Sunday, January 30, 2011

Ciri-ciri tarbiyah Rasulullah saw.

,Bismillahirrahmanirrahim.......

Rasulullah saw di datangkan oleh Allah SWT kepada manusia membawa peranan yang cukup besar. Beliau merupakan mahaguru dan pendidik ulung dan unggul yang dididik terus oleh Allah SWT dengan wahyuNya yang mulia. Baginda merupakan  semulia-mulia makhluk dan sebaik-baik contoh ikutan  kita dalam semua aspek kehidupan kita.

Sewajarnya seluruh umat Islam mengambil terus didikan atau Tarbiyah ArRasul  dalam hidup ini  supaya kita menjadi umah Islam yang mempunyai keperibadian yang tinggi yang mencapai kejayaan di dunia dan akhirat kita.  Meninggalkan tarbiyyah ArRasul ini bermakna kita meninggalkan satu-satu jalan yang ditunjukkan oleh beliau yang mencapai kepada matlamat ini.   

Ciri-ciri tarbiyyah Rasulullah saw adalah terdiri dari ciri-ciri  Islam itu sendiri. Rasulullah mengajak manusia kepada Deen Allah SWT di mana di antara sifatnya adalah.....
  • bersifat Rabbaniyyah
Rabbaniyyah dari segi manhaj (sistem) dan masdarnya(sumbernya). Ia bukannya rekaan akal semata-mata atau dari perancangan dan desakan kelompok manusia tapi semuanya datang dari Allah SWT. Ia adalah kebenaran dari Allah yang tiada sedikitpun keraguan tentangnya! Firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 1 yang bermaksud............
" Alif Lam Raa. Inilah kitab yang Kami(Allah) turunkan kepadamu (Muhammad) agar kamu mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya dengan izin Allah, kepada jalan Allah yang Maha Perkasa Lagi Maha Terpuji. "

Juga Tarbiyyah ini bersifat rabbaniyyah dari segi haluan dan matlamat di mana matlamat utama tarbiyyah ini ialah melahirkan insan soleh yang ubudiyyahnya hanya pada Allah SWT bukan pada yang lain.! Sebagai hamba Allah SWT kita hanya perlu mengikut segala ketetapan Allah ini dengan penuh kepatuhan diri. Patuh tanpa soal kepada segala arahanNya.

Berbeza dengan matlamat pendidikan rekaan manusia yang nak  lahirkan good citizen of the country ! Apabila sistem pendidikan rekaan itu tidak sesuai dan tidak relevan lagi, ia akan diubah setiap kali ada masalah, setiap kali ada pertukaran menteri.......sehingga para pendidik pening kepala melaksanakannya....setiap kali air bah setiap kali pantai berubah!  Bercelaru dan tidak mampu melahirkan individu yang soleh! Hanya mampu lahirkan individu yang banyak A dalam akademik tapi dari segi sahsiahnya tidak A . Ramai juga yang gagal dan tidak bermanfaat pada diri sendiri apatah pada orang lain!
  • menekankan pada masalah dasar iaitu aqidah Tauhid
Rasulullah mendidik sahabat-sahabatnya di atas asas-asas yang betul iaitu asas Tauhid, taabud (pengabdian) pada Allah dan syariatNya yang kamil (lengkap) dan syamil (menyeluruh).  Penekanan tarbiyyah dimulakan pada asas tauhid iaitu iman pada Allah  oleh Rasululah dalam mendidik dan membina ummah. Mereka adalah sahabat-sahabat yang didatangkan iman dahulu sebelum Al Quran. Apabila iman telah meresap dan mantap dijiwa, segala perintah dan larangan Allah dapat dilaksanakan dengan mudah, tidak perlu disuruh dan dikerah atau dipaksa......jiwa itu sendiri datang menyerah pada Allah untuk dididik dan melaksanakan segala arahan! Apabila jiwa telah kenal siapa pencipta dan illahnya......seluruh penghidupannya dapat di arahkan kesitu!

