Wednesday, September 29, 2010

Kematian...sesuatu yang pasti... jadi bersedialah!!




     Kita seringkali merancang penghidupan kita;  apa yang kita nak buat hari ini, esok,  bulan ini, tahun ini.......tapi kita selalunya lupa untuk merancang tentang kematian kita..... yang merupakan sesuatu yang pasti dilalui oleh setiap makhluk yang hidup!! Manusia ini berangan-angan panjang untuk hidup lebih lama, menangguhkan taubat kerana merasakan umur masih panjang dan merasakan kematian masih jauh di depan. Sedangkan saban hari kita mendengar tentang berita kematian di TV, akhbar-akhbar.......adakah tersentuh hati kita bila agaknya  giliran kita pula?? Tiada manusia yang selamat dari bencana ini......maka perlulah sebenarnya kita sentiasa ingat akan mati!!
   Rasulullah saw telah  berpesan  pada kita yang bermaksud ..
   " Perbanyakkanlah mengingati mati."
Kematian menghapuskan segala kenikmatan dunia dan memisahkan manusia daripadanya. Namun kita sering melupai dan menjauhinya dan mencampakkannya jauh-jauh dari pemikiran dan ingatan kita. Manusia seolah-olah mahu hidup di dunia ini selama-lamanya.......takut memikirkan pasal mati! Segala perbincangan manusia di dunia ini   berkisar bagaimana nak selesaikan permasalahan hidup......jarang nya perbincangan tentang permasalahan mati....sedangkan kita manusia ini dilahirkan sebenarnya adalah untuk mati...........!    
      Imam Al Ghazali mengingatkan kita dalam bukunya Ihya Ilumiddin tentang kematian ini. Perlunya sentiasa memikirkan pasal mati ini, berangan-berangan tentang mati, memberi perhatian tentang mati dan ternanti-nanti akan mati! Tentulah hakikat ini menyeramkan bagi kita yang takut mati, kurang persediaan untuk mati dan cintakan dunia! Jalan mengingati kematian ini sebenarnya dapat membersihkan hati dari karat kelalaian dan melembutkan jiwa yang keras sepertimana dalam hadis Rasulullah saw yang bermaksud.....
    " Sesungguhnya hati berkarat sebagaimana berkaratnya besi, dan perkara yang boleh mengilatkannya adalah tilawatul Quran dan mengingati mati." 
Dua peringatan yang berkesan bagi kita untuk membersihkan hati kita.....
    Firman Allah dalam surah Luqman :34 yang bermaksud......
" Sesaorang itu tidak tahu apa yang akan dilakukannya pada esok hari dan dia tidak tahu di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Meliputi ilmuNya."
    Tiada seorangpun tahu bila dan dimana dia akan mati....masa muda atau tua ke....di rumah ke atau dimana ye?? Semuanya dalam pengetahuan Allah SWT sahaja....kita tidak punya apa-apa petanda yang boleh memberitahu bila kita akan mati dan di mana! Bila kematian datang kita tidak mampu menahannya....samada untuk diri kita atau orang lain....semuanya sudah ditetapkan dan merupakan ketentuan Allah.
     Firman Allah lagi dalam surah Ali Imran :185 yang bermaksud....
"Setiap jiwa akan merasai mati dan sesungguhnya ganjaran dan balasan mereka akan disempurnakan di hari kiamat. Maka barangsiapa yang diselamatkan dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sesungguhnya dia telah berjaya. Dan tiadalah kehidupan di dunia melainkan keseronokan yang menipu."
    Itulah hakikat yang pasti bagi kita yang bernama manusia yang dijadikan untuk mati.....untuk mendapat balasan yang setimpal dengan amalan kita didunia ini di waktu kita di alam akhirat nanti. Jadi hiduplah sebagaimana yang engkau mahu, engkau tetap akan mati. Cintailah sesiapa yang engkau mahu, engkau tetap akan berpisah dengannya. Lakukanlah apa saja kerja yang engkau mahu, sesungguhnya engkau akan diberikan pembalasan dan ditanya tentangnya. Hiduplah seratus tahun atau dua ratus tahun...bukankah kesudahannya mati juga??
   Sekiranya pengakhiran hidup ini adalah mati maka sama sahaja umur panjang atau pendek.
Yang penting bukan panjang atau pendeknya umur...tapi bagaimana umur itu dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk kehidupan ini...beriman, bertakwa pada Allah, bermanfaat untuk orang lain dan melaksanakan tuntutan-tuntutan beramal soleh!!
  Apabila ajal sudah tiba, maka ia tidak akan ditangguhkan walau sesaat pun. Firman Allah dalam surah Al-A'raf :34 yang bermaksud....
   "Apabila ajal mereka sudah tiba maka mereka tidak akan ditangguhkan walau sesaat dan tidak juga dipercepatkan."
     Tiada penangguhan  kematian bila tiba saat dan ketikanya.....usia manusia merupakan beberapa hari tertentu dan beberapa hembusan nafas  yang tertentu...yang tetap akan berakhir !!
     Jadi kita sebagai seorang muslim perlu memikirkan selalu pasal hari akhir kita ini dan sentiasa berharap agar Allah mematikan kita dalam keadaan beriman pada Allah dan tergolong di kalangan orang-orang yang soleh. Inilah impian kita. Kehidupan yang sebenarnya bukanlah di dunia ini tapi nun di akhirat sana yang kekal abadi yang pasti akan kita lalui setelah kita mati. Jadi perlu seimbangkan dunia dan akhirat kita, buat bekalan dari kehidupan untuk kematian, dari usia muda untuk usia tua dan dari waktu sihat untuk waktu sakit. Jangan dipersia-siakan hidup ini.......hidup ini adalah anugerah Allah, amanahNya yang akan minta dipertanggungjawabkan...!  Sabda Rasullah saw dalam sebuah hadis yang bermaksud......
   " Orang yang beruntung ialah orang yang mengenali dirinya dan beramal untuk kehidupan selepas mati."
    Jadi sama-samalah kita berdoa agar kita memperoleh husnul khatimah di penghujung usia kita...
" Wahai Tuhan kami, curahkanlah kami kesabaran dan matikanlah kamu dalam keadaan seorang Muslim. Ya Allah, tolonglah kami dalam berhadapan dengan sakaratul maut."

Rujukan buku Khutbah Prof.  Dr yusof Al-Qardhawi

Tuesday, September 28, 2010

Kemampuan mengawal emosi.....

      Emosi dan perasaan akan bergejolak disebabkan dua perkara.......kegembiraan yang memuncak dan musibah yang berat. Dalam satu hadis Rasulullah saw bersabda...." Sesungguhnya aku melarang dua macam ucapan yang bodoh dan tercela....keluhan ketika mendapat nikmat dan umpatan ketika musibah." Firman Allah dalam surah Al-Hadid :23 yang bermaksud....
      "(Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang luput daripada kamu dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu."
     Justru itu Rasulullah saw ada mengatakan " Sesungguhnya kesabaran itu adalah pada pukulan yang pertama."
    Sesiapa yang mampu mengawal perasaannya pada setiap peristiwa maka dialah orang yang sejati yang memiliki kekukuhan iman dan keteguhan keyakinan kerana dia akan memperoleh nikmat dan kebahagiaan kerana kejayaannya mengalahkan nafsunya yang bergejolak ketika marah, senang ataupun susah. 
    Sifat manusia yang Allah SWT jadikan memang suka berbangga diri, senang gembira dan bakhil bila mendapat kesenangan dan mudah keluh kesah bila ditimpa kesusahan. Manusia juga merupakan makhluk yang tidak tahu bersyukur di atas nikmat yang Allah berikan dan tamak, suka mementingkan diri sendiri serta tidak menghiraukan perasaan orang lain!!
    Tapi bagi orang -orang yang khusyuk dalam solatnya, merekalah orang yang mampu berdiri seimbang diantara gelombang kesedihan yang kuat dan luapan kegembiraan yang tinggi. Dan mereka sentiasa bersyukur ketika mendapat kesenangan dan bersabar ketika kesusahan.
    Emosi yang tidak terkawal hanya akan meletihkan, menyakitkan dan meresahkan diri sendiri. Dikala marah, kemarahannya meluap-luap, tubuhnya gementar, mudah memaki hamun sesiapa saja, seluruh isihati akan ditumpah luahkan, nafasnya tercungap-cungap dan dia akan berbuat sekehendak hatinya. 
     Bila gembira pula, ia menikmatinya secara berlebih-lebihan dan mudah lupa diri. Dan apabila dia tidak menyukai sesaorang, dia akan mencela, mengherdik dan tidak nampak kebaikan orang tersebut. 
    Bila menyukai sesaorang, dia akan terus memuja dan menyanjung seolah-olah tiada cacat celanya......Manusia sebegini sebenarnya tiada neraca diri dan jiwanya penuh dengan penyakit-penyakit hati yang kronik yang perlu diubati segera........perlu kembali pada iman dan takwa yang sebenarnya...imannya tipis dan jiwanya mudah dikuasai syaitan! Dia hanya menyembah Allah di tepi atau tiada langsung......!!
     Dalam satu hadis menyatakan ..." Cintailah orang yang engkau cintai secara berpada-pada sebab siapa tahu dia akan jadi musuhmu pada masa yang lain, dan bencilah musuhmu sewajarnya sebab siapa tahu dia akan jadi sahabatmu pada masa yang lain."
     Dan Rasulullah berdoa dengan doa ini ...." Ya Allah, Aku minta padaMu keadilan ketika marah dan  berlapang dada." 
     Orang yan kuat adalah orang yang dapat menahan diri ketika marah.....kerana kebiasaan manusia bila marah dia sukar dikawal dan terserlah segala kejelekan dirinya. Sifat lapang dada pula ini hanya menghiasi  jiwa-jiwa yang tenang, bersih dan sentiasa berhubung dengan Allah.  Sesiapa yang dapat mengawal emosi dan akalnya , menimbang dengan betul, maka dia akan melihat kebenaran dan akan tahu jalan yang lurus dan akan menemukan hakikat.......
   Islam mengajarkan kita keseimbangan norma,  budi pekerti dan perilaku yang baik sebagaimana ia mengajarkan sistem yang lurus, syariat yang diredai dan agama yang suci......Ia satu sistem yang lengkap bagi manusia untuk mengambil manfaat darinya dan beroleh erti kebahagiaan yang hakiki......Cuma manusia saja yang enggan, sombong dan angkuh tidak mau kembali pada sistem yang Allah jadikan ini. Allah yang menciptakan manusia dengan segala sifat kekurangannya....juga telah mencipta sistem Islam yang terbaik untuk manusia.....Mengapa ambil sistem lain sebagai panduan hidup??. 
Sebagai renungan kita sama-sama hayati kata-kata hikmat ini.......  

