Sunday, August 29, 2010

Keutamaan sepuluh malam terakhir Ramadhan.




    Sepuluh malam terakhir Ramadhan sangat istimewa bagi Rasulullah saw. Baginda bersungguh-sungguh dan memperbanyakkan ibadah.  Dari satu Kitab Sahih Muslim , disebutkan sebuat riwayat dari Aisyah r.a......
"Nabi saw bersungguh-sungguh beribadah pada sepuluh malam terakhir Ramadhan."
"Ketika memasuki sepuluh malam terakhir Ramadhan, Nabi mengetatkan kain sarungnya,
menghabiskan waktu malamnya untuk beribadah dan membangunkan ahli keluarganya."
        Kesungguhan Baginda lebih dari biasa, jika dua puluh malam yang pertama baginda bersolat dan tidur pada malamnya, pada sepuluh malam terakhir, Baginda menjauhkan diri dari mencampuri isterinya dan menghabiskan waktu malamnya dengan qiyamullail, membaca Al-Quran berzikir, samada dengan hati , lidah, mahupun dengan anggota badan lainnya.Semua ini dilakukan kerana kemuliaan malam-malam tersebut, selain terdapat malam Lailatul qadar di mana pada malam tersebut, jika sesaorang beribadah dengan penuh keimanan dan harapan, Allah akan mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.
       Seluruh malam dihidupkan dengan beribadah pada Allah dengan zikir , solat, baca Quran, sahur dan sebagainya. Dari Aisyah r.a berkata," Saya tidak pernah melihat Nabi saw solat malam sehingga pagi." Baginda mempelbagaikan ibadah  sepuluh malam terakhir Ramadhan, bukan setakat Qiyamulalil sahaja. Keluarga Baginda juga dibangunkan untuk mengisi malam tersebut dan merebut kurniaan istimewa Allah dengan menemukan malam yang lebih baik dari seribu bulan iaitu malam Lailatul qadar. Ini menunjukkan keutamaan sepuluh malam terakhir Ramadhan.    
       Pada sepuluh hari terakhir juga, baginda bersedekah lebih dari biasa dan  beriktikaf di masjid . Iktikaf bermaksud berusaha untuk selalu berada di masjid dengan tujuan melakukan ketaatan pada Allah dengan penuh khusyuk.  Ia merupakan satu sunnah Rasulullah yang sangat dianjurkan melakukannya. Semasa iktikaf, sesaorang itu harus menyibukkan diri dengan zikir, solat, baca Quran dan lain-lain ibadah disamping tidak menyibukkan diri dengan urusan dunia yang tidak penting. Iktikaf dilakukan di dalam masjid dengan tujuan mengharapkan keutamaan serta menemui Lailatul Qadar.  Memutuskan interaksi dengan orang lain semasa iktikaf  dapat menjalankan ibadah dengan lebih tenang tanpa gangguan.
       Semasa iktikaf dilarang mencampuri isteri atau menyentuh isteri dengan syahwat. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 187 yang bermaksud......
    " Janganlah kamu campuri mereka , sedang kamu beriktikaf dalam masjid."

       Kita sebagai umat islam perlulah merebut peluang keemasan ini yang hanya datang setahun sekali sahaja. Perlu kenali keutamaan -keutamaan sepuluh malam terakhir ini dan tidak mensia-siakannya!! Saat-saat tersebut merupakan saat-saat yang berharga dan kebaikan yang terdapat di dalam nya merupakan kebaikan yang nyata. 

Saturday, August 28, 2010

Kesan dan Pengaruh Maksiat



     

    Maksiat  yang dilakukan mempunyai kesan-kesan yang buruk lagi keji serta memudaratkan hati dan badan insan samada di dunia dan akhirat juga. Dr. Yusof Al-Qardhawi menyenaraikan diantara kesan-kesan dan mudaratnya untuk kita sama-sama renungi dan berusaha menghindarinya.
 
(i) Terhalang dari ilmu dan rezeki serta sulit urusan hidupnya
Ilmu merupakan cahaya yang Allah lontarkan ke dalam hati manusia
dan bermaksiat  akan memadamkan cahaya tersebut. Ini disebabkan ilmu itu adalah kurniaan dari Allah SWT dan kurniaan itu tidak akan diberi pada pelaku maksiat. Disamping itu pintu rezeki akan tertutup dan mewarisi kemiskinan. Urusan hidupnya selalu sulit dan sukar. Ketakwaan sesaorang sebenarnya memurahkan rezeki, memudahkan urusan dan Allah memberikannya jalan keluar akan masalah yang dihadapinya, insyaAllah!

(ii) Hatinya gelap, jauh dari Allah dan manusia, terhalang dari ketaatan dan memendekkan umur.
Ibnu Abbas r.a. berkata  " Kebaikan menyebabkan cahaya keputihan pada wajah, cahaya di hati, keluasan dalam rezeki, kekuatan pada badan dan kecintaan di dalam hati orang lain .  Maksiat menyebabkan kehitaman pada wajah, kegelapan dalam hati, kelemahan pada badan kekurangan pada rezeki dan kebencian di hati orang lain."
        Di samping itu , maksiat menghalang satu demi satu ketaatan pada Allah, sedangkan ketaatan itulah yang menghidupkan dan menjernihkan hati. Hilanglah keberkatan dari dalam dirinya iaitu hilangnya keberkatan pada umurnya! Hidupnya sesaorang kerana hidupnya hati. Lantaran itu Allah menganggap orang kafir itu sebagai mati. Umur manusia adalah jangka masa kehidupannya dalam ketaatan pada Allah, itulah hakikat umur yang sebenarnya!!  Bukannya bilangan umur yang kita kira!!
    Apabila seaorang itu bermaksiat pada Allah, banyak hari-hari dalam kehidupannya terbuang begitu
sahaja yang mana kesannya adalah di hari akhirat nanti di mana dia akan berkata....
    "Alangkah baiknya jika sekiranya aku dahulu melakukan amal soleh untuk kehidupanku ini."
    (Surah Al- Fajr: 24)
    Satu bentuk penyesalan dalam diri kerana kurangnya amal soleh di dunia dahulu!!

(iii) Mengundang laknat Allah, mendapat kehinaan Allah dan hilang nikmatNya.
  Saidina Ali berkata ," Bala tidak akan diturunkan melainkan dengan dosa atau maksiat, sementara dosa tidak akan terhapus melainkan dengan taubat." 
        Nikmat yang Allah kurniakan kepada kita perlulah di pelihara, kerana dosa-dosa menghilangkan nikmat . Nikmat itu perlu dilindungi dengan ketaatan pada Allah kerana Allah amat cepat membalas dengan menurunkan bala yang tidak mengira sesiapa.  
       Allah dan Rasul melaknati pelaku maksiat dan mereka terhina disisi Allah. Kemuliaan diri hanya dengan taat padaNya seperti dalam firman Allah (Fatir:10)
       " Barangsiapa yang mahukan kemuliaan, maka bagi Allahlah kemuliaan itu."

( iv) Menganggap kecil maksiat pada Allah dan bangga dengan maksiat yang dilakukan
    Berterusan dalam dosa dan maksiat akhirnya menyebabkan sesaorang itu menganggap maksiat itu kecil sahaja dihatinya, sedangkan disisi Allah ia adalah besar! Dari hadith Sahih  (dari Ibnu Mas'ud)
      Rasulullah bersabda yang bermaksud," Orang Mukmin memandang dosanya seolah-olah sebuah gunung yang dibimbangi akan menghempapnya, sedangkan orang-orang munafiq memandang dosa-dosanya seolah-olah seekor lalat yang hinggap di atas hidungya, lalu di tepisnya begini begitu , lalu ia pun terbang."
      Hati orang munafiq ini tidak sensitif dengan dosa kerana pintu hatinya telah tertutup, hati telah jadi buta lantaran dosa demi dosa yang dibuat!!
         Pada asalnya nya hati itu berkarat dengan maksiat, jika tiada usaha untuk membuang karat hati ini dengan taubat, lapisan karat yang terbentuk,  bertambah banyak sehingga ia menutup dan mengunci pintu hati dan ia  menghalang hidayah petunjuk dari Allah. Akhirnya akalnya jadi lemah dan lembab! Terjerumus lah diri manusia tersebut menyerupai makhluk tidak berakal iaitu, seperti binatang malah lebih rendah  dari itu. Ia bangga dengan maksiat yang dibuatnya dan dihebah-hebahkan pada orang. Golongan sebegini tidak akan dapat keampunan dari Allah dan hati mereka tidak  tergerak untuk memohon keampunan!!
       Sabda Rasulullah saw yang bermaksud...." Setiap umatku akan mendapat keampunan melainkan mereka yang berterang-terangan. Antara yang berterang-terangan  ialah seorang lelaki yang melakukan maksiat di malam hari, kemudian ia berpagi dalam keadaan perbuatannya itu ditutup oleh Allah.  Kemudian dia berkata, " Semalam aku melakukan sekian, sekian." Dia bermalam dengan keadaan ditutup kejahatannya tapi dia berpagi dengan membuka tutupan Allah."
       Bagaimana dengan keadaan realiti sekarang banyaknya video-video  dan gambar-gambar pornografi yang di upload ke internet dan di tonton oleh orang ramai? Pelaku dan penonton sama sahaja bersubahat dalam maksiat yang di buat sehingga menjadi satu fenomena yang sukar dibendung sekarang.  Keimanan dan ketakwaan dihatilah yang mengawal diri dari bersubahat dengan maksiat dan seronok menontonnya!  Nauzubillahi min zalik, mohon perlindungan Allah dari semua ini yang mengikis iman dan takwa dihati!      
        Jiwa kita perlu sensitif dengan apa sahaja yang kita buat; mata yang melihat, telinga yang mendengar, lidah yang berbicara, hati yang merasai, anggota badan yang lain jika berlaku maksiat pada Allah, maka lemahlah perjalanan jiwa menuju pada Allah dan hari akhirat.....hilanglah kekuatan perjuangan mujahadah diri, sukar perjalanan memperbaiki diri.....
         Langkah pertama untuk kembali pada Allah....tinggalkan maksiat dan bertaubat! Jalan menuju Allah akan jadi lebih mudah kerana bantuan kekuatan hati dari Allah kepada diri...... Jiwa akan tenang dan lapang dan persepsi diri dengan kehidupan jadi luas! Hati jadi sejahtera bagi orang yang meninggalkan keinginan yang haram dan keraguan yang batil....Inilah kenikmatan hakiki...........bukannya kenikmatan jasad! Inilah dia syurga dunia...yang sebenarnya boleh kita capai insyallah bila kembali pada Allah!   

