Friday, October 29, 2010

Beristiqamahlah dalam beramal!

Setiap muslim berikrar bahawa Allah SWT adalah Rabbnya, Islam adalah deennya dan Rasulullah saw adalah rasul ikutannya seperti yang sering dibaca dalam doa...

 Aku redha Allah sebagai Rabbku dan Islam sebagai deenku dan Muhammad saw sebagai nabi dan rasulku...


Sebenarnya kita harus memahami erti ikrar ini dan berusaha merealisasikanya dalam kehidupan kita. Tapi hakikatnya tidak semua orang memiliki kefahaman yang baik tentang Islam dan menghayatinya dalam semua aspek kehidupan. Dan bagi yang dapat menghayatinya, belum tentu dapat bertahan dan tetap istiqamah dalam melaksanakan tuntutan Islam dalam kehidupan. Banyak faktor-faktor dalaman diri dan luaran iaitu persekitaran yang mempengaruhi pendirian untuk tetap istiqamah dalam melaksanakan Islam  dalam kehidupan kita secara syumul.  Kenapakah terjadinya demikian?

Firman Allah dalam surah Hud : 12 yang bermaksud...
" Maka tetaplah kamu pada jalan yang benar, sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan juga orang yang telah bertaubat berserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Dia melihat apa yang kamu kerjakan."


Tetap pendirian atau istiqamah ini merupakan satu tuntutan dalam kita beramal soleh dan juga bagi orang yang telah bertaubat.......tidak mengulangi dosa yang lampau, tidak  menyorot ke belakang balik setelah kembali ke pangkal jalan! 

Umar Al-Khattab menyatakan istiqamah itu adalah iltizam( berpegang teguh) terhadap perintah dan larangan Allah serta tidak menipu sebagaimana tipuan musang, sementara Mujahid pula mengatakan istiqamah adalah  terhadap syahadah sehingga bertemu Allah SWT.

Pernah Rasulullah saw ditanya tentang istiqamah ini, " Ya Rasulullah katakan kepadaku satu perkataan dalam Islam yang aku tidak akan bertanya kepada sesaorang selain engkau."
Baginda menjawab," Katakanlah , Aku beriman pada Allah dan kemudian beristiqamahlah." 

Keyakinan hati kita terhadap Allah mestilah mantap untuk kita dapat terus beristiqamah padaNya, kerana apabila kita teruji dan diuji, di sini baru kita menyedari dan dapat mengukur sejauhmana benarnya pengakuan kita sebagai seorang muslim yang beriman pada Allah, sejauhmana kita mampu beristiqamah di atas jalan yang lurus. Istiqamah ini bukanlah dakwaan semata-mata........tapi ia adalah konsistennya kita dalam  penghayatan dalam apa juga keadaan samada aman atau terancam! Untuk istiqamah juga mesti melalui tarbiyyah yang panjang .........

Faktor-faktor yang dapat melahirkan istiqamah di antaranya....
  • beramal dengan amalan yang sebaik-baiknya. 
Firman Allah SWT yang bermaksud....
" Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya." (Al-Hajj:78).

Melalui jihad ini sebenarnya dapat memantapkan pendirian kita .....tanpa jihad, amalan yang kita buat tidak sempurna, separuh hati, ikut keadaan, bermusim.....macam-macam sebab lagi. Jihad dalam amalan ini akan menyebabkan kita sentiasa berusaha memperbaiki dan meningkatkan amalan kita setiap masa, mendisiplinkan diri.......sehingga kesannya kita mampu dan boleh beristiqamah dengan apa yang kita buat.

Contohnya solat tahajjud....mungkin pada awalnya kita agak sukar bangun malam namun dengan usaha dan jihad yang berterusan.... kita dapat istiqamah dengannya!! Tapi perlulah kita ada kesungguhan dan dorongan dalaman diri yang kuat untuk itu, bukan ikut-ikutan semata!! Apapun kita buat semuanya kerana kita hendak kembali pada Allah!
  • Bertindak keatas sesuatu berasaskan ilmu dan kefahaman. 
Firman Allah dalam surah Al-Isra:36 yang bermaksud.......
" Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya.  Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati semuanya akan minta dipertanggungjawabkan."         

