Monday, February 28, 2011

Berzikirlah pada Allah dengan mengharapkan rahmatNya!

Bismillahirrahmanirrahim............

Firman Allah dalam Surah Al-Ahzab: 41-43 yang  bermaksud.............
 " Hai orang-orang beriman, Ingatlah (dengan menyebut nama) Allah sebanyak-banyaknya.  Dan bertasbihlah kepada Allah pada pagi hari dan petang. Dialah yang memberikan rahmat kepadamu dan  malaikat-malaikatNya (memohonkan ampunan untukmu) supaya Dia  mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya yang terang. Dan Dia Maha Penyayang kepada orang-orang beriman."

Ayat-ayat tersebut di atas merupakan merupakan satu panggilan dari Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang ditujukan khas kepada orang-orang yang beriman supaya mengingati Allah sebanyak mungkin supaya mendapat rahmat, ampunan dan petunjukNya.  Satu perintah dan saranan dari Allah kepada orang beriman ini supaya hati mereka sentiasa mengingati Allah dalam setiap masa dan keadaan sehingga mereka tidak lalai dan lupa.

 Sesungguhnya hati itu akan selamanya sentiasa rasa kosong , lalai dan lupa melainkan jika ia dihubungkan dengan Allah SWT, mengingatiNya dan menghiburkan diri denganNya. Ingatan sebegini pada Allah akan memberikan hati itu semangat baru, rasa tenang dan damai, mengenali dan mengetahui jalan dan manhaj yang perlu dikuti dan juga ia menyedari siapa dirinya dan apakah matlamat hidupnya didunia ini.  

Allah yang merupakan Pemberi Kurnia yang besar, sentiasa melimpahkan rahmat dan kasih sayangNya. sentiasa memberikan peringatan kepada hambaNya kerana sifat mereka yang amat lemah dan tidak berdaya, tidak memiliki apa jua kekuatan pun. Kekuatan hanya bila bersandarkan kepada Allah yang Maha Berkuasa!    

Dalam satu hadis Qudsi, Allah berfirman.......
" Barangsiapa yang mengingatKu dengan berzikir dalam dirinya, Aku pun akan mengingatnya dalam diriKu. Dan barangsiapa yang mengingatKu dalam kelompok, maka aku akan mengingatnya dalam kelompok yang lebih baik daripadanya." (Hadith Riwayat Bukhari)

Alangkah bahagia hati dan perasaan kita  bila Allah ingat akan kita! Suatu kebesaran dan penghormatan yanng tidak diboleh dibayangkan dan difikirkan oleh manusia. Siapalah kita manusia yang hina dan kerdil ini yang hanya merupakan setitik debu jika dibandingkan dengan alam raya milik Allah  yang luas ini! Namun betapa besarnya kurniaan Allah kepada hambaNya yang beriman yang sentiasa ingat padaNya.

 Bayangkan, Allah Pemilik Seluruh Alam mengingati kita yang sekecil debu, tidak punya apa-apa, yang sangat lemah ini bila kita ingat padaNya!!

Bayangkan pula jika di dunia ini bila kita dingati oleh bos kita, pembesar negeri atau yang lebih tinggi dari itu, perdana menteri atau raja yang memerintah!  Antara ramai manusia,  kita dingatinya. Tentulah kita rasa bangga, gembira diberikan penghormatan sedemikian. Inikan pula Allah yang merupakan Raja dari segala raja, Penguasa Alam ini, Pemilik kita yang ingat pada kita jika kita selalu ingat padaNya! Subhanallah, Allahu Akbar, Maha Peyantunnya Allah pada kita............tidak terungkap kata-kata selain segala pujian hanya milikNya jua!

Kasihsayang Allah kepada hambaNya yang beriman yang selalu ingat padaNya dengan mengeluarkan hambaNya dari kegelapan kepada cahaya. Cahaya Allah itu itu satu, berhubungan dan mencakupi atas segala sesuatu. CahayaNya menyinari hati , menerangi ruh-ruh, menunjukkan jalan menuju fitrah yang salimah iaitu jalan yang lurus dan terang yang mendamaikan jiwa. 