Siapakah orang yang sibuk? 
 Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a.s
 
Siapakah orang yang manis senyumannya?
Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang ditimpa musibah lalu dia kata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun." Lalu sambil
berkata,"Ya Rabbi Aku redha dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman. 

Siapakah orang yang kaya? 
Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak lupa akan kenikmatan dunia yang sementara ini. 

Siapakah orang yang miskin?  
Orang yang miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk-numpukkan harta. 

Siapakah orang yang rugi?  
Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikan... 

Siapakah orang yang paling cantik?
Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik. 

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas?
 Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal-amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaskan saujana mata memandang. 

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit? 
Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikan lalu kuburnya menghimpitnya... 

Siapakah orang yang mempunyai akal?
Orang yang mempunyai akal adalah orang-orang yang menghuni syurga kelak kerana telah mengunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari siksa neraka..

Wallahualam...

Monday, September 27, 2010

Mengenali jahiliyah hari ini...

     Ramai di kalangan kita yang mengaku kita Muslim tapi sebenarnya kita tidak benar-benar merasai bagaimanakah kenikmatan berada dalam Islam seperti yang dirasai oleh sahabat-sahabat Rasulullah saw di zaman terdahulu. Mengapakah terjadinya demikian??  Kebanyakan kita adalah Muslim sejak lahir, tetapi hakikat nikmatnya menjadi Muslim belum dirasai walaupun kita rasa kita sudah melaksanakan tanggungjawab Islam dalam kehidupan kita.Jiwa kita masih belum tenang dan selalu resah gelisah bila masalah melanda sehingga kadang-kadang tidak nampak jalan penyelesaiannya.!
      Dalam rangka inilah, kita perlu mendekati sumber-sumber yang boleh memberikan gambaran Islam (fikrah islamiyah) yang betul dan tepat bedasarkan Al-Quran dan As-Sunnah.  Kita juga  perlu mengenali jahiliyyah hari ini. Mengenali jahiliyyah bererti kita mengetahui musuh ketat Islam dan iman ini.  Hilangnya kenikmatan  dan kemanisan hidup berada dalam Islam disebabkan adanya penyerapan unsur-unsur jahliyyah dalam diri, keluarga  dan masyarakat.
      Firman Allah SWT dalam surah Al-Maidah :50 yang bermaksud.............
" Apakah hukum jahiliyyah yang mereka kehendaki dan hukum siapakah yang lebih baik daripada hukum Allah bagi orang-orang yang yakin(beriman)?"
      Bagi orang Mukmin hukum Allah SWT lah yang terbaik. Tetapi ramai umat Islam hari ini menolak hukum Allah SWT dalam kehidupan praktik!  Islam hanya diambil dalam suasana formal sahaja seperti kematian, akad nikah, solat, puasa, haji dan lain-lain.....tapi dalam banyak keadaan Islam terpisah dari realiti hidup seharian! Nilai -nilai lain yang bukan Islam diambil.......ini adalah nilai jahiliyyah! Islam dan jahiliyyah dicampuradukkan dalam kehidupan. Kecelaruan timbul dalam diri dimana mengaku Muslim tapi rasa hati, tindakan, pandangan hidup, akhlak bercampur aduk dengan jahiliyyah! Mengaku Islam tapi ambil rasuah, cakap bohong, menipu, tidak jujur, dendam,  ...dan seribu macam lagi akhlak jahiliyyah dalam diri!!   Ini bukanlah yang Allah dan Islam kehendaki!
       Pengakuan Muslim dalam diri sepatutnya melahirkan syakhsiah Islam yang menyeluruh dalam diri......dalam setiap aspek kehidupan!  Apa yang Islam kehendaki adalah Islam yang kamil(lengkap) dan syamil(menyeluruh).....bukan Islam sampingan yang bercampur aduk dengan jahilyyah!
       Al- Quran telah memberikan gambaran tepat mengenai jahiliyyah yang sebenarnya......
Menurut Muhd Qutb, ciri-ciri jahiliyah itu adalah keadaan jiwa yang menolak hidayah dan hukum Allah SWT dan satu keadaan atau penyusunan masyarakat yang juga menolak hukum Allah SWT.
Jahiliyyah adalah berlawanan dengan marifat kenal Allah dan segala petunjuk Allah. Meskipun mengaku akan kekuasaan dan sifat Allah, tapi jika menolak untuk berhukum dengan Allah, ia tertolak dan inilah jahiliyyah!
      Jahilyyah bukan melawan sains dan kemajuan harta benda...tapi apabila ia menguasai diri dan menyebabkan kita berada dibawah telunjuknya......inilah jahiliyyah. Apabila Iman yang ada di jiwa tidak  mampu melahirkan amalan-amalan dan syakhsiah Islam, bermakna yang mengawal dan menguasai diri  dan aktiviti hidup kita adalah jahiliyyah. Hakikat inilah yang wajar kita sedari oleh setiap diri kita........jahiliyyah memang sudah menguasai seluruh hidup kita!! 
      Kejahilan atau kurangnya ilmu sesaorang atau kurangnya kemajuan fizikal masyarakat islam itu bukanlah jahiliyyah. Apabila kita menolak dan tidak mempraktikkan  Islam dalam hidup kita, itulah jahiliyyah. Jahiliyyah di zaman Rasulullah saw dulu dan jahiliyyah zaman ini sebenarnya mempunyai hakikat yang sama......sama-sama menolak Islam praktik dalam hidup......cuma jahiliyyah zaman ini lebih sofistikated dan kompleks. Zaman dahulu, jahiliyyah mudah dikesan; wujud perbezaan jelas mana Islam , mana jahiliyyah! Jahiliyyah moden sekarang bercampuraduk dengan Islam, tersembunyi di celah-celah Islam yang dipraktikan dan sukar dikesan! Realiti masyarakat Islam sekarang telah terkongkong dengan jahiliyyah yang amat teruk sehingga apa yang dianggap Islam pun sebenarnya di asaskan oleh jahiliyyah!     
       Jahiliyyah dan nafsu mempunyai hakikat yang sama......kedua-duanya menolak dan menyimpang dari iman dan Islam.  Apabila jiwa mengikuti hawa nafsu.......itu juga jahiliyyah kerana enggannya mengikut nilai Allah dan Islam! Tapi kita susah kesan dan sukar nampak jahiliyyah ini kerana .....kita sendiri juga tidak sedar dan tenggelam dalam nilai-nilai jahiliyyah dalam praktik hidup kita! Kita sukar menghapuskan jahiliyyah sepenuhnya dari dalam diri kita selagi kita tidak kembali kepada hakikat Islam yang syumul.
           Musuh-musuh Islam sekarang ini telah berusaha bersungguh-sungguh menenggelamkan umat Islam dalam arus Jahiliyyah ini melalui kemajuan-kemajuan yang mana melekakan umat Islam sehingga kita terlalai dan tertidur dalam buaian mimpi. Jadi senanglah mereka menguasai umat Islam! Jadi kita perlu sedar sekarang juga supaya hidup kita ini tidak dikuasai oleh sesiapapun melainkan nilai Allah dan nilai Islam!!  Berada dalam suasana jahiliyyah bermaksud berada dalam kegelapan,  penyelewengan , kucar kacir , kerosakan dan penyesatan. Setelah keluar dari suasana jahiliyyah .......baru  sedar dan nampak cahaya keindahan dan kenikmatan Islam. Inilah yang dirasai oleh sahabat generasi awal terdahulu... jadi atas rasa inilah mereka terus mengenggam Islam dengan istiqamah dan tidak rela kembali semula ke alam jahiliyyah....dan inilah sebabnya mereka merasai kemanisan iman dan Islam!  Cukup berbeza dengan realiti kita pada hari ini!!
    Al Quran dan Islam adalah cahaya dan petunjuk.  Inilah cahaya yang menerangi dan  penyuluh hidup manusia dalam mengharungi kegelapan arus kehidupan yang di selaputi jahiliyyah. Kita hanya dapat menuju destinasi dan matlamat kehidupan yang sebenarnya apabila kita menjadikan Al-Quran dan Islam sebagai pelita dan penyuluh kita. Tanpanya kita akan meraba-raba dalam kesesatan dan kegelapan jahiliyyah sehingga kita tidak nampak jalan keluar. Kita akan rasa lemas, resah,  gelisah , ketakutan dan tidak tenang sepertimana bila kita berada dalam kegelapan malam yang pekat yang mana tiada cahaya yang menerangi.
      Perlunya kita pada Islam dan Al-Quran seperti perlunya kita pada penyuluh untuk mencari jalan keluar dan nampak suasana sekeliling dalam kegelapan malam. Jadi perlulah kita mengambil dan menggenggam penyuluh ini selama kita berada dalam kehidupan di dunia ini. Barulah kita benar-benar dapat berjalan diatas jalan yang terang dan jelas tanpa penyelewengan. Barulah kita dapat menuju ke matlamat dan destinasi kita yang jauh dengan penuh keyakinan dan keimanan pada Allah.
Jika tidak, akan terumbang-ambinglah hidup ini, hilanglah kenikmatan hidup.....dan lantas ada yang mengambil jalan singkat dengan mengambil nyawa sendiri untuk menyelesaikan masalah!Alangkah rugi dan sia-sianya nikmat hidup yang Allah kurniakan di putuskan begitu saja......inilah natijah bila iman tipis dan Al-Quran tidak dijadikan  panduan hidup!!
     Jadi kita mestilah bersedia untuk membuang semua nilai-nilai jahiliyyah yang ada dalam diri kita dalam rangka kita nak kembali pada Islam. Islam dan jahiliyyah sebenarnya tidak ada kompromi walaupun sedikit! Hajat kita untuk kembali pada Islam mestilah pengembalian yang menyeluruh;jika ada sedikitpun campuraduk, itu masih jahiliyyah! Islam yang suci bersih tidak boleh duduk dengan jahiliyyah yang kotor dan hina. Dan dalam hati seorang muslim   mukmin tidak boleh berkongsi dua cinta yang berbeza.......perlu buat pilihan sama ada cinta pada Allah dan islam atau jahiliyyah!  

