Saturday, September 04, 2010

Sifat-sifat mereka yang hidup untuk islam

          Islam bermaksud penyerahan, dan apabila kita mengaku kita sebagai seorang Muslim bermakna kita menyerahkan diri  kita  sepenuhnya pada Allah, bersaksi bahawa Allahlah Illah dan pencipta kita, beriman padaNya serta tunduk dan patuh pada apa yang di perintahkan oleh Allah. Pendekata apa yang kita ucapkan mestilah kita lahirkan  dalam kehidupan kita . Jika tidak, apa  ertinya kita mengaku Muslim tapi corak hidup kita jauh dari apa yang sepatutnya......kita jadi Muslim yang fasik!! Ciri-ciri penghayatan Islam itu perlu dizahirkan sepenuhnya dalam penghidupan kita.
        Mujahid Fathi Yakan dalam bukunya "Apa ertinya saya menganut Islam' menjelaskan ciri-ciri penghayatan yang perlu ada bagi seorang yang mengaku dirinya Muslim. Dia perlulah benar-benar terikat dan menurut ajaran Islam. Ini adalah kerana iman itu bukan angan-angan belaka tapi apa yang terpahat di hati dan dibuktikan dengan amalan. Keyakinan yang menghunjam di kalbu yang melahirkan tindakan. Keterikatan pada semua perintah Allah tanpa mengira masa dan keadaan. Seorang muslim sejati sentiasa meneliti dirinya agar tidak tergelincir dari landasan yang Allah tetapkan. Firman Allah dalam surah Al- Baqarah yang bermaksud.......
       " Mengapa kamu menyuruh orang lain (mengerjakan kebajikan, sedangkan kamu melupakan (kewajipan)mu sendiri, padahal kamu membaca Al Kitab? Maka tidakkah kamu berfikir?"
    Seorang Muslim akan mengutamakan kepentingan Islam walaupun di mana sahaja dia berada. Apa sahaja posisi yang di pegangnya dalam masyarakat, dia mendokong cita-cita Islam. Tidak tamakkan kuasa dan pangkat. Sebaliknya posisi dan kedudukannya di gunakan untuk kepentingan Islam itu sendiri. Jawatan tinggi yang di pegangnya seperti pengurus, pentadbir, eksekutif, pengarah dan sebagainya bukanlah semata-mata untuk berkhidmat pada organisasi yang di anggotainya.......tapi khidmat utamanya adalah pada Allah dan Islam. Jika ada pertembungan nilai dalam menjalankan tanggungjawab ini....nilai Allah dan Islam didahulukan!  Kedudukan dan jawatan yang dipegang adalah  amanah Allah, maka jangan sampai kita tidak menunaikan amanah! Rasulullah saw mengingatkan kita dalam sabdanya yang bermaksud...................
     " Engkau memegang poin-poin penting dari poin-poin Islam maka awasilah jangan sampai musuh melolosi dari penjagaan engkau."
     Sebagai seorang Muslim. kita perlu rasa mulia dengan kebenaran Islam dan yakin kepada Allah SWT. Orang Mukmin tidaklah boleh rasa lemah dan dukacita kerana orang Mukminlah yang lebih tinggi dan mulia di sisi Allah SWT.  Firman Allah SWT dalam surah Ali- Imran (139) yang bermaksud......
     "Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah (pula) kamu bersedih hati padahal kamulah orang-orang -orang yang paling tinggi(darjatnya), jika kamu orang yang beriman."
      Kemuliaan kita sebagai seorang Muslim menyebabkan kita tidak rela dan tidak sanggup menggadai maruah diri dan agama untuk kepentingan dunia, nafsu yang rendah....! Kita mulia sebab kita dimuliakan oleh Allah kerana kita mengambil nilai Allah dalam hidup kita......bukan disebabkan kita disanjung manusia , berkedudukan atau berjawatan tinggi! Kemuliaan yang Allah berikan pada kita tidak menyebabkan kita tinggi diri.......sebaliknya  kita sepatutnya rendah hati dan tawaduk apabila semakin tinggi posisi kita.....!   
        Sebagai Muslim kita juga perlu sentiasa bekerja untuk Islam dan bekerjasama dengan aktivis Islam yang lain dalam menyahut seruan dakwah .....mengajak kepada yang maaruf dan melarang yang mungkar.  Sama-sama saling membantu untuk perkara kebajikan dan melarang permusuhan dan maksiat. Ini penting kerana untuk melawan arus jahiliyyah dan mungkar tidak mampu dilakukan bersendirian....perlu bersama-sama dalam jemaah. Sabda-sabda Rasulullah saw yang bermaksud......
  " Tangan Allah ( pertolongan) bersama jamaah, sesungguhnya serigala itu mudah memakan kambing yang terpencil dari kumpulannya."
   " Jamaah itu barakah." Berjamaah itu rahmat dan berpecah belah itu azab."
   " Orang - orang Muslim dengan orang Muslim yang lain adalah seperti binaan yang tersusun rapi, sebahagiannya menyokong dengan sebahagian yang lain."
    Kekuatan itu bersama jemaah. Jadi perlu bekerja untuk Islam dalam satu jemaah yang tersusun rapi untuk melawan arus jahiliyah yang tersusun rapi juga. Barulah kita mendapat kejayaan dengan izin Allah SWT. Tanpa jamaah kita lemah, tidak berkemampuan. Dalam jemaah inilah dikumpulkan semua kekuatan yang perlu untuk menangani segala cabaran dan dugaan yang datang untuk menghadapi musuh-musuh Allah dan musuh Islam.
        Justru itu kita perlu semak diri kita adakah kita mempunyai ciri-ciri mereka yang hidup untuk islam dan kita perlu berusaha mendidik diri untuk mendapatkan ciri-ciri tersebut. Keterikatan kita dengan Islam adalah kerana keterikatan kita dengan Allah SWT. Keterikatan kita dengan Allah apabila kita benar-benar mengenaliNya dan mencintaiNya dengan sepenuh hati kita. Apabila Allah sahaja yang kita cintai, seluruh kehidupan kita , matlamat hidup kita ini adalah semata-mata untuk mencari keredaanNya. 
       Jadi langkah pertama kita kearah menghayati islam dalam diri adalah perlunya kita mengenali Allah pencipta kita yang Maha Agung, merasai dan mengkagumi kebesaranNya, mengenali dan menghayati sifat-sifat Asmaul HusnaNya, mensyukuri nikmatNya yang tidak terhitung banyaknya pada kita..........dan merasai betapa daif dan lemahnya kita insan ini bila berhadapan dengan seluruh Dzat KebesaranNya!!. Siapalah kita di sisi Allah tanpa iman dan takwa padaNya! Pengenalan kita padaNyalah yang akan membuahkan kepatuhan dan ketaatan yang tidak berbelah bagi kita pada semua perintahNya dan lantas mengikat diri kita dengan Allah!!

No comments:

Post a Comment

Hakikat hidup ini...

Siapa yang gemar membantu orang, Maka hidupnya senantiasa dipermudahkan. Siapa yang memiliki sikap belas ihsan, Maka akan disayang sesa...