Kasihsayang Allah kepada hambaNya yang beriman yang selalu ingatnya padaNya dengan memberikan rahmat dan malaikatNya  sentiasa mendoakan dan memintakan keampunan dari Allah  akan dosa-dosa dan kesalahan mereka. Sesungguhnya,  kita sangat memerlukan ini, kerana kita manusia ini selalu berbuat dosa dan kesalahan, kita tidak dapat lari hakikat ini.  Manusia ini memang selalu lalai, lupa dan berbuat dosa!

Jadi apabila kita berzikir pada Allah dengan berdoa dan munajat, beristighfar dengan penuh keikhlasan hati Allah mendengar segala permohonan kita , menerima taubat dan menghapuskan segala kesalahan dan dosa kita.  Renungilah firman Allah ini..........
" Dan orang-orang itu apabila dia mengerjakan perbuatan keji atau menganiya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun kepadaNya terhadap dosanya.  Siapakah lagi yang akan mengampuni dosa selain Allah? Dan mereka tidak mengulangi lagi perbuatan yang buruk itu sedang mereka mengetahui. Balasan untuk orang seperti itu ialah ampunan dari Tuhan dan syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya, mereka kekal di dalamnya dan sangat baiklah balasannya bagi orang yang bekerja."  (Surah Ali-Imran: 135-136)

Firman Allah lagi yang bermaksud........
" Salam penghormatan kepada mereka (orang-orang Mukmin tu) pada hari mereka menemuiNya ialah Salam Dan Dia menyediakan pahala yang mulia bagi mereka." (Surah Al-Ahzab:44)

Pada hari akhirat nanti orang Mukmin itu akan selamat dan damai dari segala ketakutan, keletihan dan kepayahan yang menyelubungi. Mereka di sambut dengan salam penghormatan dari Allah yang dibawa oleh malaikat kepada mereka dari segala pintu.  Ucapan sambutan dan selamat dari sisi Allah yang Maha Tinggi yang menyediakan pahala yang mulia di atas semua amal yang telah dilakukan di dunia. 

Di akhirat adalah tempat menuai hasil sementara dunia pula tempat kita bertungkus lumus beramal mencari keredhaan Allah dalam hidup ini. Tidak akan dipersia-siakan amal kita walaupun sebesar zarah pun asal kita ikhlas pada Allah.  Sementara Allah masih memberikan kita peluang berada di dunia ini, masih bernafas lagi, inilah hakikat yang perlu kita sedari! 

Tiada kesusahan  seperti kesusahan hari akhirat!  Susah payah kita yang sedikit di dunia ini akan dapat menebus kesusahan dan kepayahan kita di akhirat nanti. Begitu  jua kesenangan sebenarnya adalah bila kita kembali pada Allah di akhirat nanti! Jadi janganlah kita tertipu dengan dunia dan segala kemewahan dan kesenangan yang sedikit itu.

Justru itu, jadilah  kita seorang manusia yang bijak, berwawasan jauh nun menjangkau hari akhirat memikirkan kesudahan kita nanti. Sesungguhnya apa yang ada di sisi Allah itu lebih baik dan abadi berbanding apa yang ada di dunia ini dan disisi manusia!!

Rujukan
Tafsir Fizilalil Quran (Syed Qutb)
111 Wasiat Rasulullah saw untuk wanita solehah.

2 comments:

  1. asm
    Secara asanya berzikir kepada Allah adalah sentiasa ada hubungan dengan Allah sentiasa
    Beriman dalam dalam hal aqidah
    Sentiasa berhubung dengan Allah di dalam hal ibadah
    Sentiasa takut paad Allah di dalam hal berhubung dengan manusia...muamalah...

    Hamba Allah

    ReplyDelete
  2. Assalamuaikum
    Alhamduulillah, saya suka mengikuti post islamic dlm blog ini..pembacanya pun ramai dan saya suka juga untu share juga penglaman dan permerhatian saya dengan pengikut cikgu terutama pasal muslimah dan isteri solehah..mgkin cikgu dan yang lain boleh komen juga

    Wasalam muslimah KL

    ReplyDelete

Hakikat hidup ini...

Siapa yang gemar membantu orang, Maka hidupnya senantiasa dipermudahkan. Siapa yang memiliki sikap belas ihsan, Maka akan disayang sesa...