Thursday, August 26, 2010

Al Quran dan Bulan Ramadhan


Firman Allah dalam surah Al-Baqarah (185) yang bermaksud....
   " Ramadhan adalah bulan yang didalamnya  diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk dan pembeza antara yang benar dan yang salah."
       Rasulullah mempelajari Al-Quran bersama malaikat Jibril pada bulan Ramadhan dimana baginda mendengarkan bacaan Al-Quran, menghayatinya, membaca dan melaksanakan isi kandungan Al-Quran, melapangkan hatinya dan menggali cinta dalam mutiara hikmah Al-Quran.
     Orang yang berpuasa dan membaca Al-Quran bererti telah menyatukan Ramadhan dan Al-Quran.
Firman Allah dalam surah Shad(29).......
    " Ini  adalah kitab kitab yang Kami turunkan kepadamu yang penuh dengan berkah agar mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan mendapat pelajaran bagi orang-orang yang berfikir."
      Membaca Al-Quran akan membawa kenikmatan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Di bulan suci ini pula terdapat petunjuk khusus yang terpancar dari Al-Quran. Al- Quran bagaikan air
yang membasahi tanaman, mengharumi ruangan dan penyejuk bagi jiwa.
     Membaca Al-Quran mengingatkan kita pada hari ketika ia diturunkan untuk pertama kalinya, ketika Rasulullah mempelajarinya dan ketika kaum salaf memberikan perhatian yang besar terhadapnya.
     Sabda Rasulullah saw.......
      " Bacalah Al-Quran. Sesungguhnya Al-Quran pada hari akhirat nanti akan datang membawa syafaat kepada orang-orang yang membacanya."
      " Orang yang terbaik diantara kamu adalah yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya."
   Dikala datangnya bulan Ramadhan,para sahabat-sahabat  dan orang-orang soleh yang terdahulu dari kita,  mengkaji Al-Quran.
      Mereka akan berhenti membaca apabila terbaca ayat yang memaparkan keajaiban-keajaiban, menangis ketika mendengar nasihat-nasihat yang terkandung dalam nya,rasa bahagia akan khabar gembira yang disampaikan dan takut akan azab yang diberitakan.Perintahnya dilaksanakan dan larangannya dijauhi. Rumah-rumah mereka yang selalu dihiasi dengan bacaan Al-Quran bagaikan memancar chaya kebahagiaan.  Al- Quran sentiasa di hati mereka!!
    Orang-orang yang tidak mahu atau berat hati untuk mendampingi Al-Quran jiwanya akan lalai, jauh dari fitrahnya dan kefahamannya pada deen Allah ini akan menurun.
      Bila Al-Quran ditinggalkan, maksiat dan keburukan bermaharajalela, musibah datang silih berganti pemahaman tidak lagi benar dan azam selalu gagal diwujudkan.
     Al-Quran adalah cahaya dan ubat bagi hati, petunjuk dan pengetahuan, penyelamat dan pembawa kebahagiaan serta kehidupan bagi roh! Ia merupakan pendidikan rabbani, undang-undang illahi dan hikmah yang abadi.
  Jadi bagi kita ,  kita perlulah jadikanAl-Quran ini sebagai petunjuk sepanjang jalan kehidupan.....ia perlu sentiasa dekat di hati kita.....kedatangannya adalah  bagai cahaya yang menyinari kegelapan alam ini... cahaya yang menyinari hati kita.....yang membersihkan jiwa kita......
   Kita perlu sibukkan diri kita memperhatikan Al-Quran, menghayati dan mengamalkannya.....supaya umat islam ini dapat kembali menjadi umat yang cintakan Allah, menjadi  umat yang kuat, terbaik dan berdisiplin,  terikat dengan matlamat akhirat dan menjunjung kalimah Allah di atas muka bumi ini.  
Apabila kita meninggalkan Al-Quran dalam kehidupan kita, tunggulah kemusnahan  dan bencana yang menimpa umat islam. Apabila umat islam tidak menghayati Al- Quran sepenuhnya dalam hidup kita, kita kan sentiasa dikuasai nafsu   dan ditimpa penyakit cintakan dunia dan takutkan mati....!! Pengembalian kita pada Al-Quran perlulah sepenuhnya.........dan akhlak yang kita nak contohi adalah akhlak Rasulullah yang merupakan  Al Quran itu sendiri.....
    Umat terdahulu merupakan terjemahan Al-Quran yang hidup dalam diri dan masyarakat islam ....mereka beriman dengan Allah dan menerima Al-Quran dengan hati yang terbuka. Komitment mereka pada islam sungguh tinggi sehingga apa saja persoalan kehidupan mereka akan diutarakan pada Rasulullah untuk mencari penyelesaiannya. Mereka umpama bintang-bintang dilangit bagi kita untuk kita jadikan contoh dalam hidup kita......Kita juga akan mendapat natijah yang sama apabila kita kembali kepada proses yang sama yang mereka ikuti.....Persoalannya sekarang....adakah kita punya persediaan jiwa yang sama dengan mereka??  Mereka ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk kembali pada Allah.  Kita bagaimana??
     Hati sahabat-sahabat Rasulullah dipenuhi iman dulu sebelum Al-Quran diturunkan sepenuhnya.   Tapi kita sebaliknya ; Al-Quran yang lengkap ada bersama kita, tapi hati kita tipis dengan iman!! Bersediakah kita untuk mengambil Al-Quran dalam hidup kita? Tepok lah dada  dan tanyalah iman yang ada dalam jiwa kita!!
     Sama-sama kita renungkan supaya kita dapat mengambil iktibar dari sirah generasi sahabat yang terdahulu.....dan kita cuba laksanakan dengan kemampuan diri kita, insyaAllah. Kepada Allah jua kita mohon segala kekuatan. Amin.


Tuesday, August 24, 2010

Allah menambah petunjuk kepada orang yang mencarinya......

          Petunjuk dari Allah merupakan sesuatu yang didambakan oleh manusia....supaya dia dapat melalui kehidupan ini di atas jalan yang terang dan lurus menuju ke matlamat yang benar. Tanpa petunjuk dariNya manusia akan berada dalam kegelapan dan kesesatan hidup yang membawa kepada bencana dan kemusnahan diri.....Tapi Allah bersifat Yang Maha Pengasih dan Penyayang bukan hanya menciptakan manusia begitu sahaja tanpa petunjuk......malah segala tatacara kehidupan untuk mencapai kebahagiaan hidup ini sudah dijelaskan dengan melalui Rasul-Rasulnya. Terpulanglah kepada manusia untuk memilih jalan mereka sendiri...

Segala perbuatan manusia sama ada yang dilakukan oleh hati atau anggota badannya yang lain boleh menyebabkan turunnya hidayah atau petunjuk Allah ataupun bencana. Perbuatan soleh dan baik yang dilakukan akan membuahkan petunjuk yang akan sentiasa meningkat jika sekiranya perbuatan soleh meningkat.  Sebaliknya perbuatan keji dan maksiat yang dilakukan akan meyebabkan jauh dari petunjuk Allah dan akan menerima azab yang pedih jika terus menerus dilakukan...

Firman Allah dalam surah Maryam (76) yang bermaksud..............
        "Dan Allah akan menambah petunjuk bagi mereka yang telah mendapat petunjuk."
Jadi orang yang mendapat petunjuk akan beriman dengan apa yang diturunkan oleh Allah tanpa ragu-ragu. Allah SWT sangat mencintai perbuatan baik yang dilakukan oleh hambaNya dan memberi ganjaran hidayah dan pahala kepada mereka.....Allah SWT sangat dekat dengan mereka kerana mereka menegakkan kebenaran dan hidup dengan mengikuti petunjukNya.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah (1-2) yang bermaksud........
""Alif  Lam Mim. Inilah kitab Allah yang tidak ada keraguan di dalamnya. Petunjuk bagi orang yang bertakwa."
Al- Quran yang diturunkan oleh Allah itulah panduan dan petunjuk disepanjang perjalanan kehidupan manusia yang tiada sedikit pun keraguan padanya.

Jika kita berhajat hendak pergi ke suatu destinasi yang kita tidak ketahui, perkara pertama yang kita buat adalah mencari petunjuk jalan nak sampai ke sana....kita akan bertanya kepada orang cara nak pergi atau kita download google map yang spesifik ke tempat tersebut atau yang lebih canggih lagi sekarang gunakan GPS pada kereta atau handfon kita. Kita tidak mau tersesat jalan....buang masa, tenaga dan minyak petrol kita......!! Begitu jugalah kita dalam perjalanan kehidupan ini!!