Kepentingan berilmu dalam beramal mestilah di ambil kira. Apabila kita memahami kenapa kita perlu beramal, bagaimana kita beramal, tujuan beramal, kesan dan manfaatnya.....keyakinan kita akan lebih mantap dan ia dapat mendorong kita untuk melakukannya dengan istiqamah. Hakikatnya, ilmu, iman dan amal tidak boleh dipisahkan.....dengan ilmu kita akan dapat menyakini dan seterusnya melaksanakan apa yang kita yakin.

Tanpa ilmu dan iman.....kita tidak akan dapat bertahan lama. Pentingnya kita mempelajari ilmu dan seterusnya melaksanakan tuntuan ilmu tersebut dalam diri......supaya ilmu tersebut jadi manfaat pada kita!! Janganlah kita jadi orang yang jahil yang hanya mengikut tanpa ilmu......sesungguhnya segalanya akan minta dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT.                   
  • Tidak bersandarkan kepada sesuatu dengan faktor-faktor yang bersifat sementara, tetapi bersandarkan kepada sesuatu yang kekal.  
Apa sahaja yang kita buat.....semuanya bukan untuk manusia tetapi kita laksanakannya atas dasar ketaatan kita pada Allah SWT. Kita hanya berharapkan balasan akhirat bukannya didunia ini.....semua yang ada didunia ini adalah sementara belaka, tidak kekal dan tidak boleh dibawa mati kecuali tiga amalan iaitu ilmu yang bermanfaat yang diajarkan, sedekah jariah kita dan doa anak yang soleh! Segala yang lain, akan kita tinggalkan......

Adapun rezeki kita di dunia ini, bukannya datang dari manusia tapi sebenarnya ia adalah dari Allah.....walaupun pada lahirnya manusia yang memberikannya! Jadi apabila kita beramal kerana Allah.....kita akan tetap istiqamah di atas amalan kita walaupun kita dihina, diketepikan dan tidak dapat ganjaran dunia.....! Di hati kita tetap berpegang teguh dengan apa yang diyakini!
  • Ikhlas dalam amalan pada Allah SWT sebagaimana firman Allah dalam Surah Al- Bayyinah :3 yang bermaksud, " Padahal mereka tidak disuruh kecuali menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepadaNya dalam (menjalankan) agama yang lurus."
Mengikhlaskan seluruh amalan untuk Allah, tiada sekutu dengan Allah dalam amalan kita.Syarat amalan diterima adalah keranaNya dan mengikut syariatNya.  Jadi perbetulkan lah niat kita, selalu check niat kita sebelum, semasa dan selepas berbuat amalan. Jadikan ia satu tabiat diri, bisikkan dihati  selalu tentang niat amalan kita.  Janganlah kita berbuat amalan tanpa memasang niat yang ikhlas ini terlebih dahulu.
    • Mengikut sunnah Rasulullah saw.
    Dengan mengikuti sunnah , kita mendapat barokah,  mengikuti sesuatu amalan mengikut apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah yang diberikan pahala!  Berkata Imam Sufian," Tidak diterima sesuatu perkataan, kecuali apabila ia disertakan amal. Dan tidak lurus perkataan dan amal kecuali dengan niat dan tidak lurus perkataan, amal dan niat kecuali mengikut sunnah."

    Jadi untuk melahirkan istiqamah perlu pada tiga pendekatan sekali gus iaitu kerana Allah, bersama Allah dan menuju pada Allah. Kerana Allah bermaksud mengambil Islam sebagai prinsip hidup, bersama Allah pula bersama-sama berada diatas sistem atau manhaj Allah, dan menuju Allah bermakna sentiasalah bermatlamatkan Allah dalam setiap kerja-kerja dan usaha kita. Dalam setiap kerja dan amal kita inilah yang perlu ada.....barulah dapat melahirkan amal yang mantap dan istiqamah!! 

    Tanda-tanda orang yang istiqamah itu dia akan bersifat berani, tidak gentar terhadap tentangan, mempunyai ketenangan jiwa kerana keimanan yang mantap, sentiasa optimis bahawa masa depan di tangan Islam dan yakin dengan pertolongan Allah SWT. Dia tidak merasa lelah yang membolehkan ia kecewa dalam perjuangan. Jiwanya sentiasa pasrah dan berharap pada Allah SWT dalam apa sahaja yang  di hadapinya dalam hidup ini.