Sumber rujukan tarbawi

Friday, September 24, 2010

Apakah yang Islam kehendaki dari kita.....

    Pengakuan diri kita sebagai seorang Muslim tidak cukup hanya setakat kata-kata dan keyakinan yang tipis......tapi perlulah kita menjadi Muslim secara sedar.......sedar sebenarnya akan tuntutan pengakuan tersebut keatas diri kita. Kita perlu faham dan sedar apakah yang dikehendaki oleh Allah dan Islam...dan lantas kita berusaha mengikuti segala tuntutanNya. Bukannya hanya setakat mengambil Islam sesuai dengan kehendak kita......!
     Adalah menjadi arahan Allah SWT  kepada seluruh Muslimin untuk mengikuti syarak dalam apa juga suasana dan ketika. Nak buat sesuatu walaupun kecil....nilai syarak perlu ditentukan dulu. Hanya dengan mematuhi syarak akan beroleh keberuntungan di dunia lebih-lebih lagi di akhirat. Tapi untuk mengikuti syarak perlu kepada matlamat yang jelas dan terang........ matlamat yang berhubung dengan keimanan kepada Allah SWT. Dengan cara ini sahaja lah yang  akan membawa kita kepada kebahagiaan yang sejati.  Seluruh tenaga, masa, fikiran dan wang ringgit, bahkan seluruh kehidupan kita akan jadi jadi sia-sia sekiranya tidak ada matlamat hidup yang jelas dalam diri kita. Hakikat tidak jelasnya matlamat hidup inilah  yang berlaku secara berleluasa dalam realiti masyarakat pada hari ini. Membiar dan merelakan hal ini berterusan bererti masyarakat akan terdedah kepada kerosakan demi kerosakan......yang akhirnya sukar dibendung....melainkan kembali semula kepada matlamat hidup yang jelas seperti yang diterangkan oleh Allah dalam surah Az-Zariat: 56 yang bermaksud.......
   " Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk berubudiah pada Ku."
    Berhubung dengan ayat di atas Sayyid Qutb menjelaskan dalam kitab Fi Dzilalil Quran....
'Di sana ada matlamat tertentu tentang penciptaan jin dan manusia. Ini jelas dapat dilihat melalui tugas yang perlu dilaksanakan oleh setiap jin dan manusia..Sebenarnya jin dan manusia diciptakan SEMATA-MATA untuk berubudiyyah pada Allah SWT. Sesiapa yang cuai, ia sendiri memesongkan hakikat sebenar ia dijadikan.  Kalau tidak bermatlamatkan ubudiyyah, tidak berfungsilah jin dan manusia itu. Tanpa matlamat ini, hidup akan kosong, walaupun seluruh tenaga, masa, wang ringgit dan fikiran dicurahkan.'
     Ini diterangkan juga dalam surah Al-Asr yang bermaksud....
  " Demi masa, sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian, melainkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan saling berpesan dengan kebenaran dan saling berpesan dengan kesabaran."
      Segala aktiviti manusia yang tidak dikaitkan dengan iman dan amal soleh adalah rugi dan tidak bermakna di sisi Allah SWT. Inilah nilaian Allah yang perlu kita ambil yang mana kita sering terlupa nak lakukan! Seringkali kita buat kerja kita kerana dah memang tanggungjawab kita atau rutin harian kerja kita, atau kita buat sesuatu kerana arahan dan terpaksa!  Tapi sepatutnya kaitkan lah setiap amalan kita  kerana Allah dan dalam rangka nak mencari keredaan Allah. Jadi betulkanlah  niat kita selalu!
      Ubudiyyah yang dikehendaki adalah ubudiyyah yang berterusan....berlaku di mana sahaja dan dalam apa ketika dan suasana sekali pun....bumi Allah ini menjadi mihrab untuk kita menghadapkan
seluruh jiwa kita padaNya. Inilah yang Allah kehendaki....tapi majoriti masyarakat masih tidak mengetahui dan tidak merealisasikan kehendak Allah ini dalam kehidupan! Mungkin kerana kejahilan diri atau kerana sikap tidak ambil peduli dan  menuruti hawa nafsu yang menjadi illah dalam diri!
      Hakikatnya untuk melahirkan ubudiyyah pada setiap ketika ini bukanlah mudah. Ujian dan dugaan banyak samada dugaan dalaman dari hati sendiri atau dugaan luar yang lebih menyeronokkan hawa nafsu. Tapi ubudiyyah yang berterusan ini bukan lah sesuatu yang mustahil untuk dicapai.Jika dalam diri ada keikhlasan yang dibajai dengan kesungguhan demi kesungguhan........insyaAllah,  kesungguhan itu dapat digunakan untuk beramal dengan apa yang dikehendaki oleh Allah dan Islam......kesungguhan dalam beramal inilah yang memampukan kita untuk istiqamah dalam ubudiyyah kita pada Allah....!!
    Dalam berubudiyyah pada Allah, kita perlu merasai penyertaan Allah dalam semua keadaan dan suasana. Meyakini tiada suatu bendapun yang dapat ujud melainkan dengan kekuasaan Allah SWT.
Tidak ada sebarang perlakuan kita sama ada kita lahirkan atau sembunyikan melainkan dalam pengetahuan Allah SWT jua. Tidak ada secebis rahsia pun yang Allah SWT tidak ketahui.  Kita perlu sedar setiap perjuangan untuk mencapai dan menegakkan Islam, akan disertai Allah SWT. Dan setiap apa yang  diredai dan disertai Allah , sudah tentu mempunyai kekuatan yang tidak dapat diruntuhkan.
Ini terbukti dalam perjuangan generasi awwal terdahulu. Kisah Sumayyah, syahidah pertama dalam Islam, tidak tunduk pada kehendak jahiliyyah dalam mempertahankan aqidah islam...sanggup disula hingga mati.....demi kesucian ubudiyyah pada Allah ! Ini adalah kerana beliau memahami dan jelas apakah matlamat hidupnya dan sanggup menghadapi musuh-musuh Allah dalam mempertahankan imannya walaupun disula!
       Jadi keteguhan pada Islam apabila menghadapi tentangan kufur merupakan salah satu syarat untuk berjaya dalam menegakkan Islam. Keteguhan yang berterusan yang bukan mudah diperolehi melainkan setelah melalui proses tarbiyyah hari demi hari bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah, sirah para sahabat dan perjuangan ulamak-ulamak muktabar.......sumber pendidikan jiwa yang soheh yang sangat-sangat di perlukan pada hari ini....
    Jadi dalam mendidik diri.....perlu kembali kepada sumber soheh ini, mengikuti manhaj(sistem) yang betul dan berada dalam suasana (bi'ah) yang soleh.... mempunyai persediaan jiwa untuk di didik dan membuang semua karat-karat jahiliyyah yang sekian lama telah terdidik dalam jiwa kita dalam suasana tidak islamik ini.  Dengan melalui tarbiyah ini secara berterusan memampukan kita untuk terus istiqamah dengan Islam....memampukan kita untuk dapat membuat penilaian dan neraca yang betul dikala kita menghadapi ujiaan dan dugaan dunia! Mohon kekuatan dan pertolongan Allah jua untuk ini, diberiNya kesabaran dan kesungguhan dalam melalui proses tarbiyyah yang menuntut pengorbanan.Tanpa pertolongan Mu ya Allah, kita tidak punya kekuatan diri walau secebis pun!!