Kita mesti ikut petunjuk yang betul  untuk sampai ke destinasi akhir kita.Tanpanya kita hilang pedoman dan akhirnya sesat jalan! Bayangkan perasaan kita di kala kita tersesat jalan, masuk jalan ini, ikut jalan itu.....tak sampai-sampai ke destinasi kita...... rasa sesak dada, marah, kecewa, menyesal dan lain-lain lagi...Namun penyesalan kita tidak berguna di akhirat nanti jika kita tersesat jalan di dunia ni !

Perjalanan kehidupan ini pun begitulah.......tanpa petujuk Allah kita akan meraba-raba mencari jalan kehidupan yang sebenarnya yang boleh membawa kepada kebahagiaan hakiki. Hati yang berhajat mencari kebenaran akan sentiasa berusaha......dan insyaAllah dengan keikhlasan yang ada dalam dirinya....Allah akan memberi taufik dan hidayahnya bertemu dengan kebenaran yang dicari!!

Sama-sama kita renung Firman Allah dalam surah Ali-Imran (190-191) yang bermaksud......
     "Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya siang dan malam terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal. Iaitu orang-orang  yang  mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi lalu berkata," Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau ciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau. Maka peliharalah kami dari azab neraka."  

Ketika ayat-ayat ini diturunkan Rasulullah saw menangis dan berkata kepada Bilal bin Rabah, " Ayat ini diturunkan kepadaku dan celakalah bagi orang yang membacanya tapi tidak merenunginya!!"
Kita perlu gunakan akal kita untuk berfikir tentang kehebatan penciptaan Allah pada diri kita dan alam semesta yang terbentang luas.....Maha Berkuasanya Allah dan begitu halus, sangat hebat dan begitu telitinya ciptaanNya!! Ini mencetuskan rasa kedaifan diri dihadapan kekuasaan Allah lantas beriman denganNya!  Inilah yang berlaku kepada segelintir saintis  Barat yang ikhlas mencari kebenaran dalam  mengkaji tentang fenomena alam dan kehidupan.

Betapa ramainya orang yang hidup, tapi sebenarnya mereka tidak hidup. Mereka makan  dan minum tapi hakikatnya mereka mati! Ini disebabkan buta hati mereka  tidak mengenal siapa pencipta mereka dan tidak mengikuti jalan kebenaran. Mereka hidup umpama binatang ternak yang hanya hidup untuk mengisi perut dan melampiaskan syahwat mereka.  Hidupnya sesaorang adalah bila hatinya hidup dan  ia tertuju pada Allah, hidup bersama Allah, dan menghabiskan umur untuk ubudiah pada Allah.

Firman Allah lagi dalam surah Al-An'am (122) yang bermaksud.....
    " Apakah orang-orang yang sudah mati, kemudian  dia  Kami hidupkan dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang, dan dengan cahaya itu dia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan orang yang keadaannya berada dalam gelap gelita yang sekali-kali tidak dapat keluar dari nya?"  


Inilah hakikat kehidupan orang yang mati hatinya yang berada dalam kegelapan demi kegelapan sehingga  tidak nampak di mana jalan keluar.Bila hati sudah keras dan mati, hidayah Allah tidak datang, jadi tenggelamlah ia dalam arus kemaksiatan sehingga dia rasa seronok berada di situ. Nauzubillahi minzalik, minta dijauhkan Allah dari keadaan demikian!

Sebagaimana perjalanan kehidupan pertama kita semasa kita dilahirkan oleh ibu kita dalam keadaan bersih dan suci dari dosa......begitulah juga pengharapan kita bila kembali pada Allah....

   Kamu lahir dalam keadaan menangis tersedu-sedu
   Sementara orang disekitarmu tersenyum gembira
   Maka lakukan perbuatan baik
   Agar kamu tersenyum gembira
   Ketika mereka menangisi kematian mu!

Kembalinya kita tersenyum gembira menghadap Allah kerana kita menemui kebahagiaan sebenar di akhirat sana yang tiadak ada bandingannya dengan apa yang ada di dunia ini!

Sunday, August 22, 2010

Bagaimana nak memperkuatkan hubungan dengan Allah......?.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah (214) yang bermaksud......
     "  Ataukah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum datang kepadamu (cobaan) seperti yang dialami oleh orang yang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan dan diguncang (dengan berbagai cobaan) sehingga rasul dan orang-orang beriman bersamanya berkata ," Bilakah datang pertolongan Allah?"  Ingatlah pertolongan Allah itu dekat."
       Dalam kita melalui kehidupan dunia yang banyak godaan ini seringkali kita tergelincir dari landasan yang telah ditetapkan oleh Allah. Kadang-kadang kita rasa kuat hubungan dengan Allah dan selalunya kita rasa lemah............sehingga kelemahan ini mempengaruhi sikap dan tindak tanduk kita seharian! Bila ini berlaku kita rasa gelisah dan tidak tenang....perlu cepat-cepat cari ubat supaya penyakit ini tidak berlarutan! 
       Terdapat dua jalan utama untuk kita menguat dan mengeratkan hubungan dengan Allah SWT.
Jalan pertama adalah melalui jalan kefahaman, berfikir dan beramal. Kita perlu mentadabbur dan mempelajari ayat-ayat Al-Quran dan Hadith-hadith Nabi yang soheh dengan sedaya upaya kita, mengamatinya berulang-ulang, sehingga kita benar-benar faham dan merasai apa yang dibaca. Mengulang-ulang dalam membina kefahaman merupakan tuntutan tarbiah yang dapat melahirkan keberkesanan.  Seterusnya berusaha sedaya upaya mengamalkannya dalam kehidupan seharian kita.
     Apa yang kita fahami dari Al-Quran dan Hadith, kita bandingkan dengan amalan seharian yang kita dah perbuat selama ini. Adakah apa yang kita lakukan dalam hidup kita ini selaras dengan Al-Quran dan Hadith? Apakah kekurangan-kekurangan dan kelemahan-kelemahan diri yang masih ada pada kita? Sekadar mana kita memperelokkan realiti diri dan kehidupan kita selaras dengan Al-Quran dan Sunnah , sekadar itu pulalah hubungan kita dengan Allah dan Rasul! Penghayatan diri dengan Al-Quran dan Sunnah  melambangkan keterikatan hubungan kita dengan Allah, bukannya terletak pada tingginya ilmu kita tapi tidak diamal dan dihayati!
        Jalan kefahaman dan berfikir ini tidak akan kekal lama jika kita tidak beramal dengan ikhlas. Maknanya semua amalan yang kita buat mestilah kerana Allah semata-mata,mengharapkan redonya sahaja,  tanpa mengirakan keuntungan dunia, samada di waktu kita susah atau senang , sibuk atau lapang, sunyi atau terang, seorang diri atau bersama orang ramai..........kita tetap istiqamah dengan nilai islam walau dalam keadaan apa sekali pun....mestipun dalam keadaan tertekan!  Inilah yang sukar......
       Kita mungkin mampu terikat dengan islam dalam keadaan kita senang, seorang diri....tapi bila Allah uji dengan sedikit susah, tekanan.........kita teruji dan tidak mampu bertahan....kita larut dalam arus suasana sekeliling kita....kita berkompromi dengan nilai tidak islamik! Pada ketika ini kita boleh nilai sendiri tahap mana iman dan hubungan kita dengan Allah! Jadi perlu pertingkatkan lagi usaha kita, mujahadah diri untuk mengambil nilai Allah dalam diri dan kehidupan seharian kita. Sentiasa perihatin dan sensitif akan nilai-nilai Allah di hati kita.......yang mana nilai ini bukan tinggal dihati sahaja tapi kena diterjemahkan dalam seluruh kehidupan! Kita perlu masuk kedalam kehidupan secara islamik ini secara menyeluruh..............bukan sebahagian-sebahagian mengikut selera dan kehendak kita! Mana yang kita suka kita ambil, mana yang tidak setuju ditinggalkan.....ini bukan yang islam dan Allah kehendaki  sebenarnya.
        Allah menghendaki kita menyerahkan secara total semua urusan hidup ini mengikut kehendakNya.....cara kita berfikir, cara kita bertindak, cara kita menyelesaikan masalah,cara kita berhubung.......semuanya nya...... Baru betullah konsep ubudiah kita pada Allah...... tiada tuhan yang disembah melainkan Allah! Jika kita ambil nilai lain dalam hidup kita.......nilai itu jadi illah atau tuhan/sembahan kita.....bukan Allah!  Realiti umat islam sekarang ... masih ada illah /sembahan di hati berupa hawa nafsu yang menguasai diri..... nilai Allah dikesampingkan! Kesannya ubudiah tidak murni pada Allah, aqidah tercemar dan kita tiada kekuatan diri, senang terjebak dalam maksiat  walaupun banyak ilmu.......!  Dalam hati seorang muslim tidak boleh ada ubudiah selain Allah sahaja...! 
      Firman Allah  dalam surah Al-Mukminun (117) yang bermaksud .....
     " Dan barangsiapa yang menyembah tuhan yang lain disamping Allah, pada hal tidak ada satu dalil pun baginya tentang itu, maka sesungguhnya diperhitungkan disisi Tuhannya. Sesungguhnya orang-orang kafir itu tidak beruntung."
        Meninggalkan larangan Allah hanya atas desakan iman sahaja bukan atas desakan duniawi. Kita tutup aurat kita dengan betul dan ikut syarak bukan kerana kekasih, suami atau tunang suruh, kita tidak menghampiri zina bukan kerana ibubapa kita larang, kita buat kebaikan bukan nak di puji atau dikatakan dermawan atau baik.......tapi kita buat semua itu atas dasar taat kita pada Allah semata-mata. Dasar inilah yang dapat menjadikan kita istiqamah dengan tindakan kita......walaupun sudah putus kasih, walaupun ibubapa tiada bersama kita, walaupun kita dicaci  atau di hina orang! Inilah jalan untuk meningkatkan hubungan kita dengan Allah dan inilah jalan orang yang bertakwa!
         Jalan kedua untuk mempertingkatkan hubungan dengan Allah adalah jalan memperelokkan amalan-amalan kita. Kita tingkatkan amalan-amalan kita dengan cara mengamalkan keutamaan-keutamaan, perkara-perkara fadzilat-fadzilat dan perkara sunat yang merupakan amalan yang dicintai Allah.  Dalam masa yang sama, perkara-perkara makruh kena jauhi kerana ia dibenci oleh Allah SWT. Kita juga tidak boleh pandang remeh atau ringan terhadap perkara-perkara yang mendatangkan maslahah walaupun kecil.
     Pendekata kita perlulah menjadi orang yang ringan beramal dalam pelbagai aspek yang melibatkan pengorbanan  masa, usaha, fikiran, perasaan, harta malah jiwa sekalipun! Disamping itu kita perlu  sentiasa berhati-hati agar dalam jiwa kita tidak tumbuh perasaan sombong, ujub, lupa diri apabila kita melakukan pengorbanan-pengorbanan ini.
      Segala lintasan-lintasan hati sebegini perlu di proses.......perlu merasakan pengorbanan yang kita buat masih terlalu sedikit berbanding dengan tanggungjawab-tanggungjawab  yang Allah taklifkan kepada kita yang perlu kita laksanakan. Kita hanya memohon kekuatan dari Allah agar memampukan kita melaksanakan tanggungjawab deen ini!  Tanpa bantuan dari Allah kita tidak mampu nak buat apa pun.!
   Sama-sama kita renungi ayat ini Surah Thaha (111-112).....
   "Dan tunduklah semua muka (dengan berendah diri)  kepada Tuhan yang hidup kekal lagi sentiasa mengurus(makhlukNya).  Dan sesungguhnya telah merugilah orang-orang yang berbuat kezaliman. Dan barangsiapa yang mengerjakan amal-amal yang soleh dan dia dalam keadaan beriman, maka ia tidak akan khuatir akan perlakuan tidak adil terhadapnya dan tidak pula akan pengurangan haknya." 