    Jadi kita cubalah proseskan dalam diri kita supaya dapat sifat istiqamah ini.......kerana tiada amal yang Allah cintai melainkan amal yang istiqamah yang kita buat walupun sedikit! Kita mulailah dari yang sedikit dan seterusnya pertingkatkannya dari masa ke semasa.....Ingatlah amal yang kita buat itu bukannya untuk orang lain, tapi untuk diri kita sebagai bekalan nanti ke hari Akhirat! Janganlah kita berlengah lagi, masa tidak menunggu kita!

    Tuesday, October 26, 2010

    Bertafakkur......dan bersyukurlah!


          
     Firman Allah  yang bermaksud " Jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat mengiranya..."
     Sebagai seorang Muslim kita di anjurkan untuk mengingatkan segala nikmat dan kurnia yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita yang meliputi diri kita dari hujung rambut hinggalah kehujung kaki seperti kesihatan tubuh badan kita, makanan yang kita makan, minuman yang kita minum, udara yang kita hirup,  tiada peperangan dan bencana alam.......satu senarai yang panjang yang kita boleh tulis!
           Sebenarnya kita sudah memiliki dunia namun kita tidak menyedarinya, kita sudah mempunyai hidup tapi tidak mengetahuinya....! Kita melalui hari-hari yang berlalu tanpa berfikir, bertafakkur akan apa yang telah Allah berikan kepada kita dan mengucapkan rasa syukur kita! Betapa banyakkah ucapan syukur Alhamdulillah  yang telah kita luahkan pada Pemberi nikmat ini? Kita sering terlupa dan terus terlupa dan lalai, melalui hidup ini hari demi hari dalam kesibukan dunia kita ....sehingga kita tersentak dan baru tersedar bila satu ketika Allah tarik nikmat Nya dari kita ! Apa perasaan kita bila apabila kita berikan sesuatu hadiah pada sesorang tanpa ucapan syukur dan terima kasih? Tentulah terdetik dihati....kurangnya adab orang itu!
           Begitulah pula hakikat diri kita pada Pencipta kita yang telah menyempurnakan kejadian kita dan memberikan kita nikmat zahir dan batin! Sama seperti orang tadi! Lihat sahaja pada kejadian kita....kita ada sepasang mata, sepasang telinga, sepasang bibir, satu lidah , dua tangan dan dua kaki.....apa kata kalau kita kehilangan salah satu daripadanya? Tiba-tiba kudung dua kaki akibat kemalangan....tidak boleh berjalan? Tentulah sukar nak terima....pada ketika itu rasanya dunia ini bagaikan nak terbalik!!
         " Dan Dia sudah menyempurnakan nikmat-nikmatNya pada kamu meliputi zahir dan batin."
         " Nikmat Allah manakah lagi yang hendak kamu dustakan?"  
    Pada masa sekarang ini kita mungkin masih dapat merasai lagi nikmat tidur lelap sedangkan ada ramai orang yang tidak boleh berbuat demikian kerana suatu penyakit......bukankah ini suatu nikmat dan suatu yang besar bagi kita? Kita  juga sekarang ini masih dapat makan sekenyangnya sedangkan ada orang yang tidak boleh makan dan minum . Sudah ke kita mengucapkan rasa syukur kita selalu pada Allah......or we just take things for granted?? Kita hanya menghargai sesuatu atau sesaorang setelah bila ianya hilang dari kita!! 
          Renungkan lagi nikmat penglihatan dan pendengaran kita yang sempurna dan dijauhkan dari buta dan tuli. Sanggupkah kita tukarkan ini dengan gunung emas sebesar gunung Uhud atau lebih lagi? Apa kata anugerah akal fikiran yang waras ini tiba-tiba Allah tarik balik dan jadi gila dan tidak siuman? Adakah kita rela menukar anugerah lisan  dengan istana tersergam indah dan tiba-tiba jadi bisu? Jawapannya tentulah tidak, tidak, tidak........kita tidak sanggup berbuat demikian kecualilah kalau kita tidak waras!! Sebenar segala nikmat yang ada pada diri kita ini.....tidak ternilai harganya.....walaupun taruhannya dunia dan seluruh isinya!