Sumber rujukan tarbawi.


Thursday, September 23, 2010

Rasullullah ikutan kita!

     Realiti umat Islam kini diselubungi jahiliyah; jahiliyyah dari segi perasaan, jahiliyyah dari segi pemikiran, jahiliyyah dari segi tindakan, jahiliyyah dari segi akhlak.....pendekata jahiliyyah telah meresap secara syumul dalam semua aspek kehidupan umat islam! Umat  Islam sekarang seolah-olah sudah kembali ke zaman Jahiliyyah.Fenomena ini telah diterangkan oleh Mujahid Said Hawwa dalam bukunya Jundullah Saqafatan Wa Akhlaqan.
      Asy-Syahid Sayyid Qutub juga menegaskan bahawa di zaman ini, terdapat kalangan manusia yang mengakui keagungan Allah SWT tapi dalam masa yang sama mengakui pula kekuasaan dan kemampuan manusia seolah-olah Allah SWT dan manusia bersaing hebat berlumba-lumba mencapai kebebasan di alam ini! Inilah ciri-ciri jahiliyyah yang telah meresapi seluruh kehidupan umat Islam.......dan keadaan sebegini akan berterusan sekiranya tiada usaha dari kita yang mempunyai kesedaran dan kefahaman Islam untuk mengembalikan hakikat yang hilang dari umat Islam ini. Dan antara kehilangan yang paling besar pada hari ini ialah kehilangan contoh tauladan dari Rasulullah saw yang dipraktikkan dalam kehidupan seharian!
        Dalam realiti sekarang, terdapat  banyak kebangkitan gerakan-gerakan Islam untuk mengembalikan umat Islam pada Deenul islam. Ini sesuatu yang membanggakan! Tapi adakah uslub atau kaedah yang dibawa  berpandukan apa yang telah dibawa oleh Rasulullah saw yang membawa kepada kejayaan besar dalam membina dan membangunkan ummah Islam terdahulu?? Bagaimanakah pendekatan yang dibawa.....adakah .mengikut apa yang laksanakan oleh Ar-Rasul??
      Mujahid Fathi Yakan menjelaskan wujudnya berbagai-bagai aliran pendekatan ; ada yang bersifat juz'i (terpisah-pisah) dan ada yang bersifat kulli (menyeluruh, syumul). Pendekatan islam yang juz'i cepat sekali berkembang, menekankan Islam bukan sebagai satu cara hidup, fokusnya pada aspek-aspek tertentu sahaja. Tapi perkembangannya hanya sekejap sahaja dan cepat sekali gagal  apabila melalui suasana yang tertekan. Tidak lahir syahsiah Islam yang syumul dalam kehidupan. Pada suatu ketika nampak keterikatan pada Islam, diketika lain pula berkompromi dengan nilai jahiliyyah!! Tiada perbezaan yang jelas antara islam dan jahiliyyah!
        Pendekatan Islam yang menyeluruh, lengkap dan berdasarkan contoh kepimpinan Rasulullah saw  lambat berkembang dan sukar mendapat sambutan yang besar kerana ia adalah satu proses tarbiyah islam yang terperinci dan mempunyai matlamat yang besar untuk mengubah secara keseluruhan bermula dengan individu, keluarga dan masyarakat. Ianya lambat kerana proses ini hendak mengembalikan manusia untuk berubudiah hanya pada Allah SWT sahaja dalam seluruh aspek kehidupannya. Ianya lambat kerana ia memfokuskan kepada proses penanaman iman pada Allah dalam hati nurani yang perlu diterjemahkan dalam seluruh tindakan dan amalan. Ianya lambat kerana perlu pada pengorbanan masa, tenaga, wang ringgit bahkan jiwa untuk istiqamah dalam menggengam Islam dalam apa juga keadaan!
          Namun walaupun lambat....tapi natijahnya dalam jangka masa panjang  dapat melahirkan individu Muslim yang mempunyai kefahaman dan kesedaran Islam yang syumul dan tinggi....yang sanggup berkorban jiwa dan raga untuk Islam kerana jiwa dan rohnya telah di isi dengan roh iman, Islam dan jihad melalui proses tarbiyah yang berterusan sehinggalah kembali pada Allah!  Melalui kepimpinan Rasullah saw ini, telah lahirnya satu ummah islam yang mana dipimpin oleh roh Al-Quran......Al- Quran sentiasa mengalir dalam jiwa mereka dan memimpin hati-hati mereka sehingga ketundukan dan kepatuhan mereka hanya pada Allah SWT. Mereka hanya mengambil hanya nilai Allah dalam kehidupan dan mereka mempersaksikan keperibadian agung dan tinggi yang dapat bertahan dalam apa jua suasana yang menekan!  Mereka adalah generasi Al-Quran yang merupakan umah terbaik yang pernah dilahirkan di muka bumi Allah ini!  Keadaan mereka adalah seperti yang diceritakan dalam Al-Quran dalam surah Ali-Imran;147 yang bermaksud.....
    "  Tiada doa mereka selain ucapan : Ya Rabbi, ampunilah dosa-dosa kami dan tindakan kami yang berlebih-lebihan, tetapkanlah pendirian kami, dan tolonglah kami terhadap kaum yang kafir."
      Hati nurani mereka sentiasa terikat dengan Allah , sentiasa memohon ampun dan pertolongan dengan Allah dalam segenap suasana dan ketika dan mohon jua  ditetapkan pendirian mereka. Tiada minta sedikit pun  nikmat dunia dan balasan pahala.  Ini sebenarnya menterjemahkan keyakinan mereka yang bulat terhadap kepimpinan Rasulullah saw dan mereka mengambil contoh Rasul untuk membentuk keperibadian mereka sendiri.
       Keimanan kita pada Rasulullah sebenarnya menuntut kita tunduk dan patuh kepada apa yang dibawa oleh baginda tanpa ragu-ragu atau persoalan. Mengikuti semuanya sekali tanpa ada rasa berat hati, segan atau susah. Ketaatan pada Allah dan Rasul merupakan satu tuntutan kepada orang-orang yang beriman. Firman Allah dalam surah Ali-Imran: 132 yang bermaksud....
    " Dan taatilah Allah dan Rasul, mudah-mudahan kamu di beri rahmat."
    " Katakankanlah jika kamu benar-benar mencintai Allah, maka ikutilah aku (Rasul), nescaya Allah mengasihi kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu, Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."     (Surah Ali - Imran :  31)
         Jadi untuk kita menjadi umat islam yang kuat, perlu kembali mengikuti semula kepimpinan Rasulullah dengan pendekatannya yang syumul, kamil dan mutakammil........jika tidak umat islam akan terus jadi buih yang dibawa arus , tiada  kekuatan diri...... dan tidak berdaya untuk melawan arus jahiliyyah yang kuat !

Wednesday, September 22, 2010

Berkata-kata yang baik......atau...diam!