 Rasulullah tidak memulai tarbiyyah dengan langkah atau cara yang lain, inilah satu satunya jalan yang boleh mengubah jiwa manusia........mengenali siapa pencipta diri dan meletakkan Allah di makam yang betul dihati! Pengenalan yang bukan bersifat literal tapi......dirasai dijiwa akan  kewujudan, kebesaran, kekuasaan dan segala sifat kesempurnaan Allah SWT .....sehingga melahirkan rasa khusyuk dan tawaddhu  dihadapan Allah SWT! Iman sebeginilah yang terdidik dijiwa sahabat-sahabat Rasulullah saw bukannya iman yang ada dalam kebanyakan jiwa umat islam sekarang.....! Iman sebeginilah yang mampu mengatakan  " kami dengar dan kami patuh" diatas segala arahan Allah.
  • Saling lengkap melengkapi, menyeluruh dan seimbang
Sebagaimana Islam itu sifatnya lengkap, menyeluruh dan seimbang, begitu jugalah sifatnya tarbiyyah ArRasul ini. Melalui tarbiyyah ini seluruh potensi  diri manusia dibina secara bersepadu dari segi aqli, rohi, emosi dan jasmaninya yang  tidak terpisah-pisah di antara satu sama lain. Jiwa, akal dan jasadnya terdidik sehingga melahirkan individu yang seimbang dalam semua aspek. Tidak ada percanggahan dan konflik dalam personaliti diri....

 Semua aspek fakulti insan perlu ditarbiyyahkan dengan tarbiyyah Islam yang menyeluruh ini. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 28 yang bermaksud...........
" Hai orang-orang beriman, masuklah kamu kedalam Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang nyata."

Satu saranan tegas dari Allah kepada orang Islam yang mengaku beriman pada Allah! Perlu dan wajibnya kita menjadikan seluruh diri dan penghidupan kita Islam sepenuhnya. Dan untuk mengambil Islam keseluruhannya perlulah melalui proses tarbiyyah Rasul ini! Tanpa melalui tarbiyah ini sebenarnya kita tidak mampu masuk kedalam Islam keseluruhannya.......terlalu banyaknya halangan dalaman dan luaran diri yang menganggu gugat! Kekuatan dalaman diri  ini yang perlu diproses, dididik dan dipertingkatkan untuk menghadapi cabaran dan halangan tadi. InsyaAllah dengan bantuan Allah, mudah-mudahan kita berjaya dalam misi kita untuk menjadi hamba Allah dan seterusnya menuju visi kita mencari keredaan Allah!  

Disamping itu, kesyumulan Islam dan tarbiyyah Rasul ini adalah sesuai pada semua zaman, semua masa, semua keadaan dan semua tempat. Sesuai juga untuk semua umat manusia tidak kira siapa mereka, rupa bangsa dan warna. Sesuai juga pada semua tahap dan perkembangan hidup manusia. Semua makhluk bernama manusia ini sama saja dari segi ciptaan zahir dan batinnya. Semuanya dijadikan oleh Allah yang Maha Esa! Risalah Rasul ini sebenarnya adalah sebagai rahmat bagi seluruh alam. (Surah al-Anbiya:107). Jadi Islam dan tarbiyyah Islam ini sempurna tiada cacat celanya kerana ianya datang dari Allah Maha Sempurna yang Maha Mengetahui apakah yang terbaik bagi manusia!
  • tarbiyyah Ar-Rasul  bersifat positif dan membangun
Pelaksanaan tarbiyyah Rasulullah saw yang berteraskan aqidah, mempunyai tasawwur yang lengkap, menyeluruh dan seimbang ini sebenarnya memberikan kekuatan yang positif dan membangun dalam realiti hidup manusia. Kekuatan yang dapat mengurus dan memakmurkan bumi Allah dengan cara yang betul mengikut apa yang Allah kehendaki bukan mengikut apa yang manusia kehendaki.  Dengan itu barulah layak manusia itu di sifatkan sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi kepunyaan Allah ini! Bukannya seperti sekarang bumi Allah ini diurus sesuka hati dengan rakusnya kerana merasakan tanah dan negara itu adalah hak mutlak individu atau pemimpin sehingga banyak bencana berlaku akibat tangan manusia itu sendiri......!

Perlu difahami dengan jelas bahawa pelaksanaan dasar tarbiyyah dalam diri iaitu aqidah Islam bukanlah hanya sekadar iman dihati  atau teori iman semata-mata. Ia juga bukan setakat penyucian batin malah lebih dari itu. Ia adalah satu manhaj (sistem) kehidupan yang dituntut oleh Allah SWT yang perlu dibangunkan dalam realiti hidup melalui kerja-kerja amal islami dan jihad yang berterusan!

 Ini bermakna orang-orang Islam yang mendapat tarbiyah iman serta memahami tasawwur aqidah Islamiyyah  tidak akan berdiam diri bahkan iman itu akan diterjemahkan dalam bentuk amal, kerja dan jihad di jalan Allah SWT.   Renungilah firman Allah SWT dalam surah al_Hujurat ayat 15.......
"Sesungguhnya orang-orang Mukmin itu ialah mereka yang beriman dengan Allah dan RasulNya dan kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta benda dan jiwa pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar." 

