Realiti umat Islam kini diselubungi jahiliyah; jahiliyyah dari segi perasaan, jahiliyyah dari segi pemikiran, jahiliyyah dari segi tindakan, jahiliyyah dari segi akhlak.....pendekata jahiliyyah telah meresap secara syumul dalam semua aspek kehidupan umat islam! Umat Islam sekarang seolah-olah sudah kembali ke zaman Jahiliyyah.Fenomena ini telah diterangkan oleh Mujahid Said Hawwa dalam bukunya Jundullah Saqafatan Wa Akhlaqan.
Asy-Syahid Sayyid Qutub juga menegaskan bahawa di zaman ini, terdapat kalangan manusia yang mengakui keagungan Allah SWT tapi dalam masa yang sama mengakui pula kekuasaan dan kemampuan manusia seolah-olah Allah SWT dan manusia bersaing hebat berlumba-lumba mencapai kebebasan di alam ini! Inilah ciri-ciri jahiliyyah yang telah meresapi seluruh kehidupan umat Islam.......dan keadaan sebegini akan berterusan sekiranya tiada usaha dari kita yang mempunyai kesedaran dan kefahaman Islam untuk mengembalikan hakikat yang hilang dari umat Islam ini. Dan antara kehilangan yang paling besar pada hari ini ialah kehilangan contoh tauladan dari Rasulullah saw yang dipraktikkan dalam kehidupan seharian!
Dalam realiti sekarang, terdapat banyak kebangkitan gerakan-gerakan Islam untuk mengembalikan umat Islam pada Deenul islam. Ini sesuatu yang membanggakan! Tapi adakah uslub atau kaedah yang dibawa berpandukan apa yang telah dibawa oleh Rasulullah saw yang membawa kepada kejayaan besar dalam membina dan membangunkan ummah Islam terdahulu?? Bagaimanakah pendekatan yang dibawa.....adakah .mengikut apa yang laksanakan oleh Ar-Rasul??
Mujahid Fathi Yakan menjelaskan wujudnya berbagai-bagai aliran pendekatan ; ada yang bersifat juz'i (terpisah-pisah) dan ada yang bersifat kulli (menyeluruh, syumul). Pendekatan islam yang juz'i cepat sekali berkembang, menekankan Islam bukan sebagai satu cara hidup, fokusnya pada aspek-aspek tertentu sahaja. Tapi perkembangannya hanya sekejap sahaja dan cepat sekali gagal apabila melalui suasana yang tertekan. Tidak lahir syahsiah Islam yang syumul dalam kehidupan. Pada suatu ketika nampak keterikatan pada Islam, diketika lain pula berkompromi dengan nilai jahiliyyah!! Tiada perbezaan yang jelas antara islam dan jahiliyyah!
Pendekatan Islam yang menyeluruh, lengkap dan berdasarkan contoh kepimpinan Rasulullah saw lambat berkembang dan sukar mendapat sambutan yang besar kerana ia adalah satu proses tarbiyah islam yang terperinci dan mempunyai matlamat yang besar untuk mengubah secara keseluruhan bermula dengan individu, keluarga dan masyarakat. Ianya lambat kerana proses ini hendak mengembalikan manusia untuk berubudiah hanya pada Allah SWT sahaja dalam seluruh aspek kehidupannya. Ianya lambat kerana ia memfokuskan kepada proses penanaman iman pada Allah dalam hati nurani yang perlu diterjemahkan dalam seluruh tindakan dan amalan. Ianya lambat kerana perlu pada pengorbanan masa, tenaga, wang ringgit bahkan jiwa untuk istiqamah dalam menggengam Islam dalam apa juga keadaan!
Namun walaupun lambat....tapi natijahnya dalam jangka masa panjang dapat melahirkan individu Muslim yang mempunyai kefahaman dan kesedaran Islam yang syumul dan tinggi....yang sanggup berkorban jiwa dan raga untuk Islam kerana jiwa dan rohnya telah di isi dengan roh iman, Islam dan jihad melalui proses tarbiyah yang berterusan sehinggalah kembali pada Allah! Melalui kepimpinan Rasullah saw ini, telah lahirnya satu ummah islam yang mana dipimpin oleh roh Al-Quran......Al- Quran sentiasa mengalir dalam jiwa mereka dan memimpin hati-hati mereka sehingga ketundukan dan kepatuhan mereka hanya pada Allah SWT. Mereka hanya mengambil hanya nilai Allah dalam kehidupan dan mereka mempersaksikan keperibadian agung dan tinggi yang dapat bertahan dalam apa jua suasana yang menekan! Mereka adalah generasi Al-Quran yang merupakan umah terbaik yang pernah dilahirkan di muka bumi Allah ini! Keadaan mereka adalah seperti yang diceritakan dalam Al-Quran dalam surah Ali-Imran;147 yang bermaksud.....
" Tiada doa mereka selain ucapan : Ya Rabbi, ampunilah dosa-dosa kami dan tindakan kami yang berlebih-lebihan, tetapkanlah pendirian kami, dan tolonglah kami terhadap kaum yang kafir."
Hati nurani mereka sentiasa terikat dengan Allah , sentiasa memohon ampun dan pertolongan dengan Allah dalam segenap suasana dan ketika dan mohon jua ditetapkan pendirian mereka. Tiada minta sedikit pun nikmat dunia dan balasan pahala. Ini sebenarnya menterjemahkan keyakinan mereka yang bulat terhadap kepimpinan Rasulullah saw dan mereka mengambil contoh Rasul untuk membentuk keperibadian mereka sendiri.
Keimanan kita pada Rasulullah sebenarnya menuntut kita tunduk dan patuh kepada apa yang dibawa oleh baginda tanpa ragu-ragu atau persoalan. Mengikuti semuanya sekali tanpa ada rasa berat hati, segan atau susah. Ketaatan pada Allah dan Rasul merupakan satu tuntutan kepada orang-orang yang beriman. Firman Allah dalam surah Ali-Imran: 132 yang bermaksud....
" Dan taatilah Allah dan Rasul, mudah-mudahan kamu di beri rahmat."
" Katakankanlah jika kamu benar-benar mencintai Allah, maka ikutilah aku (Rasul), nescaya Allah mengasihi kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu, Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah Ali - Imran : 31)
Jadi untuk kita menjadi umat islam yang kuat, perlu kembali mengikuti semula kepimpinan Rasulullah dengan pendekatannya yang syumul, kamil dan mutakammil........jika tidak umat islam akan terus jadi buih yang dibawa arus , tiada kekuatan diri...... dan tidak berdaya untuk melawan arus jahiliyyah yang kuat !
asm
ReplyDeleteKita manusia perlukan panduan cara praktikal dan ini telah terbukti pada para Sahabat yang telah di didik, diasuh oleh Rasullallah sehingga Allah ikhtiraf mereka sebagai Umah yang terbaik...jadi untuk kita diikhtiraf Allah perlulah mengambil didikan Rasullallah bukannya cara pemikiran kita sendiri....ini lah berlaku dalam realiti apabila manusia mengambil cara lain maka terjadilah kacau bilau dalam masyarakat yang tidak berkesudahan ..Rujuklah pandangan Ulamak muktabar untuk dapatkan panduan..