Wednesday, August 18, 2010

Hakikat takwa

        Di bulan Ramadhan yang mulia ini kita mendidik diri kita melaksanakan ibadah puasa dengan sungguh-sungguh dengan matlamat akhir kita dihujungnya mendapatkan takwa disisi Allah SWT. Justru itu perlunya kita memahami apakah yang dikatakan takwa itu............        
      Dari kata-kata Umar bin Abdul Aziz...
    "Bukanlah takwa  itu melakukan solat malam, puasa di waktu siang, dan menggabungkan kedua-duanya, tetapi takwa itu ialah melaksanakan apa yang difardhukan oleh Allah dan meninggalkan apa yang diharamkanNya. Jika disertai amal, maka hal itu adalah kebaikan kepada kebaikan."
     Suatu hari Saiyidina Umar r.a pernah bertanya kepada Ubai b. Kaab akan takwa, "Apakah yang di maksudkan tentang takwa ,ya Ubai." Kata Ubai," Tidakkah engkau pernah melalui satu jalan yang banyak duri?"  Jawab Umar, "Ya , saya pernah."   Kata Ubai, " Apakah yang engkau buat?"  Kata Umar, "Saya angkat kain dan saya berhati-hati melangkah." Kata Ubai, " Itulah takwa".
    Jadi takwa itu adalah satu bentuk pengawasan diri terhadap perkara-perkara yang diperintahkan dan di larang oleh Allah SWT. Untuk sampai ke peringkat ini, sesaorang itu perlulah melalui jalan iman dan memahami benar-benar ajaran islam terutama perkara-perkara yang fardhu dan wajib difahami. Tanpa melalui jalan ini hakikat takwa tidak mampu dicapai kerana kejahilannya tentang islam akan menyebabkan ia tergelincir kedalam perkara-perkara yang dilarang oleh Allah. Dia tidak mengambil nilai Allah dalam kehidupannya. Jadi untuk itu iman pada Allah mesti ditanam dalam jiwa insan terlebih dulu, justru itu ia akan dapat melaksanakan tuntutan Allah dalam dirinya dengan mudah, insyaAllah.
   Takwa juga adalah neraca yang dapat membezakan antara baik dan buruk, hak dan batil. Orang-orang yang bertakwa kepada Allah akan dimurahkan rezeki, dibuka atau diberi jalan keluar akan segala kesusahan oleh Allah dan menyebabkan pintu syurga Allah terbuka luas untuknya.
    Apabila sesaorang insan itu takutkan Allah, ia akan melahirkan takwa padaNya. Ketakutan kita padaNya menyebabkan kita mematuhi dan mendampingi Allah SWT dalam semua urusan. Orang yang paling takut pada Allah adalah orang yang mengenali Allah. Dan Rasulullah adalah orang yang paling mengenali dan paling takut pada Allah.   
    Apabila sesaorang itu takutkan Allah, maksiat dihindari, hatinya  berjaga-jaga selalu,takut tergelincir dari landasan yang telah di tetapkan Allah  dan Allah mencampakkan dalam jiwa  orang yang bertakwa ini  rasa berani dan izzah (mulia) dengan iman dan islam yang di anuti. Dia menyakini islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi dari islam. Itulah hakikat jiwa yang bertakwa yang rasa mulia dan tinggi kerana membawa risalah Allah dalam kehidupan. Dia tidak segan silu dalam memperkatakan kebenaran. Dan Allah juga mencampakkan rasa takut musuh-musuh Allah kepadanya.  
     Sabda Rasulullah , "  Sesiapa yang takut pada Allah, maka semua yang lain akan takut padanya. Tapi sesiapa yang takut pada selain Allah,  maka dia akan takut kepada selain Allah."
     Takutnya sesaorang pada Allah akan menyebabkan dia dapat mengawal nafsu syahwatnya dan meninggalkan maksiat keranaNya. Akhlaknya dapat di perbaiki, sifat-sifat mazmumah dalam diri dapat di hilangkan seperti ujub, riya, takabbur.......dan lahirlah dalam dirinya rasa khusyu dan tawadhu'.........Hatinya jadi bersih dan suci, jiwanya luhur, dan matanya mudah mengalirkan airmata, dan tangannya jadi pemurah....!!
   Rasulullah saw pernah memohon dalam doanya tentang mata yang mudah menangis kerana Allah.
   "  Ya Allah kurniakanlah kepadaku   kedua mata yang mudah mengeluarkan airmata, yang mana lelehan    airmata itu adalah kerana takut padaMu sebelum lelehan darah."
Ini adalah kerana diharamkan neraka menjamah mata orang yang selalu menangis kerana Allah!
       Orang yang takut pada Allah sentiasa sedar,bahawa Allah sentiasa memerhatikannya, tiada tempat yang terselindung dari pengawasan dan penglihatan Allah!!Dia tidak rasa selamat dan aman dari azab dan tindakan Allah pada dirinya jika dia melakukan maksiat padaNya........tapi bila jiwa tiada iman pada Allah, maka tiada takut padaNya......ketika itu syaitanlah sahabat karibnya .....maka tergelincirlah diri ke kancah maksiat!
    Firman Allah dalam surah Az-Zukhruf (36) yang bermaksud...............
    " Barangsiapa yang tidak ingat pada Ar-Rahman (Allah), maka Kami akan adakan baginya syaitan, maka syaitan itu sebagai teman karibnya."
       Jadi kita sebenarnya di tuntut untuk memelihara takwa ini dalam diri kita kerana takwa ini dapat menjaga kita...  Wasiat Rasulullah kepada Abu Dzar Al Ghifari yang meminta nasihat Rasulullah...
    "  Hendaklah kamu bertakwa kepada Allah , sesungguhnya dia(takwa) adalah segala-galanya."
 Kemudian Abu Dzar meminta sedikit lagi nasihat dari baginda....
    Jawab Rasulullah saw, " Hendaklah kamu membaca Al Quran. Sesungguhnya ia (membaca Al Quran) itu adalah cahaya di dunia dan simpanan di akhirat."    
    Sahabat- sahabat Rasulullah saw sangat-sangat mengambil berat tentang membaca Al Quran terutama di bulan Ramadhan, rumah mereka kedengaran seperti bunyi lebah kerana membaca Al-Quran.  Tentang membaca Al-Quran, Ibnu Taimiyah ada menegaskan......
    "Sesiapa yang tidak membaca Al-Quran, bermakna dia meninggalkan Al-Quran, Sesiapa yang membaca tanpa tadabbur, bermakna dia hijrah meninggalkan Al-Quran. Dan sesiapa tadabbur tanpa mengamalkan Al-Quran, bermakna di juga hijrah meninggalkan Al-Quran."
      Jadi ilmu, iman dan amal dalam islam perlu berjalan serentak dalam kehidupan kita......dengan ini kita dapat melaksanakan tuntutan Allah dalam diri kita sebagai  hamba Allah... Kita dijadikan oleh Allah bukanlah sia-sia dan untuk main-main belaka tapi hanya untuk ubudiah padaNya.....dengan itu kita akan mendapat kebahagian hidup di dunia dan di akhirat......Matlamat akhir kita bukan dunia yang fana ini....jadi kita kenalah bermujahadah untuk akhirat yang kekal abadi....
Kesusahan yang sedikit yang kita alami didunia ini tidak dapat dibandingkan dengan kesusahan besar di akhirat nanti!  