Mereka benar-benar memahami apakah matlamat hidup ini dan jalannya serta tugas dan tanggungjawabnya sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi. 

 Inilah dia tarbiyyah ArRasul yang sebenarnya perlu kita mengikutinya dalam hidup kita ini untuk mendapatkan kejayaan sebenarnya disisi Allah  di  dunia dan di  akhirat. Tanpanya kita tidak dapat melaksanakan tuntutan Islam yang menyeluruh. Memang lah suatu yang berat tapi adakah jalan lain, alternatif lain untuk kita mendapat kejayaan dan kebahagiaan hakiki di akhirat? Benarlah kata pepatah......  berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian! Di dunia ini adalah tempat kita bersusah-susah dahulu memproses dan memperbaiki diri, mengawal nafsu dan berjihad dijalan Allah.....untuk mendapat ganjaran terbaik disisi Allah di akhirat nanti.  Segala harta , masa dan tenaga yang dicurahkan, pengorbanan yang dibuat, airmata yang mengalir, darah yang tumpah.......bukanlah sesuatu yang sia-sia jika kita ikhlas kepada Allah!   

Rasulullah telah mendidik sahabat-sahabatnya dengan tarbiyah ini sehingga lahir peribadi-peribadi mulia seperti Saiyyidina Abu Bakr, Umar, Ali, Uthman, Bilal dan banyak lagi.......Lahirnya generasi misali dari didikan ini yang dikenali sebagai Generasi Al-Quran kerana mereka hidup dibawah naungan Al-Quran dan bimbingan Rasulullah saw. Lahirnya mereka sebagai ummah terbaik bukanlah secara kebetulan atau tiba-tiba tanpa proses pembentukan......tapi melalui beberapa tahap pembentukan dan tarbiyyah yang panjang yang terpaksa menempuh berbagai cabaran dan ujian bermula selama 13 tahun di Mekah (tahap Makiyyah) dan 10 tahun lagi di Madinah. 

Begitu juga kita untuk menjadi Muslim sebenarnya bukannya juga secara kebetulan atau tiba-tiba....Apa yang kita usahakan , itulah yang kita dapat! Sekuat mana usaha dan keikhlasan kita, begitulah juga hasil yang kita perolehi. Kita perlu mentarbiah diri kita! Jika kita malas berusaha menjadi Muslim yang sebenarnya, malas nak tarbiah diri, suka duduk diam dirumah sahaja, puas hati dengan kehidupan dunia  kita sekarang, sentiasa mengikuti keinginan hati tanpa soal....., jadi jangan pula malas nak fikir agaknya tempat kita di mana di akhirat nanti?  Kalau tidak difikirkan sekarang......takut-takut bila nyawa dah ada dikerongkong baru kita 'terfikir'?  Pada saat itu segalanya sudah terlambat!! Nauzubillah........

  

2 comments:

  1. asm

    Tarbiyah memerlukan pengorbanan....perlu memyerahkan hati setiap masa untuk di didik...kalau lalai Sistem jahiliah akan mengambil tempat...ketika itu fikiran kita di ganggu oleh hawanafsu dan syaitan....lisan dan perbuatan kita juga tergugat....akhirnya membawa kepada dosa dan hati kembali lemah...kitalah orang yang pertama nak tarbiyah diri kita kita...orang lain hanya boleh membantu....
    RENUNGAN

    ReplyDelete
  2. Hari ini kaum Muslimin berada dalam situasi di mana aturan-aturan kafir sedang diterapkan. Maka realitas tanah-tanah Muslim saat ini adalah sebagaimana Rasulullah Saw. di Makkah sebelum Negara Islam didirikan di Madinah. Oleh karena itu, dalam rangka bekerja untuk pendirian Negara Islam, kita perlu mengikuti contoh yang terbangun di dalam Sirah. Dalam memeriksa periode Mekkah, hingga pendirian Negara Islam di Madinah, kita melihat bahwa RasulAllah Saw. melalui beberapa tahap spesifik dan jelas dan mengerjakan beberapa aksi spesifik dalam tahap-tahap itu

    ReplyDelete

Hakikat hidup ini...

Siapa yang gemar membantu orang, Maka hidupnya senantiasa dipermudahkan. Siapa yang memiliki sikap belas ihsan, Maka akan disayang sesa...