MENUJU MARDHOTILLAH

Belajar merupakan satu jihad di jalan Allah. Mengajar merupakan suatu jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah! ..Jadi belajar dan mengajarlah dengan penuh keikhlasan padaNYA.

Tuesday, February 22, 2011

Wasiat pertama dari Luqman Al-Hakim- Janganlah kamu menyengutukan Allah!

Bismillahirrahmanirrahim...

Allah berfirman melalui lisan Luqman yang bermaksud......
" Dan ingatlah ketika  Luqman berkata kepada anaknya semasa dia memberi nasihat kepadanya: 'Wahai anak kesayanganku, Janganlah kamu menyengutukan Allah(dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu satu kezaliman yang besar."  (Surah Luqman, 31:13)

Luqman yang merupakan seorang yang diberi Allah hikmah dan kebijaksanaan memberikan wasiat utama yang paling penting yang mesti di berikan oleh seorang bapa kepada anak kesayangannya iaitu janganlah sekali-kali sianak menyengutukan Allah yang merupakan satu kezaliman besar dan punca mendapat kecelakaan di dunia dan akhirat!

 Nasihat yang diberikan dengan penuh kasih sayang kerana.........melalui perasaan kasih sayang dari jiwa bapa inilah yang  membuatkan si anak memasang telinga dan seluruh jiwa raganya  untuk menerima nasihat ikhlas seorang ayah yang hanya menginginkan hanya kebaikan dari anaknya. 

Satu iktibar bagi kita apabila ingin menasihati anak atau sesiapa sahaja  perlunya ada rasa kasih sayang dalam diri dan pentingnya wujudnya jambatan hati yang menghubungkan jiwa supaya nasihat dapat diterima dengan baik .......bukannya terus menasihati dengan marah atau tanpa berfikir panjang atau melakukan sesuatu tindakan melulu sehingga akhirnya boleh merenggangkan hubungan, berkecil hati dsb...! Walaupun niat asalnya baik, namun jika diberi nasihat tanpa hikmah, maka natijah yang hajati tidak diperolehi....sebaliknya si anak atau saudara kita, sahabat kita semakin menjauhkan diri dari kita!! Tentu kita tidak inginkan sedemikian! 

 Tidak semua orang dapat menerima nasihat yang keras atau direct....jiwa manusia ini ada berbagai-bagai...... yang lembut, yang sensitif,  yang keras.......jadi perlunya berinteraksi dengan jiwa manusia itu dengan hikmah. Dan sebenarnya nasihat yang datangnya dari hati yang penuh kasih sayang tidak pernah ditolak oleh jiwa manusia!

Sebenarnya nasihat dan peringatan  yang datangnya dari hati akan masuk ke hati. Namun,  sebelum itu perlu ada persediaan jiwa  dari pemberi nasihat dan penerima nasihat. Yang memberi nasihat tidak boleh ada rasa ego atau tinggi diri dialah yang lebih baik, sementara yang menerima nasihat perlu ada kerendahan hati , mengakui kesilapan, insaf diri dan ingin memperbaiki diri dalam menerima nasihat dari orang lain.  Nasihat yang diberikan juga perlu berhikmah umpama menarik dengan teliti sehelai rambut dari tepung.......walaupun.rambut dapat di tarik keluar namun tepung tidak terusik! Begitu indahnya tarbiah Islam dalam menjaga hubungan sesama manusia walaupun dengan anak dan keluarga sendiri!

Nasihat  Luqman yang penuh kasih sayang kepada anaknya  supaya jangan mensyirikkan Allah dalam kehidupan kerana syirik adalah dosa terbesar di sisi Allah. Ia merosakkan rububiyyah Allah, menghina uluhiyyah Allah dan berburuk sangka dengan Allah.  Semua dosa lain diampun oleh Allah kecuali syirik dan perlu betul-betul bertaubat dengan taubat nasuha untuk melepaskan diri dari dosa syirik ini. Firman Allah tentang hal ini dalam surah An-Nisa : 48 yang bermaksud..........

" Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa (syirik) menyengutukanNya dan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya .  Dan sesiapa yang menyengutukan Allah, sesungguhnya dia telah melakukan satu dosa yang besar."

Menurut seorang ulama Syaikh Sulaiman bin Abdurrahman Al-Hamdan , orang yang bertauhid dan beriman dengan Allah harus takut dan sentiasa waspada tentang syirik, mengenali sebab-sebabnya, mediumnya dan jenis-jenisnya agar tidak terjatuhkan kedalam syirik tanpa disedari.