          Sesungguhnya, diri kita sendiri diliputi dengan nikmat yang banyak yang sangat bernilai.....namun kita sering melupai dan tidak menyedarinya....Kita selalu keluh kesah dan merungut  apabila kita dapat kurang rezeki atau terlepas peluang keduniaan. Kita sering membahaskan sesuatu yang remeh temeh dalam hidup, tapi kita lupa bahaskan akan kurniaan dan nikmat Allah yang tidak terhingga banyaknya pada kita. Itulah diri manusia.....selalu mudah lupa dan tidak tahu menghargai!! Kita selalu susah hati bila kita kerugian harta benda....sedangkan di tangan kitalah sebenarnya terletak anak kunci bagi gedung kebahagiaan, anugerah dan nikmat. Jadi ambillah masa sejenak .... tarik nafas......bertafakkur dan berfikirlah sebentar...... bersyukurlah dengan segala apa yang Allah kurniakan kepada kita! 
           "Terhadap diri kamu sendiri, mengapa kamu tidak perhatikan?"
    Allah menjadikan tubuh badan manusia dengan penuh keajaiban sebagai bukti kebesaranNya....wujud rahsia besar yang terdapat pada tubuh dan organ manusia.  Penciptaan manusia adalah seindah-indah penciptaan dengan segala kesempurnaannya. Kita dikelilingi dengan seribu satu mukjizat  tapi kita tidak menyedarinya! Pemerhatian kita terus pada diri kita sebenarnya dapat memantapkan iman kita pada pencipta kita Yang Maha Agung Yang Begitu Halus dan Teliti dalam penciptaanNya! Kita di suruh mengkajinya, mengkaguminya ......dan lantas menyedari kekuasaan Allah dan menyedari siapa diri kita ini!
           Itulah sebenarnya tujuan merenungkan segala nikmat  dan kejadian Allah! Kita manusia ini perlu menginsafi siapa kita, apa tujuan kita dihidupkan  dan bagaimana seharusnya kita mensyukuri nikmat Allah ini? Janganlah kita jadi manusia kufur nikmat, hanya tahu mengggunakan nikmat yang Allah pinjamkan pada kita.....bertindak seolah-olah ia adalah hak mutlak kita , menggunakannya sewenang-wenang, ikut suka dan cara kita.......sedangkan apa yang Allah pinjamkan pada   kita akan di ambil semula!  Pada ketika itu kita akan minta dipertanggungjawabkan! Apakah kita menggunakan nikmat Allah itu selaras dengan apa yang telah Allah tetapkan. Lisan tidak mampu berbicara lagi pada ketika itu.......semua yang ada pada diri kita akan jadi saksi  di hadapan Allah nanti. Lidah tidak boleh berdusta......semua kebenaran akan tersingkap! Aduh betapa, malunya kita dihadapan Allah SWT nanti apabila semua rahsia  diri tersingkap...tiada suatupun yang akan tertinggal!!
         Jadi sebelum....perkara tersebut jadi kenyataan nanti....perlulah kita berhati-hati dalam hidup ini. Ia adalah satu amanah,satu ujian,  satu tanggungjawab yang akan di persoalkan. Jadi sediakanlah jawapan dari sekarang sementara kita masih lagi diberi nikmat hidup !Dan jawapan pada skrip ujian kehidupan ini mestilah betul mengikut skema jawapan yang telah Allah tetapkan, tidak boleh lari sedikit pun. Jika tidak , kita takut kita gagal dihadapan Allah nanti! Nauzubillahi minzalik.

    Rujukan La Tahzan.

    Saturday, October 23, 2010

    Berwaspadalah dengan cinta!

