Friday, November 05, 2010

Konsep kejayaan dari kacamata Islam

      Konsep kejayaan Islam yang sebenarnya adalah mengikut apa yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Kejayaan disisi Allah adalah berbeza dengan konsep -konsep kejayaan yang sering dilaung-laungkan oleh Deen bukan Islam. Realiti masyarakat menilai kejayaan apabila mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam, mendapat pangkat yang tinggi, berjaya mendidik anak sehingga hampir kesemua anak-anak berjaya ke menara gading dan kemudian berjawatan tinggi, menjadi ushawan yang kaya raya......pendekata penilaian kejayaan adalah dari segi material belaka!
    Kejayaan sebenar ukurannya ukhrawi.....sejauhmana ia menepati kehendak-kehendak Allah dalam kehidupan ini. Walaupun berjaya dari segi material, tapi bila kejayaan tidak seiring dengan apa yang Allah kehendaki, ia tertolak.....walaupun ia berjaya memiliki dunia sekalipun!
    Firman Allah dalam Surah Al-Hujurat :15 yang bermaksud........
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah orang yang beriman kerana Allah dan Rasulnya kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka dijalan Allah.  Mereka itulah golongan yang benar."
     Hakikat kejayaan adalah apabila beriman hanya pada Allah dan Rasul tanpa ragu-ragu sedikit pun terhadap risalah Allah yang di bawa oleh Rasulullah. Ini dibuktikan melalui pengorbanan harta, tenaga, masa, bahkan  jiwa dan raga sekalipun. Keimanan yang bukan hanya ucapan di bibir sahaja tetapi terbukti dengan tindakan! Inilah dia iman yang Allah akui sebagai iman yang benar.
      Firman Allah lagi dalam Surah Al- Maidah: 100 yang bermaksud......
" Katakanlah tidak sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyak yang buruk itu menarik hatimu, maka bertaqwalah kepada Allah hai orang-orang yang berakal agar kamu mendapat kejayaan."
       Apabila  akal seorang Muslim itu mengikut telunjuk taqwa, dan dia dapat membezakan antara yang baik dan buruk, dan tidak mengikuti yang buruk itu meskipun ia banyak dan menarik hati......inilah dia kejayaan! Dengan taqwa yang ada dihatinya,  dia mampu menjaga dirinya agar tidak tergelincir kepada yang dimurkai Allah. Orang yang beriman dan bertakwa ini tetap istiqamah  di atas jalan Islam yang lurus dan mendapat keberuntungan disisi Allah. Keyakinan mereka mantap dan tidak goyah walaupun mereka berada di tengah-tengah Deen yang bukan Islam yang menguasai masyarakat. Keperibadian mereka mempengaruhi masyarakat dan mereka tidak terpengaruh oleh masyarakat!
     "  Mereka itulah orang-orang yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhannya dan mereka itulah orang-orang yang beruntung."  (Surah Al- Baqarah:5)
      Kejayaan juga bermaksud apabila iman yang betul yang di bentuk  di jiwa mampu melahirkan ukhuwwah sejati sesama Muslim. Ukhwwah atas dasar iman ini adalah satu ikatan hati yang teguh di mana melangkaui batas-batas bangsa, geografi, sejarah.....
    " Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara. Kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat." (Surah Al-Hujurat:10)
     Ikatan iman ini lebih kuat dari ikatan darah....kerana hati-hati mukmin disatukan atas nama Allah. Iman yang sebenarnya melahirkan ukhuwwah....di mana setinggi-tinggi ukhwwah adalah mendahulukan sahabat semuslim lebih dari diri sendiri. Hakikat ini dibuktikan dalam sirah para sahabat generasi Al-Quran terdahulu yang merasai kemanisan iman dan ukhuwwah ini......mereka melebihkan dan mendahulukan sahabat walaupun diri sendiri sangat memerlukan! Begitulah pengaruh iman yang benar pada jiwa yang pasrah pada Allah! Adakah diri kita sanggup berbuat sedemikian? Iman yang ada di hati kita sahajalah yang akan menjawab persoalan ini!!
      Kejayaan juga adalah apabila Muslim yang dibentuk imannya dapat melahirkan akhlak terbaik, mengajak kepada yang maaruf  al-Akbar dan mencegah mungkar al-Akbar pada diri , keluarga dan masyarakat. Firman Allah dalam surah Ali-Imran:10 yang bermaksud.......
     " Kamu adalah ummah yang terbaik yang dilahirkan di tengah umat manusia dan kamu menyeru kepada yang maaruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman pada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, dan di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik."
       Mungkar Al-Akbar adalah kejahatan yang paling besar  iaitu apabila manusia mengambil illah lain selain Allah SWT dalam kehidupan. Dalam kehidupan, nilai yang di ambil bukan nilai Allah, neraca hidup bukan neraca Allah.....mereka mengambil hawa nafsu dan syaitan sebagai illah atau sembahan yang diikuti. Apa yang Allah suruh dipandang sepi....tidak dihiraukan! Inilah dia mungkar yang perlu dibentras dari jiwa habis-habis dan diganti dengan maaruf al-Akbar iaitu kembali kepada ubudiyyah hanya pada Allah dalam setiap aspek hidup!. Ini memerlukan kepada proses tarbiyyah yang berterusan, kesungguhan dan istiqamah dalam memproses diri supaya dapat membuang semua sekali unsur-unsur syirik ini! Inilah dia kejayaaan yang sebenarnya!
       Persediaan jiwa yang betul perlu ada jika ingin kembali pada Allah iaitu jiwa yang  ikhlas yang menyerahkan hatinya untuk diproses dengan tarbiyyah islam  yang akan melahirkan iman yang sebenarnya, kesedaran dan kefahaman islam yang bersih. Kesedaran dan kefahaman Islam yang  mendasari jiwa  inilah yang membuatkan ia bingkas bangun dan melaksanakan tuntutan Allah dengan segera tanpa ragu-ragu. Dia sanggup mengorbankan segala-galanya untuk Allah! Hari ini umat Islam bukannya kekurangan masjid sebagai tempat ibadah, tapi kekurangan hati-hati yang bersedia menerima Islam yang syumul sebagai pedoman hidup. Hati yang hingga  benar-benar melahirkan iman yang menjadi pancaran utama yang mencetuskan amal dan tindakan!    
     Sebagai muslim inilah yang perlu kita sedari apakah tuntutan Islam pada diri kita.  Segala pandangan dan neraca hidup kita perlu kita selarikan dengan Islam. Nilai yang kita ambil, nilai Islam, rujukan kita adalah rujukan Islam. Barulah benar pengakuan diri kita sebagai Muslim , bukan hanya pada nama sahaja. Islam kita bukannya Islam warisan dari datuk nenek kita..... pendekata jika apa yang kita warisi yang bercanggah perlu diperbetulkan......  supaya selaras dengan kefahaman Islam yang sebenarnya!!

1 comment:

  1. asm
    Ya kita perlu kpd Islam untuk menjamin kehidupan dunia dan Akhirat..Tapi jln mestilah yang telah di tunjukan kpd kita oleh Rasullullah SAW...Dlm semua aspek kehidupan bukan hanya bahagian -bahagian yang sesuai dengan kehendak kita saja..Allah mMaha mengetahui.

    ReplyDelete

Hakikat hidup ini...

Siapa yang gemar membantu orang, Maka hidupnya senantiasa dipermudahkan. Siapa yang memiliki sikap belas ihsan, Maka akan disayang sesa...