Sunday, August 15, 2010

Ikhlas ke kita......??

      Keikhlasan hati dalam melakukan sesuatu.....sebenarnya sukar diukur secara fizikalnya...kerana keikhlasan itu letaknya di hati....tiada siapa yang mengetahui melainkan Allah SWT. Mungkin kita kata kita ikhlas dalam memberi pertolongan....tapi betul ke? Sebenarnya amat sukar menentukan keikhlasan kerana mungkin pada awalnya kita ikhlas.....tapi setelah kita buat timbul pulalah rasa tak ikhlas..bagaimana? Keikhlasan  yang sebenarnya tidak mengharapkan apa-apa dari manusia meskipun pujian...ia hanya mengharap redo Allah di atas semua kerja-kerja yang dilakukan.....!
      Pertolongan yang ikhlas akan menyentuh hati manusia dan orang yang ikhlas dicintai oleh Allah SWT. Amal yang tidak ikhlas akan tertolak meskipun pada zahirnya ia banyak berbuat kebajikan.....sebaliknya walaupun amal itu nampak kecil pada pandangan manusia...seperti membuang duri di jalan, senyuman pada saudara muslim lain ..........jika ikhlas dibuat kerana Allah semata-mata, ia lebih bagus dan di terima Allah! Oleh itu keikhlasan kita perlu dijaga sentiasa.......sebelum kita berbuat sesuatu, kena jaga niatnya , semasa kita sedang berbuat dan selepas melakukan amalan kita...! Yang pentingnya kita  terus berusaha untuk menjaga keikhlasan kita......dan yang nak menilai ikhlas atau tidak itu hak Allah! Tidak boleh kita berhenti dalam memproses ikhlas ini dengan tidak berbuat apa-apa...jika tidak ikhlas tak payah lakukan!Konsep ini salah....kerana tiada mujahadah diri di sini!! 
   Orang yang ikhlas tidak pernah kecewa hatinya jika apa yang dilakukan tidak disebut atau dipuji orang kerana dia mengharapkan hanya balasan di akhirat sahaja. Hatinya tenang, tidak terkecewa atas hinaan orang lain.
      Orang yang ikhlas tidak rindu akan dipuja , jadi sebutan atau ikutan orang. Samada dia di puja atau di caci sama saja..Hanya pujian Allah yang diharapkan bukan manusia!
       Orang yang ikhlas tidak membezakan samada amal itu besar atau kecil.....semua amal itu sama saja jika ia dibuat kerana Allah.........pertolongan kecil yang dibuat jika ikhlas kerana Allah lebih bernilai disisiNya! Kisah seorang perempuan  yang membantu seekor anjing yang kehausan dengan bersusah payah mengambil air dari telaga dengan sepatunya...dibalas Allah dengan syurga kerana keikhlasannya kerana Allah!
    Firman Allah dalam surah Al-Zalzalah (7-8) yang bermaksud............
   "Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan sebesar zarrah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula, dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarrah pun, nescaya dia akan melihatnya pula. "
      Jadi perlu kita rasa takut dengan segala amal yang kita perbuat samada kecil atau besar, ikhlas atau tidak.... semuanya tidak terlepas dari pengetahuan dan penilaian Allah SWT!! Sahabat-sahabat generasi Al Quran menangis bila membaca ayat ini kerana ketakutan sebab amal sebesar zarrah pun Allah ambil kira!! Bagaimana kita manusia yang lemah ni tak buat silap dan salah selalu?.....Jadi ketakwaan yang ada dalam diri mereka menyebabkan mereka lebih berhati-hati dalam tindakan ..... takut tersasar!
      Tapi kita bagaimana?.....Kita selalu pandang ringan akan dosa-dosa kecil yang kita buat...sedangkan dosa-dosa ini menjadi racun dalam badan kita dan melemahkan kita!  Dosa-dosa kecil yang dilakukan berterusan akan jadi dosa besar ! Dosa -dosa ini menambahkan titik-titik hitam dalam hati kita dan menjadikan hati kita tidak sensitif dengan ayat-ayat Allah dan hati kita keras dengan peringatan Allah. Ini lah yang menyebabkan kita selalu terhindar dari rahmat Allah!!Orang yang beriman memandang dosa kecil tu  berat apatah lagi dosa besar dan berusaha menghindarinya!
      Orang yang ikhlas tidak hanya membantu kelompoknya atau kawannya sahaja. Tiada sifat assobiyah di sini. Sesiapa yang memerlukan pertolongan hatta orang bukan islam pun di bantu......kerana Rasulullah  itu didatangkan sebagai rahmat untuk seluruh alam. Semua mahluk Allah berhak mendapat bantuan jika kesempitan...bukan di pandang sepi saja kerana bukan urusan kita!!
      Orang yang ikhlas itu tidak memandang pada kedudukan , pangkat, harta, semua manusia ini  sama sahaja disisi Allah kecuali mereka yang bertakwa.....Manusia sering membezakan yang lain kerana darjat, status dan keturunan. Tapi disisi Allah ....yang mulia hanya yang bertakwa! Pakaian takwa ini lah yang mahal nilainya pada Allah......dan takwa inilah yang kita nak didik dalam jiwa kita...
      Keikhlasan dalam beramal akan memberikan rasa nikmat ,bahagia, seronok dan puas pada sesaorang dalam amalannya....dia senang membantu orang, dia senang melakukan amal ibadah, dia senang memberi sedekah......pendekata segala yang di perbuat bukan dengan rasa berat hati.......semua senang, puas dan bahagia selalu! Keikhlasan terpancar di wajahnya dan dalam tindakannya.....semua yang dicurahkan tiada diungkit-ungkit atau  disebut-sebut! Tiada keikhlasan namanya jika sesuatu yang dibuat dalam keadaan marah-marah, merungut-rungut, keluh kesah, tinggi suara, sambil lewa, tiada kesungguhan, malas dan separuh hati!
      Memang sukarlah sebenarnya kita nak sampai ke darjat keikhlasan yang sebenarnya! Tapi kita kenalah berusaha selalu, memohon doa pada Allah  supaya kita tergolong di kalangan orang yang mukhlis (ikhlas hati). Amalan kita hanya baru jadi amal soleh jika kita buat nya ikhlas kerana Allah dan amal yang di buat mengikut syarak......... menderma diniatkan kerana Allah tapi dari hasil judi  atau lain-lain sumber haram bukan dikira amal soleh!!
       Kita nak jadikan setiap hari amalan-amalan yang kita buat,  dari perkara yang sekecil-kecilnya hingga ke perkara yang besar.......kita buat ikhlas kerana Allah. Kena pasang niat yang betul  dan luruskannya sebelum berbuat sesuatu......dan berterusan menjaga keikhlasan sehingga selesai kita perbuat...... Takut-takut Allah tidak terima amalan kita....dan bila kita kembali pada Allah, amal soleh yang kita sangka kita banyak perbuat itu.........ditolak.....dan kita muflis disisiNya!!!Nauzubillah.
      Jadi di bulan puasa yang mulia ini, sama-sama kita bersihkanlah hati kita dengan bertaubat, istigfar selalu, supaya jiwa kita lebih dekat dengan Allah , lebih ikhlas padaNya dalam apa saja yang kita buat...........sehingga kita dapat didik diri kita jadi...........pure in heart, pure in mind, pure in understanding and pure in actions!!
      Ya Allah berilah maaf pada kami, ampunilah kami. rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir!! Ameen, ya Rabbal Alamin. 

Friday, August 13, 2010

Membangun ketaatan diri seiring doa......

