentukan apa yang diterima dan ditarik dari luar. Hati yang baik akan menarik kebaikan  dari luar.
       Hakikat kebahagiaan diri bukannya boleh dicapai melalui yang zahir tetapi ia hanya di peroleh dengan yang batin iaitu hati. Walaupun kita punya seluruh dunia ini dan segala isinya, hati tidak akan beroleh kebahagiaan yang sebenarnya melainkan setelah hati itu kembali berhubung dengan pemilik hati manusia iaitu Allah! Kepada Allah jua kita pohonkan segala kekuatan untuk memproses hati kita, membuang segala karat-karat jahiliyyah yang telah bersemadi dalam jiwa yang mengganggu gugat hubungan kita dengan Allah!  

Rujukan 
Rahsia Penyinar Hati
Majalah Solusi

1 comment:

  1. asm

    Islam mengajak kita meneliti dan membelek-belek hati kita ini, mengenalinya dan mengubat sakitnya. Apabila hati terubat kita akan dapati hati-hati kita penuh dengan cahaya kebahagiaan, ketenangan dan kelapangan. Inilah syurga sementara sebelum kita bertemu dengan Allah SWT untuk menerima yang kekal abadi selamanya. TETAPI didalam banyak hal kita gagal malah dengan hati berpenyakit ini kehidupan kita rosak dan pincang...

    ReplyDelete

Peringatan....

Jika engkau mahukan teman...
Cukuplah Allah sebagai teman.
Jika engkau mahukan musuh..
Cukuplah nafsu sebagai seteru..
Jika engkau inginkan hiburan..
Cukuplah Al-Quran sebagai hiburan..
Jika kamu inginkan nasihat..
Cukuplah mati sebagai penasihat.

Link within

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Surah Al Isra' : 72

"Barangsiapa yang buta(hati) di dunia ini, maka dia juga akan buta di akhirat kelak dan lebih sesat jalannya."

Kehadiranku di website ini.......

Daisypath - Personal pictureKehadiranku di sini....

visitor's map....