Seorang sahabat Rasulullah saw,  Hudzaifah bin Al-Yaman berkata, " Orang ramai bertanyakan kepada Rasulullah tentang kebaikan sedangkan aku bertanya tentang keburukan kerana saya khuatir kalau terjatuh kedalamnya." Ini disebabkan kejahilan boleh mengarah kepada kemungkaran dan kekufuran.  Sayyidina Umar Al-Khattab berkata tentang hal ini," Tali Islam akan terurai sedikit demi sedikit apabila orang yang berada dalam Islam tidak mengenali kejahiliyahan."

Syirik dalam kaitan dengan amal perbuatan umpama api dan kayu, ia memakan dan membakar amal! 
Syirik mengugurkan amal secara keseluruhannya tak kiralah ianya syirik kecil atau besar!  Jadi perlu adanya rasa takut dalam hati kita akan syirik yang sangat merbahaya ini. Antara sebab kenapa perlunya ada rasa takut ini adalah kerana....
  • Syirik adalah satu kezaliman dan dosa yang paling besar dan tidak terampun. Ia mengurangkan hak-hak Allah SWT dengan memberikan hakNya kepada yang lain selainNya lantas menyengutukanNya. Sedangkan Allah yang Maha Agung dan Maha Berkuasa tidak layak disamakan dengan yang makhluk  yang lemah yang tidak punya ada apa-apa kuasa! 
  • Hakikatnya seluruh urusan kehidupan ini dan perjalanan seluruh alam semesta ini berada di dalam tangan Allah SWT dan segala urusan kembali kepadaNya. Apa yang Allah kehendaki pasti terjadi manakala mana yang tidak dikehendakiNya tidak akan terjadi. Tiada sesiapa yang boleh menghalangi pemberianNya dan rahmatNya. Keyakinan sebeginilah perlu menghunjam di hati kita. Tanpa keyakinan ini atau kurangnya keyakinan ini, kita akan mudah tersasar dalam melayari bahtera kehidupan yang penuh pancaroba ini.............. 
  • Syirik merupakan kemuncak pembangkangan terhadap Rabb seluruh alam, angkuh dan sombong kepada Allah, tidak tunduk dan patuh padaNya. Tiada kebaikan pada seluruh alam kecuali dengan hanya tunduk dan patuh padaNya dan mengakui kekuasaanNya yang tiada tandingannya. Tanpa sifat tunduk dan patuh pada Allah, seluruh alam ini akan runtuh dan hancur! Bila tiada lagi tunduk dan patuhnya manusia pada Allah, di ketika itu akan berlakulah kiamat seperti sabda Rasulullah yang bermaksud........." Kiamat tidak akan berlaku sehingga dibumi ini tiada lagi menyebut Allah, Allah." (Hadith Riwayat Muslim)
Membuat tandingan selain Allah ini terbahagi 2 jenis iaitu yang pertama menjadikan tandingan berupa makhluk Allah  sebagi sekutuNya  dalam ibadah.  Dengan kata lain, terang-terang menyembah selain Allah sebagai Tuhan, seperti berhala, bulan bintang dan sebagainya....ini adalah syirik besar dan pelakunya akan kekal dalam neraka dan menerima azabNya. Ia hanya boleh diampun dengan bertaubat.

Yang kedua, adalah syirik kecil iaitu membuat tandingan selain Allah dalam ucapan seperti mengatakan, "Andaikata Allah dan saya menghendaki.........andainya bukan kerana alarm yang saya pasang ini, tentu pencuri akan masuk ke rumah.....andainya kalau tak makan ubat ini, tentu penyakitnya akan bertambah melarat! Sebenar segala sesuatu mestilah disandarkan hanya pada Allah sahaja, bukan pada sesuatu selain Allah. Memakan ubat dan pasang alarm hanya ikhtiar kita saja untuk mengelakkan sesuatu yang tidak diingini, tapi yang menentukan akan sesuatu kejadian itu hanya dengan izin Allah jua!! Jadi hati-hatilah dengan apa yang kita ucapkan...........

Rasulullah saw bersabda,'  Sesungguhnya yang paling aku takutkan terhadap kamu adalah syirik yang kecil.'  Para sahabat pun bertanya,' Apakan syirik yang kecil itu, ya Rasulullah?'  Rasulullah menjawab, ' Riya.'  Hati yang riya iaitu menunjuk- nunjuk dalam amal juga tergolong dalam syirik kecil. Pernah disabitkan oleh baginda syirik yang kecil ini kadang-kadang sukar dikesan umpama semut yang hitam yang berjalan diatas batu yang hitam dalam malam yang gelap gelita.  Jadi selalulah memohon bantuan dari Allah untuk menghidari diri kita dari penyakit hati yang merbahaya ini!