    Setiap kita pasti ada harapan dan cita-cita kita......tapi tidak semua di penuhi walaupun kita sudah puas berdoa ....Kenapa demikian? Di mana silapnya? Tak cukup ke ikhtiar dan doa kita? Itulah yang bermain-main dalam fikiran kita......  Kita ni manusia yang bersifat tergesa-gesa, kurang sabar dan sempit fikiran!! Kurniaan Allah berupa keduniaan lebih kita utamakan dari pengampunan Allah SWT dan kurniaanNya di hari akhirat nanti!
    Sebenarnya, kita tidak boleh berprasangka buruk pada Allah sewaktu doa-doa kita tidak dimakbulkan oleh Allah. Tidak ada yang menghalang terkabulnya doa dan datangnya pertolongan Allah selain dari diri kita sendiri!! Nasihat dari Ibnu Athailah kepada kita..." Jangan menuntut Allah kerana terlambatnya doa yang engkau panjatkan padaNya.Namun hendaknya engkau membetulkan diri, menuntut dirimu supaya tidak terlambat melaksanakan kewajipanmu pada Allah SWT"
    Allah tidak makbulkan doa kita, bukan kerana Allah tidak mahu memberi, tetapi sebab utamanya adalah diri kita......Tidak bersungguh-sungguh dalam memenuhi hak Allah...seperti menunaikan perintah Allah dan menjauhi laranganNya.......! Ini adalah ciri minima seorang muslim...... jadi kita kena perbetulkan diri kita, betulkan penyerahan kita pada Allah,betulkan ibadah kita,serahkan pengharapan total pada Allah, tingkatkan kesungguhan kita dalam berubudiah padaNya.........!!
      Dalam satu Hadis Qudsi yang bermaksud..." Tidaklah seorang hamba mendekatkan dirinya padaKu dengan sesuatu yang lebih Aku cintai dari apa-apa yang telah Aku wajibkan kepadanya, dan hambaKu selalu mendekatkan diri kepadaKu dengan nawafil(perkara-perkara sunat) maka Aku mencintainya, jika Aku mencintainya, maka Aku akan jadi pendengarannya yang ia mendengar, Aku menjadi penglihatannya yang ia melihat, Aku menjadi tangannya yang ia gunakan untuk memukul, Aku jadi kakinya yang ia berjalan.  Jika dia meminta kepadaKu nescaya aku berikan dan jika dia minta perlindungan nescaya Aku lindungi." (HR Bukhari) 
      Jelas lah dari hadis diatas, kunci datangnya pertolongan Allah  seperti terbukanya pintu rezeki, ilmu dan segala kebaikan .......terletak pada ketakwaan dan kesungguhan melaksanakan amal-amal yang dicintai oleh Allah SWT......amal-amal wajib diikuti amal-amal sunat. Kecintaan Allah pada kita menyebabkan kita mudah berbuat ketaatan padaNya dan kita takut melanggar larangan Allah dalam apa juga yang kita buat. 
      Segala bentuk pelaksanaan amal mestilah hanya senya kerana ketaatan kita pada Allah SWT semata-mata. Segala ketinggian ilmu  kehebatan diri dan organisasi, melimpah ruah kekayaan, kesungguhan usaha....akan berakhir dengan bencana dan kemusnahan ...jika ia tidak dibangunkan atas dasar ketaatan dan ketakwaan pada Allah SWT!
    Firman Allah dalam Surah At-Thaalaq: 2-3 yang bermaksud..................
    "Barangsiapa yang bertakwa pada Allah SWT, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberi rezeki dari arah  yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal pada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan(keperluan)nya."
   Kita sebagai hamba Allah perlu melaksanakan 3 perkara ini: meluruskan niat kita dalam berbuat sesuatu, menyempurnakan ikhtiar kita mengikut landasan yang telah ditetapkan oleh Allah, dan kemudian bertawakkal padaNya dengan sepenuh hati. Sendai nya ketiga-tiga perkara ini sudah dilaksanakan.....tapi belum mendapat hasilnya yang sesuai dengan keinginan......maka yakinlah bahawa Allah SWT tidak akan mensia-siakan amalan hambaNya.   Kewajipan kita hanyalah berusaha bersungguh-sungguh, dan kita serahkan natijah atau hasilnya pada Allah sahaja!
   Jadi sama-samalah tingkatkan amal kita , melaksanakan ibadah fardhu puasa kita dengan sungguh-sungguh......kawal diri dan nafsu kita.......supaya kita mendapat ampunan, rahmat dan keberkatan dalam hidup kita di dunia ini.......dan memperoleh takwa dan dibebaskan dari api neraka!! Ameen.

Thursday, August 12, 2010

Indahnya bila bersabar......



Dari atsar Ibnu Abbas menceritakan ketika Rasulullah masuk ke suatu perkumpulan kaum Ansar, baginda bertanya......
   "Apakah saudara-saudara telah betul-betul Mukmin?"  Umar menjawab, "Benar, ya Rasulullah." Baginda bertanya lagi, "Apakah ciri-ciri iman, wahai saudara-saudara?"  Hadirin menjawab, " Kami bersyukur atas kesenangan, bersabar atas cobaan dan redha menerima ketentuan Allah SWT. Lalu Nabi bersabda, " Memang betul kamu semua Mukmin sejati, demi Tuhan Kaabah."
  Kata Saidina Umar Al-Khattab dlam suratnya kepada Abu Musa Al-Anshari......
 "  Hadapilah sifat sabar dan ketahuilah sifat sabar itu ada dua macam, di mana yang satu lebih afdal dari yang lain. Sabar dalam musibah adalah sifat baik tetapi lebih afdal lagi sabar dalam menghindari larangan Allah SWT.  Ketahuilah sabar itu berhubungan dengan iman kerana kebajikan paling utama adalah takwa dan takwa hanya boleh di capai dengan sabar." 
  Ini disebabkan apa yang disukai nafsu ini adalah indah dan mempunyai daya tarikan yang kuat, jadi bukan sesuatu yang mudah nak jaga diri dari maksiat.Ianya perlu kesungguhan dan kekuatan dalaman! Dan kita kena putuskan diri dari melakukan maksiat tersebut......    
   Sabda Nabi lagi... " Sekurang-kurangnya hatimu mestilah berisi keyakinan dan keteguhan dalam bersabar. Sesiapa yang mendapatkan kedua hal itu, tidak mengapa baginya bila kadang-kadang lalai dalam mengerjakan solat dimalam hari dan puasa sunat di siang hari."
   "Orang bersabar dalam keadaan itu lebih disukai. Aku khuatir sepeninggalanku, dunia akan terbuka luas di depan mu , lalu masing-masing bersifat nafsu-nafsi, engkau-engkau, aku-aku, dan kamu tidak kenal penduduk langit.Di waktu itu siapa yang sabar dan ikhlas akan memenangkan pahala yang selengkapnya."
    Kebersihan itu adalah separuh dari iman, ucapan Alhamdulillah memenuhi timbangan dan Subhanallah dan Alhamdulillah itu memenuhi apa yang ada diantara langit dan bumi, solat itu pelita(cahaya), sedekah sebagai bukti iman, sabar itu penerang, dan Al- Quran itu sebagai bukti yang membenarkan kamu atau menentang kamu. Semua manusia itu pada waktu pagi menjual dirinya, ada yang membebaskan dan ada yang membinasakan.(HR Muslim)
  Jadi kesabaran kita teruji selalu....lebih-lebih lagi di bulan puasa  ini. Jadi perlu lah kita tetap dalam kesabaran walau apa jua keadaan.....dan mintalah pertolongan dari Allah jika kita sudah hampir hilang sabar, istigfar banyak-banyak, jangan cepat melenting dan marah....kerana marah itu dari syaitan. Nafsu yang ada dalam jiwa perlu di kendalikan dan ditundukkan dibawah pengaruh iman dan takwa....sabar selalu dalam mendidik diri sendiri untuk mencapai kemenangan.....insyaAllah kita  yakin Allah bersama kita dalam kesabaran dan kesungguhan nak kembali pada Allah...!! Orang mukmin tidak pernah berputus asa dari rahmat Allah SWT!  

Wednesday, August 11, 2010

Kunci pada jiwa yang tenang......bersihkan hati!

     Ketenangan jiwa adalah sesuatu yang sangat mahal harganya dan ia bukannya boleh di jual beli...Ia adalah sesuatu  yang menempati jiwa sesaorang dan sesunggguhnya orang yang sedemikianlah orang yang mempunyai kekayaaan yang sebenar. Kaya hati kerana jiwa yang tenang. Ketenangan jiwa inilah sebenarnya yang sangat-sangat di perlukan oleh manusia bila melayari kehidupan yang banyak dugaan ini. Tanpa ketenangan jiwa, kehidupan tidak bererti dan kosong walaupun mempunyai harta yang banyak, pangkat tinggi, dan berkedudukan dalam masyarakat. 
    Bagaimana nak mendapatkan ketenangan jiwa? Firman Allah yang bermaksud" Ingatlah pada Allah, sesungguhnya dengan mengingatiku hati akan jadi tenang......"
       Ketenangan yang sebenar bukan dengan cara berhibur seperti  mendengar musik terlarang, berpoya-poya, bersantai-santai......tapi apabila kita berzikir mengingati Allah, ketenangan jiwa akan dirasai...ketenangan yang mendamaikan perasaan dan tindakan....!!   Hati yang bersih,  yang berhubung dengan Allah,  sentiasa tenang tenteram kerana petunjuk dan hidayah Allah yang sentiasa datang padanya. Kebersihan jiwa sangat penting untuk hidayah Allah singgah! Bila jiwa kotor di selaputi maksiat dan hawa nafsu, maka iman dan takwa, susah menempati jiwa yang kotor.
       Jiwa kita ini umpama bekas yang kita nak isikan sesuatu.Kalau kita nak isikan  bekas tersebut dengan makanan yang bersih, tentu kita akan bersihkan bekas tersebut betul-betul, kemudian baru bubuh makanan itu agar tidak tercemar! Begitu jugalah hati kita. Islam yang bersih hanya boleh duduk dalam jiwa yang bersih!
   Jadi kesimpulannya perlulah bersihkan hati kita terlebih dahulu dengan perbanyakkkan istigfar dan taubat selalu. Taubat yang dilakukan diatas penyesalan diri  yang tidak akan mengulangi kesilapan yang lepas! Setiap insan tidak dapat mengelakkan diri dari  kelalaian, tersalah atau terlupa jadi taubat merupakan ubat  mujarab apabila kita tersasar! Namun demikian kita perlu ada kesungguhan memelihara diri  dari dosa, bukan setakat cakap sahaja!
     Dengan bertaubat, jiwa yang sakit tadi dapat di pulihkan, keresahan kerana dosa dapat dihilangkan!
Justru itu hati bertambah dekat dengan Allah dan takwa padaNya dapat ditingkatkan.
     Dengan taubat juga dapat membenteras tipu daya syaitan yang selama ini memerangkap manusia dengan berbuat dosa dan maksiat.
     Dengan taubat juga kita akan memperoleh kemuliaan dan anugerah Allah dlam kehidupan kita di dunia dan akhirat.
      Firman Allah dalam surah Muzammil :20..." Dan mohonlah ampun kepada Allah SWT, sesungguhnya dia Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihani."
  Jadi di bulan Ramadhan yang mulia penuh barokah ini, sama-sama lah kita bertaubat di atas segala dosa kita, memperbanyakkan istigfar kita supaya dapat bersihkan hati kita, agar hidayah Allah senang singgah dan meresap dalam jiwa kita ......meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita pada Allah. Rasulullah saw yang maksum bersih dari dosa beristigfar 100 kali sehari......kita sepatutnya lebih dari itu kerana banyaknya dosa yang kita buat....!!
  Ya Allah ampuni lah dosa-dosa kami dan masukkanlah kami di kalangan orang-orang yang bertaubat!! Ameen Ya Rabbal Alamin..... 