    Firman Allah dalam surah Ali-Imran :14 yang bermaksud......
    "Dijadikan indah pada pandangan manusia, kecintaan kepada apa-apa yang diinginkan iaitu wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang ternak, sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah tempat kembali yang baik."
          Dijadikan kecintaan dalam diri insan terhadap apa yang diinginkan.......dan salah satunya cinta di antara lelaki dan wanita! Namun jika tidak berhati hati......cinta ini akan membuatkan manusia itu buta dan tuli! Ini bersesuaian dengan hadis Rasulullah yang bermaksud......
    " Cintamu pada sesuatu menjadikan kamu buta dan tuli." (Riwayat Abu Daud dan Ahmad)
          Namun cinta ini akan menjadi ujian pada kita  jika tidak berhati-hati kerana ia boleh mendorong kepada maksiat. Nafsu dalam diri  akan menjadikan indahnya cinta ini yang menjurus ke arah cinta nafsu. Inilah dia cinta terlarang dalam Islam yang perlu dijauhi.  Namun keadaan inilah yang berleluasa dalam masyarakat kita sekarang sehingga mengakibatkan bencana pada masyarakat kita. Akibat cinta nafsu ini adalah zina, bersekedudukan,  berkhalwat......... tak kira lah sama ada dilakukan oleh remaja atau orang dewasa........! Akibat gejala cinta terlarang ini......lahirnya anak-anak zina, dan kes membuang anak-anak zina ini berleluasa  seperti membuang sampah di merata tempat. Dari statistik bersumber dari Harakahdaily, di Malaysia sudah ada lebih dari suku juta anak-anak luar nikah ini! Cukup menakutkan.... dan bilangannya semakin hari semakin bertambah! Takutlah kita dengan hadis Rasulullah saw ini, yang bermaksud...
         "Apabila zina dizahirkan dalam sebuah negeri, sesungguhnya mereka telah menghalalkan bagi diri mereka (penduduk negeri itu) dengan azab Allah.” [HR at-Tabrani].
          Islam tidaklah mengekang rasa cinta ini yang sememangnya fitrah yang telah Allah jadikan dalam hati manusia. Bukan rasa cinta itu masalahnya.....tapi yang menjadi masalah bila menyalurkan nya ke tempat yang tidak sepatutnya di luar batas-batas yang dibenarkan dalam Islam!   Dalam Islam perlu mengarahkan rasa cinta insan ini untuk menjaga martabat diri dan kehormatan lelaki dan wanita.
    Bukan sewenang-wenangnya menyuburkan rasa cinta di luar batas-batas perkahwinan.......kerana akibatnya cukup parah nanti.....cinta nafsu yang tidak akan puas dan diam selagi hajatnya tidak dipenuhi!  Jatuh cinta sebegini  umpama meminum air laut, lagi di minum lagi tidak puas dan semakin haus.  Kesannya ia akan mengganggu ibadah pada Allah........dan membuka pintu-pintu masuk syaitan! Jika pintu-pintu dan lubang-lubang ini tidak segera ditutupi.....akhirnya akan terjebaklah dalam maksiat!!         
          Rasa cinta yang wujud di luar perkahwinan ini perlu dibendung dan dikawal......jagalah pandangan mata yang akan menusuk ke hati yang merupakan panahan iblis, elakkan berdating, berdua-duaan, saling bersentuhan,  menghubungi sesama lain dengan teknologi canggih sekarang seperti sms, chatting, facebook, telefon yang boleh menyuburkan lagi rasa cinta ini..... semua ini adalah jalan-jalan yang menghampiri zina yang dilarang keras oleh Allah yang merupakan salah satu dosa besar! Di samping itu drama-drama TV yang bertemakan cinta di TV, memaparkan  pergaulan bebas, bahan media cetak yang memuatkan selebriti,  artis yang berpakaian menjolok mata, kisah-kisah kehidupan mereka dan remaja yang tiada menghiraukan batas-batas agama......semua ini menyumbang kepada gejala maksiat ini.