  Dalam sebuah hadis Rasulullah saw menjelaskan yang bermaksud....
     " Barangsiapa yang beriman pada Allah SWT dan hari akhirat maka  dia berkata-kata dengan perkataan yang baik atau pun berdiam diri."
     Dari hadis di atas, Rasulullah saw menerangkan kepentingan menjaga lisan yang mana ia merupakan ciri-ciri keimanan pada Allah. Bercakap bila perlu saja dengan kata-kata yang baik.....ataupun jika tidak ada yang perlu dicakapkan lebih baiklah diam......Itu lebih utama! Ini boleh mengangkatkan darjat sesaorang itu di sisi Allah SWT.  Orang mukmin itu cakapnya adalah zikir  dan diamnya adalah berfikir! Orang yang banyak bercakap, banyak silapnya. Bila banyak silapnya, maka banyaklah dosanya. Bila banyak dosanya, maka nerakalah selayak tempatnya! Jadi jagalah cakap-cakap kita supaya tidak menjurus kepada yang mungkar......kerana bencana lisan inilah yang banyak merosakkan amalan kita!
     Walaupun mungkin bila kita berkata-kata yang baik itu tidak sampai ke hati pendengar, tetapi apabila Allah redo, maka Allah akan mengangkat darjat kita. Begitu juga sama ada kita secara sedar atau tidak , bila kita menuturkan ucapan atau kata-kata yang tidak baik.....Allah tidak redo akan hal ini dan menurunkan darjat kita di sisiNya!
     Kesalahan manusia kebanyakannya berpunca dari lisan.  Wasiat Abu Darda kepada kita yang bermaksud.....  "Bersikap adillah terhadap dua telinga kamu dan mulut kamu. Dijadikan dua telinga dan satu    mulut." 
    Allah SWT jadikan kita dua telinga dan hanya satu mulut untuk kita lebih banyak mendengar dan kurang bercakap. Dan dengan banyak mendengar firman Allah SWT, kita akan lebih memahami dan mentaati segala suruhan dan menjauhi laranganNya. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah : 285 yang bermaksud......
  "......dan mereka berkata ' Kami dengar dan kami taat . Ampunilah kami ya Tuhan kami dan kepadamulah tempat kami kembali."
      Di dalam Al Quran banyak terdapat ayat-ayat yang menyarankan agar manusia mendengar apa yang dibawa oleh Rasulullah saw.  Di antaranya Firman Allah dalam surah Ar-Rum: 23 yang bermaksud..
      " Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)Nya ialah tidurmu di waktu malam dan siang hari dan usahamu mencari sebahagian dari kurniaNya. Dan sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang mendengarkan."
     Nikmat telinga kerana dapat mendengar ayat-ayat Allah dan perkataan-perkataan yang baik dan segala bunyi yang indah yang Allah ciptakan seperti deruan ombak, kicauan burung.....yang  semuanya bertasbih memuji Allah.....Kedamaian jiwa terasa bila mendengarkannya dan lantas membesarkanNya !  Sebaliknya janganlah digunakan telinga untuk mendengar umpat keji orang, musik terlarang, dan bunyi-bunyi yang menyakitkan kerana kesannya pada jiwa....umpama racun yang meyakitkan jiwa! Ini juga adalah kufur nikmat!  
      Saidina Omar Al-Khattab pernah berkata......
     "Allah SWT merahmati sesaorang yang menjaga kelebihan kata-katanya dan memberikan kelebihan amal."
     Ini bermaksud kurang bercakap tapi lebih beramal. Lebih memberikan contoh dari bercakap yang tidak lahir dari amalan.  Cakap-cakap yang lahir dari hati akan masuk ke dalam hati..... Ucapan yang hanya dari bibir dan tidak datangnya dari hati umpama mencurahkan air ke daun keladi....tidak berbekas dan tidak meninggalkan kesan yang meresap dalam jiwa! Dan sebenarnya setiap ucapan atau kata-kata akan dipersoalkan.....! Firman Allah dalam surah As-Saff : 3 yang bermaksud.......
    " Amat besar kebencian  di sisi Allah  bahawa kamu  mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan."
    Jadi kita perlu proses diri kita dalam melaksana amalan-amalan yang dituntut dan dalam masa yang sama mengajak orang lain.  "Perbaikilah diri kamu dan ajaklah orang lain." Ini adalah kaedah dakwah dan tarbiah yang perlu kita laksanakan dalam diri kita dan masyarakat.......Kita tidak boleh melupakan tarbiah diri kita dalam rangka mengajak orang lain......Ciri-ciri dakwah yang berkesan adalah lebih banyak beramal daripada hanya propaganda dan kata-kata! 
     Jadi sebenarnya kita sangat-sangat perlukan bantuan dari Allah dalam mendidik diri kita untuk kembali padaNya. Allahlah tempat kita memohon segala hajat kita dan memperbaiki keadaan diri kita.
Kita perlu ikhlaskan hati untuk kembali pada Allah SWT............ untuk ubudiah pada Allah SWT semata-mata dalam seluruh kehidupan kita....  Maka barulah  kita akan dapat rahmat, petunjuk dan ampunan dariNya! Titik tolak dalam kehidupan kita perlu diperbetulkan......supaya semuanya berada di atas landasan yang syarak!

Sumber rujukan tarbawi


Tuesday, September 21, 2010

Hari ini adalah kepunyaan kita.......manfaatkanlah!!

         Apabila kita berpagi-pagi....maka janganlah menunggu waktu petang....kerana hari inilah yang akan kita tempuhi, bukan hari semalam yang sudah berlalu dengan segala kebaikan dan keburukan atau hari esok yang belum pasti kita tempuhi! Hari ini adalah lembaran baru bagi kita...untuk kita isi coretan-coretan kehidupan dan amal soleh kita........
        Mungkin hidup kita cuma tinggal hari ini sahaja......jadi anggaplah masa hidup kita cuma hari ini...atau seolah-olah kita lahir dan hidup hanya sehari sahaja..!  Apabila kita berfikir demikian, maka kita tidak akan rasa resah dan gelisah dengan kesedihan dan kedukaan semalam dan parut luka masa lalu atau kita dihantui dengan bayangan masa depan yang penuh keraguan dan sering menakutkan.
        Justru itu, fokus diri kita , perhatian kita, kesungguhan kita adalah pada waktu ini dan untuk hari ini! Pada hari inilah kita perlu berazam.....mempersembahkan kualiti solat paling khusyuk, bacaan Al-Quran paling tartil dan penuh tadabbur, berzikir sepenuh hati, keseimbangan dalam segala hal, redo dengan semua yang Allah berikan, perihatin pada persekitaran, ambil berat pada kesihatan jiwa dan raga dan berbuat baik sesama manusia...........
      Pada hari ini, sepatutnya kita lebih bijak dari hari  semalam dalam membahagi-bahagikan masa dengan sempurna dan bijaksana. Jadikan setiap minitnya sebagai ribuan tahun dan setiap saat sebagai ratusan bulan: tanamlah kebaikan sebanyak-banyaknya pada hari ini dan persembahkan sesuatu yang paling indah untuknya. Beristigfarlah dari semua dosa, ingat sentiasa padaNya, sentiasa bersiap-siaga menuju perjalanan jauh menuju akhirat. Nikmatilahlah hari ini dengan segala keriangan dan kebahagiaan. Terimalah rezeki, suami, isteri anak-anak, tugas-tugas, rumahtangga, jawatan kita hari ini dengan penuh rasa redo.......
     Firman Allah dalam surah Al-A'raf :144 yang bermaksud.......
" Terimalah apa yang Aku kurniakan kepadamu dan jadikanlah dirimu dari orang-orang yang bersyukur."
      Marilah kita hidup hari ini tanpa kesedihan, tanpa keresahan, tanpa kemarahan, tanpa kedengkian dan tanpa kebencian!! Sentiasa bersyukur dengan apa yang telah dikurniakan kepada kita. Apabila kita percaya pada diri kita dengan semangat dan azam yang kuat......kita akan dapat berpegang pada prinsip aku akan hanya hidup hari ini....dan sentiasa menyibukkan diri setiap saat memperbaiki keadaan , memperkembangkan semua potensi diri dan mengikhlaskan setiap amalan.....
      Jika kita hidup untuk hari ini, kita tidak akan menangisi  masa lalu yang sudah berlalu dan tenggelamlah ia seperti tenggelamnya matahari...masa lalu sudah meninggalkan kita semua....dan kita tidak termenung sebentarpun untuk mengingatinya....
    Jika kita hidup untuk hari ini, kita tidak akan bermain dengan khayalan masa depan yang masih dalam keghaiban....tidak bakal memburu sesuatu yang belum tentu ada ....esok hari adalah sesuatu yang belum diciptakan dan tidak ada satupun darinya yang dapat disebutkan.......mungkin ada cita-cita yang membara tapi  perlu diusahakan pada hari ini juga.....!!.
    Jadi ungkapan "hidup untuk hari ini" atau "hari ini kepunyaanku" merupakan ungkapan paling indah dan bermakna untuk menikmati hidup di dunia yang fana ini.....kita berusaha  memaksimakan amal hari ini yang akan jadi sejarah pada hari esok yang mungkin tidak menjelma bagi kita....bila kematian menjemput kita!!     

( Rujukan buku La Tahzan)