Monday, August 09, 2010

Amalan-amalan di bulan Ramadhan...

    Ramadhan semakin menghampiri....perlunya kita meneliti apakah amalan-amalan sunnah yang perlu kita buat semasa di bulan yang mulia dan penuh barokah ini.....supaya setiap detik masa itu kita manfaatkan sepenuhnya! Amalan-amalan sunnah ini perlu kita contohi..kerana ia mempunyai hikmah yang banyak bila melaksanakannya di samping kita mendapat pahala mengikuti sunnnah Rasulullah saw. Ramai di antara kita memandang remeh perkara ini.....jadi sama-samalah kita perbetulkan... 
    Di antaranya...bersahur  dan melewatkannya dan menyegerakan berbuka puasa bila tiba waktunya. Sahur merupakan barokah, sebab ia dapat menguatkan kita semasa menjalani ibadah puasa seharian.Bersahurlah walaupun dengan hanya seteguk air! Kemudian di anjurkan segera berbuka di mulai dengan makanan yang manis yang tidak di masak seperti kurma... ini dapat mengimbangi perut kita yang lapar seharian dengan makanan yang dapat memberi tenaga  segera .....dan bila makan berpada-padalah....tidak memenuhi perut kita sepuas-puasnya sehingga penuh...nak solat pun malas kerana terlalu kenyang....! Nafsu perlu dikawal...sepanjang masa...bukan di siang hari sahaja!!
    Hadis-hadis Nabi yang bermaksud, 
    " Manusia akan tetap berada dalam kebaikan selagi mana ia bersegera berbuka puasa."    
    "   Kita merupakan pengikut para anbiya, mereka telah menyuruh kita menyegerakan berbuka    puasa dan melewatkan sahur dan meletakkan tangan kanan keatas tangan kiri di dalam solat."
     Puasa yang sempurna bukan setakat puasa perut dan kemaluan sahaja, tetapi semua anggota badan turut juga berpuasa: lidah berpuasa dari mengumpat, mengeji, cakap lucah dan kotor, dusta dan cakap yang sia-sia. telinga berpuasa dari mendengar perkara-perkara yang dilarang seperti nyanyian yang melalaikan, mengumpat dsb..., mata berpuasa dari melihat yang haram...pendek kata kita pelihara diri kita semua sekali dari melakukan perkara-perkara yang diharamkan.....dengan ini pahala puasa dapat dijaga dan kita tidak hanya berpuasa sia-sia sahaja.!! 
     Bertadarus Al-Quran juga dianjurkan disamping mentadabbur Al-Quran iaitu menghayati makna Al-Quran dalam kehidupan... Bukan hanya berlumba-lumba menghabiskan 30 juzuk tapi tak rasa apa-apa pun...cuma setakat seronok dan puas dapat habis baca Al-Quran dalam bulan puasa ini tapi kesan nya tiada dalam jiwa!!
     Memperbanyakkan solat sunat seperti solat tarawih, witir, taubat, tasbih sangat-sangat digalakkan supaya jambatan hati kita dengan Allah dapat diperkuatkan lagi .....Solat yang dilaksanakan dengan hati yang tenang dan penuh khusyuk ....bukan solat yang di buat seolah-olah nak kejar sesuatu tanpa hadirnya hati  dan merasai hubungan jiwa dengan Allah semasa solat......!!.  
     Kita juga perlu perbanyakkan doa kerana doa orang orang berpuasa tidak disia-siakan Allah! Berdoa dengan hati yang penuh ikhlas dan tawaduk memohon ampunan dan rahmat Allah  dan meminta  kebaikan dunia dan akhirat kita  agar  dapat diperkuatkan lagi roh iman dan jihad kita dijalan Allah untuk kita melaksanakan tanggungjawab kita pada deen Allah ini!
    Pada bulan puasa, Rasulullah bersifat lebih dermawan dari bulan-bulan lain.....bersedekah pada yang memerlukan dan mengeluarkan zakat fitrah di hujung Ramadhan....Melalui puasa kita dapat merasai kesusahan dan keperitan fakir miskin yang terpaksa berlapar selalu kerana kesempitan hidup. Jadi dengan bersedekah pada mereka dapat menggembirakan hati fakir miskin ini. Planning kita untuk ini  perlulah dari awal lagi sebelum bulan Ramadhan lagi..... dibulan puasa kita dapat menderma sebanyak mungkin dan mampu mengeluarkan zakat fitrah........
    Melalui puasa , kita dapat mendekatkan diri dengan Allah SWT kerana kita telah melarang diri kita dari berbuat perkara yang biasa kita lakukan dan menjaga diri kita semata-mata kerana mencari redo Allah! Dalam satu hadis Rasul yang bermaksud.....
    " Semua amalan anak Adam adalah untuk dirinya, Satu kebaikan akan dibalas dengan sepuluh kebaikan atau lebih dari itu sehingga mencapai tujuh ratus kali ganda. Allah berkata.." Melainkan berpuasa, ia adalah untuk Ku dan Akulah yang akan membalasnya.Manusia itu meninggalkan makanan keranaKu, dia telah meninggalkan minuman kerana Ku, Dia telah meninggalkan kelazatan hidupnya kerana Ku, dia telah meninggalkan isterinya kerana Aku...."
    Puasa merupakan bekalan kita untuk cas balik fizikal dan rohi kita untuk melalui kehidupan ini.  Mengecas rohi supaya mengembalikan dan menguatkan keimanan dan ketakwaan kita semula , supaya  dapat bersihkan hati, suburkan sifat ikhlas kita pada Allah dan mencintai Allah sebaik-baiknya kerana ia merupakan rahsia diantara hamba dan Tuhannya. Ia bukan semata-mata rutin tahunan yang kita jalani tanpa ada hikmah disebaliknya.
    Puasa mendidik sifat sabar dalam diri, sifat penyantun, pengasih , menepati janji dan memperhatikan masa dan memperkukuhkan ikatan sesama manusia. Melalui puasa, perut jadi ringan, jiwa meningkat tinggi, hati jadi jernih dan terbayanglah kejernihan di muka dan bersinarlah nur Allah dalam hati nurani manusia. Lantas bersedialah jiwa manusia untuk dibersihkan melalui zikir, doa, membaca Qur'an , istighfar dan taubat. 
    Jadi inilah dia kebahagiaan yang hakiki, kelazatan rohani yang qudus, dan mengecapi nikmat menghampirkan diri pada Allah!  Ini lah puasa yang kita hajati....bukan puasa yang diniatkan nak kuruskan badan dan sihatkan fizikal sahaja..... Puasa Ramadhan adalah puasa tarbiyah jiwa dan fizikal untuk meningkatkan darjat manusia .....supaya beroleh takwa!!

Saturday, August 07, 2010

Lagu Nasyid ..Muhasabah Cinta



Wahai pemilik nyawaku

Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dari-Mu
Ku pasrahkan semua pada-Mu
Tuhan baru ku sadar
Indah nikmat sehat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini ku harapkan cinta-Mu
Reff:
Kata-kata cinta terucap indah
Mengalir berzikir di kidung doaku
Sakit yang ku rasa biar jadi penawar dosaku
Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya Illahi muhasabah cintaku
Tuhan kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku dengan-Mu


Thursday, August 05, 2010

Tarbiyah dalam kehidupan.....