Walaupun sahabat-sahabat Rasulullah saw ini mempunyai keimanan yang kuat dan ilmu yang mantap, tetapi Rasulullah tetap khuatir jika syirik kecil ini menimpa sahabatnya.  Apatah lagi kita! Dengan iman setipis kulit ari, tidak mantap dan banyak ragu-ragu, ilmu yang sedikit .....sepatutnya kita perlu rasa sangat khuatir dan sangat takut syirik ini menimpa kita! Ia akan merosakkan seluruh amal kita yang tidak seberapa ini.......sehingga tiada apa lagi yang tinggal....kita muflis disisi Allah SWT!

Sebagai Muslim, kita perlu tahu dan faham sebenarnya iman dan aqidah tauhid adalah tunjang atau asas kepada bangunan Islam. Tanpa tunjang atau asas yang kukuh bangunan Islam akan goyang dan boleh runtuh.  Jadi semakin tinggi sesebuah bangunan itu kita nak bina,  semakin perlunya asas bangunan itu lebih kukuh. Begitu juga dengan bangunan Islam! Kukuhkan asasnya...... tingkatkan amal soleh, ajak kepada maaruf dan cegah kemungkaran, bina individu muslim, keluarga muslim, masyarakat Muslim, tegakkan daulah Islamiah........ Semua ini memerlukan kepada asas yang kukuh yang tertanam dijiwa....iaitu keimanan yang kuat pada Allah SWT. Inilah benteng diri yang kukuh dalam diri Muslim yang memampukan diri untuk bertahan menghadapi ujian Allah SWT.

Jadi perlu kita fahami untuk melakukan pembaikan diri, keluarga dan masyarakat..........mestilah dimulakan dengan menanamkan benih iman, menjaganya agar tidak rosak, memperkuatkannya setiap masa......dengan itu ia dapat mengubah hati manusia yang sebenarnya kadang-kadang lebih keras dari batu. Jalan untuk memperbaiki dan meningkat diri selain dari jalan akidah tauhid ini akan menemui jalan buntu, sukar, kasar,  banyak halangan , dan tidak mampu menghadapi godaan dunia yang hebat ini...........

Inlah satu-satunya jalan bagi mereka yang ikhlas,  ingin kembali kepada Allah... iaitu jalan dengan mengukuhkan  asas iman dengan mengenali Allah dengan pengenalan hati yang sebenarnya, mengenali nama dan sifat-sifatNya yang mulia, mengenali apakah perintah dan laranganNya......dan setelah itu memurnikan seluruh ketaatan dan ketundukan hanya pada Allah dan Rasul  semata-mata!  

Ayuh, marilah kita bangunkan hati kita atas dasar makrifatullah ini....nescaya bangunan Islam yang ingin kita bina dalam diri dan keluarga kita akan kukuh dan mantap.  Yakinilah, sebenarnya tiada jalan alternatif yang lain untuk sampai kepada keredhaan Allah, melainkan jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah tercinta!

1 comment:

  1. asm
    syirik atau menyengutukan Allah atau tidak menghubungkan diri dengan Allah atau merasakan yang lain lebih berkuasa dari Allah atau menyalahkan takdir selalu berlaku pada amalan kita seharian. Cthnya peristiwa yang sudah berlaku kita tidak terima disebabkan faktor tidak menyebelahi kita ...kita akan mengatakan tidak sepatutnya berlaku, atau kalau tidak buat, kalau aku tidak kahwin atau kalau tidak pergi... dll tetapi perkara itu telah berlaku atas kehendak Allah...kita masih tidak boleh terima. Jadi peroses lah diri untuk kaitkan segala peristiwa dengan kebesaran dan kehendak Allah bukan kehendak manusia atau dunia...

    ReplyDelete

Peringatan....

Jika engkau mahukan teman...
Cukuplah Allah sebagai teman.
Jika engkau mahukan musuh..
Cukuplah nafsu sebagai seteru..
Jika engkau inginkan hiburan..
Cukuplah Al-Quran sebagai hiburan..
Jika kamu inginkan nasihat..
Cukuplah mati sebagai penasihat.

Link within

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Surah Al Isra' : 72

"Barangsiapa yang buta(hati) di dunia ini, maka dia juga akan buta di akhirat kelak dan lebih sesat jalannya."

Kehadiranku di website ini.......

Daisypath - Personal pictureKehadiranku di sini....

visitor's map....