Sunday, September 12, 2010

Kejayaan Madrasah Ramadhan

    Dalam suasana kita menyambut 'Idulfitri dengan penuh rasa kegembiraan dan kesyukuran ini, kita perlu sentiasa ingat betapa perlunya kita mengekalkan ketakwaan kita yang telah dipupuk semasa kita berada di Madrasah Ramadhan dahulu. Kita merayakan Idulfitri sebagai seorang yang muttaqin. Kita janganlah memusnahkan segala amal dan pengorbanan kita dengan perkara maksiat dan mungkar.  Hendaknya kita mestilah istiqamah dengan sifat takwa ini  dan seterusnyalah bermujahadah untuk menjadi seorang muslim yang mutaqqin. Mudah-mudahan Ramadhan yang baru meninggalkan kita ini akan benar-benar menggamit rindu dan cinta kita pada Allah SWT. Sesungguhnya beruntunglah bagi orang-orang yang ibadah puasanya , solat tarawih ,tahajjud dan taubat  serta zikir dan tadarrusnya, diterima Allah , jihad dan dakwahnya ditegakkan, segala amal kebajikannya diperkenankan dan segala dosanya diampunkan disepanjang Ramadhan yang lepas. Orang sebeginilah yang layak mendapat kemenangan pada hari raya 'Idulfitri dan merayakannya di pagi hari lebaran yang mulia!!
    Marilah kita sama-sama mengorak langkah meneruskan kehidupan kita ini  dengan semangat membara , azam dan tekad yang baru untuk menjadi  insan  yang bertakwa dan beramal soleh. Kita perbanyakkan taubat  dan memohon keampunan di atas segala keterlanjuran dan dosa kita supaya mudah-mudahan Allah melorongkan ke arah jalan yang lurus dan medapat kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Firman Allah dalam surah Ali Imran :133-134 yang bermaksud,
    'Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan Tuhan kamu dan mendapat syurga yang bidangnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa iaitu orang yang mendermakan hartanya dikala senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang lain. Dan (ingatlah) Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.'  
    Jadi perlulah kita bersegera untuk melakukan kebajikan ini kerana masa tidak menunggu kita.......
Tanpa sikap segera ini, kita akan ketinggalan dalam mencari bekal menuju akhirat ...sikap santai, tunggu dan berlengah-lengah akan menyebabkan kita rugi......namun sikap inilah yang banyak menguasai diri umat islam sekarang....!! Ini perlu diperbaiki....Dalam mengejar akhirat kita perlu berfikir seolah-olah hari ini adalah hari terakhir kita hidup di dunia....esok hari tidak pasti kita akan hidup lagi....jadi kita perlu  memaksimumkan amalan kita pada hari ini juga! Segala perancangan amal kita seharian perlu kita isi dengan sempurna tanpa ada sedikitpun pembaziran masa pada hari itu. Dan berusaha memenuhi rutin tersebut, insyaAllah. Setiap kerja yang dibuat perlu dihubungkan dengan Allah walaupun kecil......kerana di sisi Allah tiada amal  yang kecil.........amal yang kecil tapi dibuat ikhlas kerana Allah adalah besar disisiNya...sebaliknya amal besar yang dilakukan tanpa ikhlas padaNya....tidak dinilai!  Justru itu tidak boleh meremehkan sesuatu amal itu walaupun sekecil mana amal itu seperti membuang duri dijalanan!!
  Yang pentingnya,  kita perlu melalui kehidupan ini dengan penuh rasa sedar bagaimana nak tukar amal biasa yang kita buat sehari-hari menjadi amal yang luar biasa yang diterima sebagai amal soleh.  Kita betulkan  amal kita yang biasa, dan biasakan  amalan yang betul  supaya ia jadi malakah atau tabiat dalam diri kita. Jadi setiap apa kerja yang kita buat........tak kira kecil atau besar....jadi amalan yang luar biasa....amal soleh yang Allah terima! Dengan kata lain seluruh hidup kita....dah menjadi ibadah kepada Allah SWT.....inilah matlamat sebenarnya hidup insan di muka bumi Allah ini....Menjadi hamba pada Allah!  

Thursday, September 09, 2010

Ramadhan yang ditinggalkan......yang dirindui....

Ramadhan kali ini...
Cukup bermakna bagi diriku..
Bulan rahmat penuh magfiroh
Mencari-cari kekuatan diri..
Dicelah-celah zikir dan tahajjudku
Memohon ampunan dan rahmatMu
Membersih hati nuraniku!

Hari-harimu berlalu terlalu cepat....
Dikau dah pun sampai ke penghujungnya!
Berderai airmataku...melalui detik-detikmu yang terakhir..
Apakan daya ku kau tetap pergi jua....
Meninggalkan daku dalam tangisanku!
Apakah kita akan bersua lagi??

Ku fahami setiap pertemuan kan ada perpisahan....
Yang meruntun jiwa dan perasaan...
Namun ku pasrah padaMu ya Allah..
Itukan ketentuanMu....!
Aku berharap pada Mu Ya Rabbi
Ku bersua kembali dengannya.....
Menghirup kembali udara ketenangan Ramadhan!

 Ah.....pasti kan ku merinduimu ya Ramadhan.....

 Sebagai tanda ingatanku padamu....
Ku berazam akan ku bawa rohmu Ramadhan bersamaku, insyaAllah
Dalam mengharungi kehidupan fana ini....
Penuh ujian dan dugaan!
Mohon kekuatan dariMu jua ya Rabbi....
Pimpinlah aku ke jalanMu  yang lurus..
Kuatkan iman dan takwaku!!

Nukilan
RAW




Tuesday, September 07, 2010

Berakhirnya Ramadhan......menjelangnya Eid Mubarak!

       Dua hari lagi akan berakhirlah Ramadhan Al Mubarak.......bulan mulia, bulan penuh rahmah dan magfiroh.....
Adakah kita telah berjaya melepasi Madrasah Ramadhan ini dan lulus ujiannya dan seterusnya mendapatkan natijahnya......ampunan Allah, dibebaskan dari api neraka dan beroleh ketakwaan yang akan jadi benteng diri kita sebelas bulan akan datang? Wallahualam, Allah sahaja yang Maha Mengetahui. Mudah2an, dengan izin Allah kita sama-sama berdoa agar mendapat ampunan dan rahmatnya dan dibebaskan dari api neraka!
        Berlalunya Ramadhan kelak, tetamu istimewa kita selama sebulan......akan kita rindui lagi insyaAllah pada tahun hadapan....mudah2an Allah panjangkan umur kita dan mengizinkan kita bertemunya lagi....kerana rasanya masih belum puas apa yang kita dah laksanakan...ada kelemahan di sana sini yang ingin diperbaiki lagi...........
      Taklif puasa yang Allah wajibkan kepada kita umat islam sebenarnya mempunyai hikmah-hikmah yang cukup banyak yang dapat mendidik diri kita menjadi insan yang lebih baik.....bila baik hubungan kita dengan Allah maka  akan baiklah hubungan dengan makhluk Allah. Puasa ini merupakan salah satu bekalan kita untuk kita melalui kehidupan yang banyak dugaan dan cabaran ini. Jalan menuju Allah bukanlah jalan yang dihampari dengan permaidani merah, atau sesuatu yang menyelesakan dan ditaburi bunga-bungaan harum.....tapi jalan ini penuh onak dan duri, yang perlu kita lalui kerana jalan inilah yang menyampaikan kita kepada segala kebaikan, kemenangan, kekuasaan didunia dan nikmat bahagia di akhirat dan keselamatan dari azab Allah SWT!
     Kita menyedari sebenarnya perlunya bekalan di sepanjang perjalanan hidup ini, iaitu bekalan iman dan takwa yang membantu kita mengharungi jalan ini, membantu kita berjaga-jaga dan berwaspada dari segala lubang-lubang dan lopak, membantu kita melangkahi rintangan tanpa penyelewengan dan kemalasan, tanpa berhenti dan berpaling ke belakang!
    Tanpa bekalan iman dan takwa ini, perjalanan jadi susah , banyak halangan dan penyelewengan. .Jika bawa hanya sedikit bekalan, akan mudah tertarik pada godaan musuh-musuh Allah dan tipu daya syaitan yang menyesatkan. Senjata iman dan takwalah yang menjadikan muslim itu kuat melawan godaan dan tipudaya ini dan terus istiqamah di atas jalan yang lurus ini. Justru itulah kenapa perlunya kita sangat-sangat berhajatkan pada natijah takwa ini dari puasa yang kita jalani ini! Tanpa takwa yang kita perolehi dari puasa ini.....sebenarnya tidak memampukan kita untuk istiqamah di atas jalan kebenaran......sedangkan istiqamah ini sebenarnya sangat penting dalam amalan kita......
      Berlalunya Ramadhan bukan bermaksud terhentinya segala amalan yang kita buat semasa bulan ini....ia sepatutnya diteruskan.....roh Ramadhan tetap bersama kita! Kita tidak mau menjadi manusia Ramadhani tapi  jadilah manusia Rabbani yang sentiasa melaksanakan amalan kita pada Allah tanpa bermusim atau mengikut masa dan keadaan! Ubudiyah kita pada Allah bukan bermusim.....tapi dari masa ke semasa kita tingkatkan semaksima yang mungkin!    
      Kejayaan memperoleh takwa ini lah yang disambut dengan laungan takbir Eid Mubarak sebagai tanda kesyukuran setelah melalui ibadah puasa secara intensif . Kegembiraan orang Muslim yang telah melalui ujian ini dengan jayanya....di ucapkan melalui tasbih dan tahmid sejak berakhirnya bulan Ramadhan lagi iaitu selepas berbuka puasa di hari terakhir  Ramadhan sehinggalah menunaikan solat Eidul Fitri.........kita meraikan hari raya ini dengan penuh rasa ketakwaan pada Allah....! Bukannya meraikannya dengan nyanyian dan hiburan , berbangga diri atau melakukan kegiatan yang tidak bermanfaat seperti menonton wayang, pesta makanan, pergaulan bebas dan macam-macam lagi,  ...! Kita raikan dengan mensyukuri nikmatnya dan saling bersilaturrahim sesama kita.....
     Di hari raya nanti kita akan memperoleh ganjaran akan setiap amal perbuatan yang telah kita lakukan...perlulah jaga diri kita agar catatan amal kita mengandungi kebaikan...Sambutlah hari raya dengan mengharapkan keredaan dan ampunanNya agar kita beroleh keberuntungan . Firman Allah  dalam surah Ali Imran (185) yang bermaksud......
    "  Sesungguhnya telah beruntung orang-orang yang dijauhkan dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga. Kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya."
    Ya Allah terimalah amal kami. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Maha Mengetahui. Ampunilah kami kerana Engkau Maha penerima Taubat lagi Maha Penyayang. 
Ameen, Ya Rabbal Alamin.