  Al Mujahid As Syeikh Masyhur pernah menyebut...
" Tarbiyah bukan segala-galanya, tetapi segala-galanya dapat diraih dengan tarbiyah..."
Jadi sebenarnya  hanya melalui tarbiyah kita dapat membina kefahaman dan keyakinan yang sebenarnya terhadap islam yang merupakan anugerah Allah SWT yang terbesar. Hanya melalui tarbiyah sahaja kita dapat memahami dan menghayati islam dalam kehidupan seharian kita. Dengan tarbiyah islam kefahaman islam yang soheh dapat dibina dalam diri, keluarga dan masyarakat.
    Ibnu Taimiyyah menjelaskan kepentingan kefahaman yang soheh ini dan kesannya dalam hidup seorang mukmin.....
   " Kefahaman yang soheh dan niat yang baik adalah sebesar-besar nikmat Allah SWT keatas hambaNya. Bahkan tidak ada anugerah yang lebih baik dan lebih mulia selepas islam melainkan kedua-duanya. Kedua-duanya merupakn betis pada islam.Islam tertegak di atasnya dan dengannya hamba terselamat dari jalan orang-orang sesat yang mempunyai kefahaman yang rosak. Kefahaman yang soheh merupakan cahaya yang dicampakkan oleh Allah SWT ke dalam hati hambaNya menyebabkan beliau boleh membezakan antara yang soheh dan fasid, antara hak dan batil, antara petunjuk dan kesesatan, penyelewengan dan kebenaran........."
   Tarbiyah islamiyyah dapat membentuk kefahaman soheh ini sehingga islam lahir dalam bentuk penghayatan dalam kehidupan seorang muslim. Melalui tarbiyah islam,penjagaan, pengasuhan dan pendidikan islam yang bersumberkan Al-Quran dan Sunnah dijalankan sehingga ia dapat memproses dan mempersiapkan individu muslim itu dari semua aspek kehidupannya samada ruhani, jasmani dan akli(akal). Ia bersifat integral dan komprehensif.
    Dengan kata lain Tarbiyah Islamiyah adalah proses penyediaan manusia yang soleh. Generasi Sahabat yang dididik oleh Rasulullah saw melalui proses ini sehingga berjaya mendapat jolokan Generasi Rabbani yang di puji oleh Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 110,
    "Kamu adalah sebaik-baik ummah yang dikeluarkan untuk manusia. Kamu menyuruh berbuat baik dan melarang membuat mungkar dan kamu beriman pada Allah......."
      Jadi kita sebagai individu muslim mestilah melalui tarbiyah ini untuk kita dapat menghayati islam dalam ertikata yang sebenarnya.....Ia sungguh penting kerana hanya melalui tarbiyah kita dapat memahami peranan dan tanggungjawab kita sebagai Muslim Mukmin.......
       Penekanan tarbiyah ini adalah akidah tauhid yang perlu ditanamkan dalam jiwa insan sehingga ia benar-benar merasai hakikat tauhid uluhiyah dan rububiyah Allah....iaitu mengambil hanya Allah sebagai satu-satunya sembahan dan mengakui Allah sebagai pencipta . Apa yang diyakini dijiwa bukanlah angan-angan atau main-main .....tapi keyakinan yang terpahat dihati dan dibenarkan oleh amal!!
Iman ini kita proses melalui tarbiyah islam sehingga seluruh tindakan kita dapat kita hubungkan dengan Allah........ sehingga kita mencapai kesempurnaan iman itu iaitu memberi kerana Allah, membenci kerana Allah, mencintai kerana Allah, menahan kerana Allah semata-mata!! 
    Maka jadilah akidah dihati itu bersih dari syirik...kerana seluruh hati, jiwa dan raga diserahkan dan dihubungkan dengan ubudiah kepada Allah SWT sahaja.
   Apabila iman itu sudah mendasari jiwa....mudahlah untuk membuang semua sifat-sifat atau perangai-perangai jahiliyyah dan di gantikan dengan akhlak islam yang mulia...
   Apabila hati terikat dengan Allah, maka mudahlah untuk saling nasihat menasihati di atas kebenaran, kerana tiada kepentingan diri disini....
    Apabila hati terikat dengan iman, mudahlah melalui mehnah Allah dengan sabar dan tidak mudah putus asa....
   Semua ini merupakan natijah atau hasil dari tarbiyyah iman pada jiwa......!!
Jadi dalam suasana jahiliyyah moden yang menguasai kita sekarang ini, sebenarnya kita sangat-sangat perlukan kepada tarbiyah umtuk memantapkan diri kita dengan ilmu, iman dan amal islami...Setakat ilmu penuh di dada tapi tidak diproseskan ilmu tersebut dalam tindakan kita......kita cuma mencetak lembaran-lembaran kosong sahaja! Medan bercakap tidak sama dengan medan beramal.....kerana medan beramal perlu kepada jihad dan pengorbanan......hati, tenaga, masa, harta bahkan jiwa raga kita...!! Sama-sama lah kita memohon taufik dan hidayah Allah supaya Allah pilih kita dikalangan mereka yang diberi kefahaman yang soheh dan melaksanakan tuntutan Allah dalam kehidupan kita.
Amin...
(Rujukan Sumber tarbawi)
.

Monday, August 02, 2010

Menjelang Ramadhan Al-Mubarak....bagaimana persediaan kita?

      Lebih kurang seminggu lagi, bulan Ramadhan menjelma lagi...Alhamdulillah mudah-mudahan kita Allah izinkan bertemu lagi dengan bulan barokah ini, bulan yang penuh kemuliaan dan keampunan Allah! Datangnya persis tetamu istimewa yang menjenguk kita setahun sekali....datangnya membawa barokah, perginya membawa dosa-dosa kita! Tapi apakah persediaan kita menjelang Ramadan ini?
     Anologinya samalah seperti kita menyambut tetamu istimewa yang berkunjung ke rumah kita....sungguh gembira dan kita lantas membuat persediaan-persediaan yang perlu bagi menyambutnya...persediaan fizikal dan batin kita!
    Firman Allah yang bermaksud,' Bulan Ramadhan yang di dalamnya Allah telah menurunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan sebagai keterangan-keterangan hidayah serta sebagai pemisah antara hak dan batil' 
    Bulan Ramadhan merupakan anugerah Allah kepada kita.....ia merupakan peringatan bagi yang lalai dan lupa, menguatkan semula keazaman kita dalam melakukan amalan kebaikan bila kita lemah. Masuknya kita ke dalam bulan Ramadhan tahun ini dengan azam...Ramadhan tahun ini lebih baik dari tahun lepas! Kita memasuki bulan rahmat ini dengan persediaan hati yang betul.....untuk bersihkan jiwa kita zahir dan batin....sehingga bila tiba dihujung Ramadhan.....kita  memperolehi takwa pada Allah swt.!
   Firman Allah lagi "   Dan sediakanlah bekalan kamu dan sebaik-baik bekalan adalah takwa.Maka takutlah padaKu wahai ulul albab." 
   Bekalan takwa inilah yang hendak kita cari di sepanjang bulan mulia ini, kita didik diri kita;hati kita, semua anggota zahir kita, semua pancaindera kita agar semuanya tunduk dan patuh pada perintah Allah. Ketundukan yang lahir dari jiwa yang ingin kembali kepada Allah dengan penuh keikhlasan untuk membersihkan diri zahir dan batin sehingga apabila kita keluar dari bulan ini...umpama bayi yang baru dilahirkan.....bersih dari dosa kerana mendapat keampunan Allah dan dibebaskan dari api neraka! Inilah persediaan hati yang perlu ada dalam diri sebelum memasuki Ramadhan.Tertunggu-tunggu hari demi hari ...dan berdoa mudah-mudahan Allah bantu kita melaksanakan proses tarbiyah diri di sepanjang bulan ini..insyaAllah!
  Kita sedari alangkah ruginya kita bila kita biarkan bulan ini berlalu begitu saja...kita menolak anugerah Allah! Dunia ini mempunyai peniaga-peniaga dan akhirat juga mempunyai peniaga-peniaganya. Peniaga-peniaga dunia menunggu musim perniagaannya untuk mendapatkan keuntungan berlipatganda...MegaSalenya, jualan murahnya, Diskaun hebat...dan macam-macam lagi.......
Akan tetapi keuntungan peniaga-peniaga dunia tidak sama dengan keuntungan peniaga-peniaga akhirat!Keuntungan peniaga akhirat lebih hebat. dan tiada tandingnya  ..... .syurga dan keampunan Allah! Dangkal sungguh pemikiran kita jika kita tolak keuntungan hebat ini kerana keuntungan ini kekal selama-lamanya!
Peniaga akhirat diupamakan seperti firman Allah yang bermaksud,
    " Lelaki-lelaki yang tidak dilalaikan oleh  perniagaan dan tidak juga oleh jual beli daripada mengingati Allah,mendirikan solat dan mengeluarkan zakat.Mereka pada hari itu takut kepada hari yang mana pada hari itu hati dan pandangan akan terbalik."
     Hati peniaga-peniaga akhirat ini sentiasa terikat dengan hari akhir di mana segala sesuatu akan minta dipertanggungjawabkan. Bersediakah kita sekarang ini untuk menjawab persoalan ini?
    Pintu kebaikan dan syurga akan dibuka luas. Pintu kejahatan dan neraka akan tertutup. Punca-punca amal kebaikan begitu banyak sekali.....jadi alangkah beruntung dan bahagianya mereka yang mengambil faedah dan kesempatan setahun sekali ini....kemungkinan Ramadhan ini adalah Ramadhan terakhir kita! Betapa ramai kawan-kawan dan sanak saudara kita tidak lagi bersama kita sekarang.....mereka menyahut pangillan illahi! Jadi kita patut rasa bertuah kerana sekali lagi Allah izinkan dan beri kita peluang untuk kita bertemu dengan Ramadhan Al-Mubarak tahun ini.
     Jadi sama-samalah kita berusaha menambah simpanan aset akhirat kita. Sama-sama berazam untuk memanfaatkan bulan Ramadhan semaksima mungkin.Memanfaatkan harta kita dengan mengeluarkan zakat dan sedekah. Menunaikan hak bagi segala yang berhak. Segala yang ada pada kita adalah amanah Allah bukan hak mutlak kita!
      Betapa perlunya kita kembali pada Allah dengan penuh keikhlasan dan ketundukan hati kita dan  berdoa dengan penuh khusyuk agar Allah menyelamatkan kita dari musibah yang menimpa dan melenyapkan semua kesusahan yang kita alami. Betapa perlunya kita berdoa pada Allah setiap masa dalam semua urusan kita kerana doa orang yang berpuasa tidak akan ditolak sebagaimana
hadis Rasulullah yang bermaksud, " Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa doa yang tidak akan ditolak di tengah-tengah ia mengerjakan puasa."
    InsyaAllah dengan keyakinan dan keazaman ini, kita mengorak langkah masuki madrasah Ramadhan dengan rasa syukur,kita tingkatkan amalan kita hari demi hari yang berlalu, dan insyaaAllah melalui tarbiyah Ramadhan ini memungkinkan kita menghadapi sebelas bulan yang akan datang. Bulan ini umpama bulan kita mencari bekalan supaya kita dapat mengharungi liku-liku penghidupan ini yang banyak menguji hati dan jiwa kita. Subhanallah...Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang beriman dengan menganugerahkan bulan yang mulia ini di mana ada malam lailatul Qadar....malam yang penuh keberkatan dan lebih baik dari seribu bulan!

(Rujukan :Khutbah  Jumaat Prof Dr. Yusof Al-Qhardawi)

Hakikat hidup ini...

Siapa yang gemar membantu orang, Maka hidupnya senantiasa dipermudahkan. Siapa yang memiliki sikap belas ihsan, Maka akan disayang sesa...