Sunday, November 07, 2010

Setelah melakukan ketaatan, beristighfarlah.......

      Selama ini  apa yang kita fahami apabila kita berbuat dosa, perlunya kita istighfar dan memohon ampun dari Allah kerana kita telah menzalimi diri sendiri dengan berbuat dosa. Kita perlu cepat-cepat bertaubat dari dosa dan berazam tidak akan melakukannya lagi kerana takutkan azab dan kemurkaan Allah SWT. Melengahkan diri dari bertaubat dari dosa sangat bahaya sebab kita tidak tahu bila kita akan dipanggil pulang oleh Allah SWT. Dengan bertaubat dapat membersihkan diri kita dari dosa.
      Namun beristighfar juga dituntut setelah kita melakukan ketaatan contohnya setelah kita solat, puasa dan semasa kita mengerjakan haji....pendekata setelah selesai melakukan apa sahaja ibadah pada Allah kita juga perlu beristighfar dan memohon ampunan dari Nya. Kenapa perlu demikian?
     Sebenarnya berapa banyak atau besarnya pun amalan yang kita lakukan, dengan amalan itu sahaja tidak dapat menyelamatkan kita dari api neraka atau pun dengan amalan itu kita beroleh syurga! Sebanyak manapun amalan yang kita lakukan, ia tidak mampu jadi penyelamat bagi kita. Kita sebenarnya diselamatkan dari neraka atau dimasukkan kesyurga hanya kerana rahmat dan kurniaan Allah semata-mata! Amalan itu hanya menjadi asbab saja bukanlah semata-mata disebabkan kerana kita banyak beramal, maka kita beroleh syurga.....
     Sebenarnya Allah mempunyai hak ke atas kita iaitu hak untuk ditaati dan hak untuk disyukuri segala nikmatNya. Setiap nikmat yang Allah kurniakan kepada hambaNya mempunyai harga yang tinggi nilainya..........
Firman Allah dalam Surah An-Nahl: 78 yang bermaksud......
     " Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati agar kamu bersyukur." 
      Segala nikmat pendengaran, penglihatan dan hati yang Allah kurniakan kepada kita wajib disyukuri yang mana kesyukuran ini merupakan ibadah padaNya. Sebagai membuktikan ubudiyyah kita pada Allah, kita mestilah menggunakan nikmat  ini sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah iaitu dalam rangka ketaatan padaNya. Kita gunakan telinga kita untuk mendengar ayat-ayat Allah,  menggunakan mata kita untuk melihat kebesaran Allah dan lantas dengan itu hati kita tunduk, patuh, beriman dan bertakwa padaNya! Inilah dia hakikat kesyukuran padaNya!
      Seandainya seorang hamba Allah itu berusaha untuk menghitung nikmat dan kurnia Allah padanya, nescaya tidak akan mampu membalas nikmat dan kurniaan itu walau dengan apa pun meskipun bersujud sepanjang hayat!! Jika di akhirat nanti Allah menagih haknya tadi pada kita untuk di penuhi.....nescaya akan binasalah kita. Kita tidak mampu memenuhi semua hak Allah pada kita!!
Sama-sama kita renungilah firman Allah ini....
        "Kemudian kamu pasti akan ditanya pada hari itu tentang nikmat (yang kamu megah-megahkan di dunia itu)."  (Surah At-Takaathur :8)
     Jadi, jika Allah menanyakan pada kita tentang segala nikmat dan kurniaanNya pada kita dan Allah menagih hakNya untuk dipenuhi.....sedangkan kita insan lemah ini tidak mampu melakukannya, sungguh tidak mustahil, kita akan masuk neraka! Ini  adalah kerana seluruh amalan kita akan tidak boleh memenuhi hak Allah itu kerana ia terlalu besar untuk dipenuhi! Tiada sesiapa pun termasuk para rasul, nabi, syuhada dan shiddiqin boleh berbuat demikian.  Semuanya tidak mempunyai harapan kecuali hanya setelah mendapat keampunan dari Allah SWT! Segala amalan yang kita buat adalah sebagai penebus dosa  atau meminta ampunan dariNya bukannya  untuk mendapatkan syurga sebagai gantinya! 
    Kita sebagai hamba Allah, perlu merasakan betapa kerdil dan kecilnya amal yang kita lakukan, merasa hina dan  takut seandainya amalan kita tidak diterima oleh Allah SWT walaupun kita sudah melakukan semaksima yang mungkin. Setelah beramal, sewajarlah kita beristighfar banyak-banyak  dan merasai semua amalan kita itu sebenarnya  tidak layak jika di jajarkan dengan Keagungan dan Hak Allah kepada kita.  Dalam melakukan apa jua amalan, apa yang kita harapkan adalah RedhaNya semata-mata!
Firman Allah yang bermaksud.....
     " Dan supaya aku dapat  melaksanakan amal soleh yang Engkau redhai.."( Surah Al-Ahqaf:15)
    "  Dan selalulah memohon keampunan diwaktu pagi sebelum fajar."  (Surah Az-Zariyat:18)
    Apa yang paling utama yang  kita harapkan dari Allah SWT adalah keampunanNya keatas kita, yang merupakan insan yang lemah yang banyak berbuat dosa, kurang mensyukuri NikmatNya yang tidak terhingga banyaknya pada kita, tidak mampu memenuhi HakNya ke atas kita.........
Setelah mendapat keampunan ini barulah kita mengharapkan kurniaNya, rahmat dan kasihsayangNya  pada  kita...
    Justru itu, perlulah kita meneliti, merenungi dan mensyukuri nikmat Allah ini, memohon keampunan dari Allah dengan istighfar yang banyak dan memperbanyakkan zikir "Laa illaha illa anta subha naka inni kun tuminazzholimiin yang bermaksud "Tiada tuhan selain engkau , Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berbuat zalim."
      Sememangnyalah kita manusia ini banyak menzalimi diri kita dalam penghidupan yang sementara dan banyak ujian ini..........!!
     Ya Allah tunjukkilah kami kejalan yang lurus , dan masukkanlah kami di kalangan orang-orang yang beriman dan bertaqwa padaMu.  Ameen Yaa Rabbal 'Aalamiin!
     
 Photobucket

1 comment:

  1. asm

    Benar sekali apa yang tercatat di atas...kita mesti melatih diri supaya menjadikan Istighfar sebagai amalan harian kita yang sentiasa melaksanakan maksiat kepada Allah..Di tambahlagi dengan ibadah kita yang tak seberapa ini...tugas kita hanyalah memohon ampun dari Allah dan ia juga bergantung kepada hak Allah untuk memberi keampunan ke atas dosa kita lahir dan batin kita...Rasulullah 100 kali kita bagaimana?.

    wasalam

    ReplyDelete

Hakikat hidup ini...

Siapa yang gemar membantu orang, Maka hidupnya senantiasa dipermudahkan. Siapa yang memiliki sikap belas ihsan, Maka akan disayang sesa...