Monday, September 06, 2010

Selamat Hari Raya Aidil Fitri.......Takobbalallah minna minkum!


Kepada semua pembaca blog, teman2, sahabat2, semua pelajar dan bekas pelajarku,saudara maraku,sesiapa saja yang mengenali diri ini
Di atas keterlanjuran kata dan bicara,
Tersilap langkah dan perbuatan,
Kemaafan dipinta.....
 Setiap manusia mesti ada silap dan salahnya...
Namun di hari lebaran ini bermaafanlah sesama kita....  
Tiada guna disimpan dendam di jiwa
Merosak hati dan ukhuwwah kita bersama
Hadapkan hati yang bersih dan sejahtera
Kepada Allah yang Esa
Di pagi hari lebaran yang mulia!
Setelah sebulan kita berpuasa 
Mendidik diri , mengawal nafsu........
Untuk mencari keredaan dan ampunanNya.....
Janganlah kotori ia semula!


Semoga Allah menerima amal kami dan amal kamu semua!

Saturday, September 04, 2010

Sifat-sifat mereka yang hidup untuk islam

          Islam bermaksud penyerahan, dan apabila kita mengaku kita sebagai seorang Muslim bermakna kita menyerahkan diri  kita  sepenuhnya pada Allah, bersaksi bahawa Allahlah Illah dan pencipta kita, beriman padaNya serta tunduk dan patuh pada apa yang di perintahkan oleh Allah. Pendekata apa yang kita ucapkan mestilah kita lahirkan  dalam kehidupan kita . Jika tidak, apa  ertinya kita mengaku Muslim tapi corak hidup kita jauh dari apa yang sepatutnya......kita jadi Muslim yang fasik!! Ciri-ciri penghayatan Islam itu perlu dizahirkan sepenuhnya dalam penghidupan kita.
        Mujahid Fathi Yakan dalam bukunya "Apa ertinya saya menganut Islam' menjelaskan ciri-ciri penghayatan yang perlu ada bagi seorang yang mengaku dirinya Muslim. Dia perlulah benar-benar terikat dan menurut ajaran Islam. Ini adalah kerana iman itu bukan angan-angan belaka tapi apa yang terpahat di hati dan dibuktikan dengan amalan. Keyakinan yang menghunjam di kalbu yang melahirkan tindakan. Keterikatan pada semua perintah Allah tanpa mengira masa dan keadaan. Seorang muslim sejati sentiasa meneliti dirinya agar tidak tergelincir dari landasan yang Allah tetapkan. Firman Allah dalam surah Al- Baqarah yang bermaksud.......
       " Mengapa kamu menyuruh orang lain (mengerjakan kebajikan, sedangkan kamu melupakan (kewajipan)mu sendiri, padahal kamu membaca Al Kitab? Maka tidakkah kamu berfikir?"
    Seorang Muslim akan mengutamakan kepentingan Islam walaupun di mana sahaja dia berada. Apa sahaja posisi yang di pegangnya dalam masyarakat, dia mendokong cita-cita Islam. Tidak tamakkan kuasa dan pangkat. Sebaliknya posisi dan kedudukannya di gunakan untuk kepentingan Islam itu sendiri. Jawatan tinggi yang di pegangnya seperti pengurus, pentadbir, eksekutif, pengarah dan sebagainya bukanlah semata-mata untuk berkhidmat pada organisasi yang di anggotainya.......tapi khidmat utamanya adalah pada Allah dan Islam. Jika ada pertembungan nilai dalam menjalankan tanggungjawab ini....nilai Allah dan Islam didahulukan!  Kedudukan dan jawatan yang dipegang adalah  amanah Allah, maka jangan sampai kita tidak menunaikan amanah! Rasulullah saw mengingatkan kita dalam sabdanya yang bermaksud...................
     " Engkau memegang poin-poin penting dari poin-poin Islam maka awasilah jangan sampai musuh melolosi dari penjagaan engkau."
     Sebagai seorang Muslim. kita perlu rasa mulia dengan kebenaran Islam dan yakin kepada Allah SWT. Orang Mukmin tidaklah boleh rasa lemah dan dukacita kerana orang Mukminlah yang lebih tinggi dan mulia di sisi Allah SWT.  Firman Allah SWT dalam surah Ali- Imran (139) yang bermaksud......
     "Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah (pula) kamu bersedih hati padahal kamulah orang-orang -orang yang paling tinggi(darjatnya), jika kamu orang yang beriman."
      Kemuliaan kita sebagai seorang Muslim menyebabkan kita tidak rela dan tidak sanggup menggadai maruah diri dan agama untuk kepentingan dunia, nafsu yang rendah....! Kita mulia sebab kita dimuliakan oleh Allah kerana kita mengambil nilai Allah dalam hidup kita......bukan disebabkan kita disanjung manusia , berkedudukan atau berjawatan tinggi! Kemuliaan yang Allah berikan pada kita tidak menyebabkan kita tinggi diri.......sebaliknya  kita sepatutnya rendah hati dan tawaduk apabila semakin tinggi posisi kita.....!   
        Sebagai Muslim kita juga perlu sentiasa bekerja untuk Islam dan bekerjasama dengan aktivis Islam yang lain dalam menyahut seruan dakwah .....mengajak kepada yang maaruf dan melarang yang mungkar.  Sama-sama saling membantu untuk perkara kebajikan dan melarang permusuhan dan maksiat. Ini penting kerana untuk melawan arus jahiliyyah dan mungkar tidak mampu dilakukan bersendirian....perlu bersama-sama dalam jemaah. Sabda-sabda Rasulullah saw yang bermaksud......
  " Tangan Allah ( pertolongan) bersama jamaah, sesungguhnya serigala itu mudah memakan kambing yang terpencil dari kumpulannya."
   " Jamaah itu barakah." Berjamaah itu rahmat dan berpecah belah itu azab."
   " Orang - orang Muslim dengan orang Muslim yang lain adalah seperti binaan yang tersusun rapi, sebahagiannya menyokong dengan sebahagian yang lain."
    Kekuatan itu bersama jemaah. Jadi perlu bekerja untuk Islam dalam satu jemaah yang tersusun rapi untuk melawan arus jahiliyah yang tersusun rapi juga. Barulah kita mendapat kejayaan dengan izin Allah SWT. Tanpa jamaah kita lemah, tidak berkemampuan. Dalam jemaah inilah dikumpulkan semua kekuatan yang perlu untuk menangani segala cabaran dan dugaan yang datang untuk menghadapi musuh-musuh Allah dan musuh Islam.
        Justru itu kita perlu semak diri kita adakah kita mempunyai ciri-ciri mereka yang hidup untuk islam dan kita perlu berusaha mendidik diri untuk mendapatkan ciri-ciri tersebut. Keterikatan kita dengan Islam adalah kerana keterikatan kita dengan Allah SWT. Keterikatan kita dengan Allah apabila kita benar-benar mengenaliNya dan mencintaiNya dengan sepenuh hati kita. Apabila Allah sahaja yang kita cintai, seluruh kehidupan kita , matlamat hidup kita ini adalah semata-mata untuk mencari keredaanNya. 
       Jadi langkah pertama kita kearah menghayati islam dalam diri adalah perlunya kita mengenali Allah pencipta kita yang Maha Agung, merasai dan mengkagumi kebesaranNya, mengenali dan menghayati sifat-sifat Asmaul HusnaNya, mensyukuri nikmatNya yang tidak terhitung banyaknya pada kita..........dan merasai betapa daif dan lemahnya kita insan ini bila berhadapan dengan seluruh Dzat KebesaranNya!!. Siapalah kita di sisi Allah tanpa iman dan takwa padaNya! Pengenalan kita padaNyalah yang akan membuahkan kepatuhan dan ketaatan yang tidak berbelah bagi kita pada semua perintahNya dan lantas mengikat diri kita dengan Allah!!

Thursday, September 02, 2010

Bersedekahlah....untuk menghapuskan dosa dan melapangkan dada!!

         Kita umat islam masih berada di bulan Ramadhan.....di penghujung Ramadhan....hari demi hari berlalu dan Ramadhan akan pergi meninggalkan kita tidak lama lagi...!! Bagaimanakah amalan kita....solat, zikir, puasa, iktikaf kita......dan sedekah kita??Sepatutnya sekarang kita membuat pecutan ibadah yang terakhir dan maksimum  sebab peluang melipatgandakan pahala dibulan mulia ini akan berakhir!! Berlalunya Ramadhan yang mulia ini....sepatutnya kita merasa sedih......bukan gembira menyambut hari raya sahaja. Kegembiraan kita disaluti kesedihan; gembira jika kita dapat melalui ibadah puasa dengan sempurna dan sedih sebab tetamu istimewa yang membawa barakah, rahmah dan maghfiroh akan pergi.........  Adakah ia pergi dengan membawa keampunan bagi dosa-dosa kita dan membebaskan kita dari api neraka? Satu persoalan untuk diri kita renungi bersama.....!
    Dan salah satu cara untuk kita membersihkan diri kita dari dosa-dosa kita adalah dengan bersedekah! Lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan ini merupakan bulan ibadah, bulan mujahadah, bulan infak dan bersedekah.....kita perlu lipatgandakan ibadah, mujahadah, sedekah dan infak kita dibulan ini.....Pahalanya juga dilipatgandakan Allah beribu kali. Sedekah jariah  ini dituntut dalam islam untuk berkongsi bersama-sama mereka yang kurang berkemampuan dari segi material dan membelanjakannya di atas jalan Allah....
    Firman Allah dalam surah  Al- Baqarah (265) yang bermaksud.................
 " Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas)yang timbul dalam jiwa mereka adalah seperti satu kebun di tempat yang tinggi yang di timpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasil dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiramnya). Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat akan apa yang kamu lakukan."
     Surah At-Taghabun (17) yang bermaksud....
" Jika kamu meminjamkan Allah pinjaman yang baik, nescaya Allah akan melipatgandakankan (pembalasannya)kepada kamu dan mengampuni kamu.... "
            Anugerah Allah kepada kita berupa harta kekayaan bukanlah milik mutlak kita....ia adalah amanah Allah yang Allah beri pada kita....maka kita keluarkanlah anugerah Allah ini dengan kemampuan diri yang ada pada kita.......tidak semestinya kita mesti kaya raya baru bersedekah.....tapi memberi dengan kemampuan diri yang ada walaupun sedikit tapi kita beri dengan penuh keikhlasan!!  Sahabat Rasulullah yang tidak punya apa-apa pun bersedekah dengan hanya sebiji kurma! Bukan banyak yang Allah nilai...tapi semangat dan niat menyuburkan syiar bersedekah ini yang begitu tinggi nilainya.......yang sepatutnya kita contohi!    
    Firman Allah dalam surah Al-Isra (29)
" Dan janganlah kamu jadikan tangan kamu terbelenggu pada lehermu..."
        Allah melarang kita bersifat bakhil dan kikir ........kerana ikatan yang mengikat jiwa adalah sebahagian ikatan yang mengikat tangan......maknanya jiwa kita jadi sesak dan akhlak jadi sempit seolah-olah terikat kerana bakhil dan kikir. Sebaliknya dada orang yang banyak bersedekah akan jadi lapang dan bahagia....kerana Allah melapangkan dan meluaskan jiwanya!!
       Harta kita tidak akan berkurang kalau kita bersedekah dan berinfaq......malah  ia akan bertambah-tambah lagi! Inilah berkat bersedekah. Harta kita yang sebenarnya bukanlah harta yang kita simpan......tapi harta yang kita belanjakan dijalan Allah....! Kebakhilan diri tidak akan menjadikan kita kekal hidup selamanya...kita akan pergi menghadap  Allah bila tiba masanya.... dan harta yang menimbun itu bukan milik kita lagi...tapi milik  yang ditinggalkan. Dan apakah harta yang kita nak bawa balik kalau bukan amal soleh dan sedekah jariah di masa hidup kita? Jadi kena rebutlah peluang ini lebih-lebih di bulan Ramadhan yang tinggal beberapa hari lagi lagi! Dan kita teruskan amalan ini walaupun Ramadhan telah berakhir..................

Wednesday, September 01, 2010

Punca Kekuatan Kita

 


Orang mukmin yang kuat lebih dikasihi oleh Allah dari orang mukmin yang lemah. Kelemahan-kelemahan yang ada pada diri sesaorang akan mempengaruhi ubudiahnya pada Allah SWT dan lantas menyebabkan kurang istiqamahnya dengan amal-amal islami. Punca-punca kekuatan bagi sesaorang mukmin perlulah di cari dan diusahakan dalam diri dan umat islam kerana dengan kekuatan-kekuatan ini umat islam boleh menghadapi cabaran-cabaran dan dugaan yang datang. Di antara kekuatan yang perlu ada ialah.....
     Iman yang kuat pada Allah SWT adalah satu kekuatan yang perlu diproseskan dalam hati. Dengan ini jiwa yang kuat dapat diproseskan kerana dalam jiwa manusia tersembunyi kekuatan-kekuatan diri.......termasuklah  kesedaran, keikhlasan, kecintaan, kesabaran, kesungguhan, ketaatan, keberanian, kesyukuran , kemesraan.....dan banyak lagi....!! Apabila sifat-sifat ini diproses dalam jiwa , mukmin tersebut mempunyai kekuatan jiwa yang mampu bertahan dan  sanggup berjihad berkorban demi islam yang dicintai....jiwa yang lemah tidak berguna kerana ia cepat melatah, letih dan lesu bila teruji! Umat islam mestilah merupakan umat yang kuat jiwanya kerana ia membawa risalah Allah yang tinggi! Kekuatan kiita bersandarkan pada sumber yang Maha Kuat iaitu Allah SWT sendiri bukan pada yang lain! Kita tetap lemah apabila kita bersandarkan bukan pada Allah, walaupun fizikalnya nampak hebat dan canggih.
     Kekuatan ilmu dan harta kekayaan adalah senjata-senjata yang kuat yang mesti dipelajari dan ditingkatkan demi kemaslahatan islam. Kekuatan fizikal dan mental yang tenang juga adalah kekuatan. Dalam diri kita semua sifat-sifat diri seperti kebencian, kemarahan contohnya  perlu kita proseskan agar kita benci dan marah pada yang perkara yang betul ....benci dan marah pada kekufuran, kebatilan kemaksiatan dan kezaliman... cinta dan kasih pada Allah dan Rasul, pada ibubapa, pada sahabat seagama......bukan cinta terlarang yang menjerumuskan pada maksiat zina !! Inilah yang banyak terjadi kepada pemuda dan pemudi islam kita sekarang...pergaulan bebas yang merosakkan diri dan terjebak dalam dosa demi dosa........Apabila kita tidak menghiraukan larangan Allah....tunggu lah bencana yang akan menimpa diri dan umat ini...!Allah sangat hebat azab dan ancamanNya....tapi bagi hati yang tidak merasai...ini cuma kata-kata saja....! Itulah penting jiwa dan hati ini perlu hidup dan sensitif untuk merasai ancaman Allah itu benar, syurga itu benar, neraka itu benar, azab Allah itu benar, pembalasan itu benar, benar belaka semuanya!!
     Semua kekuatan tadi  dalam realiti sekarang sebenarnya telah terdidik oleh suasana sekeliling atau deen yang tidak islamik untuk mengenepikan dan menolak islam sebagai cara hidup, menolak nilai Allah dan menngambil nilai manusia, mencampuradukkan islam seterusnya tercemarlah kefahaman, kesedaran dan keyakinan islam yang bersih. Suasana sekarang ini  telah kehilangan islam , islam menjadi dagang semula......nilai-nilai islam diketepikan, nilai manusia, nilai barat disanjung! Akibatnya....kelemahan demi kelemahan timbul.......lemah akhlak, lemah jiwa, lemah sensitiviti pada yang batil.............dan yang kuatnya adalah nafsu yang tidak terkendali..........!!
      Justru itu, semua kekuatan tadi perlu dicari semula, dikumpul, diproses dalam satu sistem tarbiyah islam......sehingga kekuatan tadi duduk dibawah telunjuk iman dan dapat dimanfaatkan dalam kehidupan kita sebagai seorang individu muslim dan masyarakat islam. Kekuatan yang di kumpulkan secara kolektif bukan hanya wujud pada individu yang terpisah-pisah!  Kekuatan ini perlu diletakkan kena pada   tempatnya, masa dan ketika yang dikehendaki oleh Allah SWT.
      Namun perlu disedari, kejayaan umat islam  itu bukanlah  hanya kerana ramainya anggota atau banyaknya harta yang juga merupakan kekuatan yang diperlukan, tetapi kejayaan sebenarnya terletak pada kesabaran dan ketabahan jiwa yang diredhai Allah. Seorang mukmin yang sabar dapat mengalahkan sepuluh orang yang  tidak sabar! Dan dilihat  segi sirah  dalam perang Badar orang mukmin yang sabar yang sedikit jumlahnya dapat mengalahkan kafir Quraisy yang banyak!! Sebaliknya dalam perang Hunain orang muslim dikalahkan kerana mereka bangga kerana ramainya bilangan,tapi mereka tidak ada kualiti sabar yang Allah redhai. Jadi sebenar , kualiti diri individu muslim penting untuk mendapatkan kejayaan....   
   Jadi kita umat islam, perlulah kembali kepada islam  untuk mendapatkan semula kekuatan yang hilang yang sepatutnya menjadi milik kita.......Tapi oleh kerana kelalaian dan kelekaan kita dengan dunia, takutkan mati, menuruti hawa nafsu, meninggalkan Al-Quran sebagai pegangan kita....jadilah kita seperti sekarang ...... dikuasai oleh musuh Allah dan musuh islam!. Hilangnya harga diri kita, tergadainya maruah kita sebab kita mengenepikan islam sebagai cara hidup kita yang mulia........
Perlu bangunkan diri kita dari tidur yang lena kerana disekeliling kita umat islam sedang terbakar....... jika kita masih lena lagi....kita dan keluarga kita juga turut terbakar.. dan buat lah sesuatu  dengan kemampuan yang ada untuk berusaha memadamkan api kebakaran ini walaupun sedikit....!!

Hakikat hidup ini...

Siapa yang gemar membantu orang, Maka hidupnya senantiasa dipermudahkan. Siapa yang memiliki sikap belas ihsan, Maka akan disayang sesa...