           Dalam Islam, hukuman zina ini sebenarnya berat....direjam sampai mati bagi pasangan yang pernah berkahwin dan dirotan seratus kali bagi yang belum pernah berkahwin! Tapi di Malaysia khususnya, hanya mengenakan denda yang tidak akan memberi apa-apa kesan pada mereka terjebak dalam maksiat ini. Namun, terlepasnya  dari hukuman dunia tidak semestinya terlepas dari hukuman akhirat! Hukuman akhirat lebih berat dan hebat  azabnya!  MasyaAllah , hanya Allah sahaja Yang Maha Mengetahui betapa kehebatan dan kedahsyatan azabNya pada pelaku- pelaku maksiat! Tapi bagi jiwa yang kosong dari iman, ancaman ini tidak berkesan dan tidak hiraukan.....malah terlalu berani pula melakukannya!! 
            Bagi  yang sudah jatuh cinta terutama cinta terlarang ini, alihkanlah rasa cinta itu kepada Allah, perbanyakkan selawat dan zikir yang memberi kesan dijiwa, istighfar yang membuahkan penyesalan yang sebenarnya, solat fardhu dan sunat yang khusyuk yang boleh mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar ini! InsyaAllah,  masalah menjadi hamba cinta  ini dapat di bendung dalam jiwa dan nafsu tidak dapat menguasai kita. Sentiasa ingat akan pepatah Melayu, ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut nafsu lesu! Maka ikutilah jalan yang selamat......iaitu jalan iman dan takwa pada Allah!!
           Cinta pada Allah SWT adalah cinta yang paling mulia dan tinggi yang tidak memaksakan kehendaknya keatas kita .Selayaknya kita yang mengaku hamba pada Allah berusaha untuk mencintai Allah dengan sepenuh hati nurani kita. Cinta inilah yang sepatutnya kita cari dan rebut kerana inilah dia cinta sejati insan yang kekal selamanya!!     
            Sebenarnya cinta yang tulus dan sejati antara sesama insan adalah setelah akad nikah......ada penyelesaian nya dan rasa cinta itu dapat dimanifestasikan! Jiwa akan jadi tenang dan diikat dengan ikatan yang kukuh atas nama Allah. Keberkatan Allah diperolehi dan  diwujudkanNya rasa kasih sayang dan rahmat Allah SWT. Namun perlu jelas bahawa perkahwinan bukanlah semata-mata untuk memenuhi tuntutan hawa nafsu kerana cinta ini....ia lebih dari itu! Perkahwinan adalah untuk membentuk Baitul Muslim (rumahtangga Muslim). Rumahtangga yang merupakan rumahku syurgaku.....rumahatangga yang dapat meningkatkan ubudiah pada Allah. Saling bertoleransi, ingat memperingati dan lengkap melengkapi antara satu sama lain atas dasar iman dan takwa pada Allah. Barulah hakikat kebahagiaan rumahtangga yang sebenarnya dapat dikecapi!
         Berlakunya banyak keruntuhan rumahtangga sekarang kerana ia dibina di atas dasar yang tidak betul......wujud masalah dalam rumahtangga, kecurangan pasangan, tiada persefahaman, tidak serasi,terlalu cemburu, tidak ambil peduli, tidak bertanggungjawab.....semua ini kerana kurangnya didikan agama dalam diri, tidak menghayati ajaran Islam...!!   
            Masalah-masalah di atas merupakan simptom masyarakat yang sakit, masyarakat yang ketandusan iman dan takwa dan sedang menuju kelembah kehancuran dan kemurkaan Allah! Masyarakat yang pembangunan fizikalnya tidak selari dengan pembangunan jiwa. Maka akan wujudlah kepincangan demi kepincangan yang menjerumuskannya ke lembah kehinaan. Di mana kah peranan kita dalam hal ini?
          Bentuklah syahsiah Islam dalam diri dan keluarga kita. Proseslah hati ini supaya  ada persediaan untuk kembali kepada penyelesaian iman dan Islam ini. Keikhlasan itu penting, kerana kita nak kembali pada Islam semata-mata kerana desakan dari dalam hati nurani kita pada Allah setulusnya.   Inilah yang menjadi tenaga atau driving force untuk kita istiqamah...walaupun ujian dan tribulasinya banyak, dan perit menanggungnya......Ada pertolongan Allah disitu.
           Kita tidak boleh jadi penonton sahaja, kita hanya jaga diri kita dan keluarga kita sahaja, apa yang berlaku dalam masyarakat merupakan satu wabak yang berjangkit.....kena ada usaha kolektif untuk membendungnya! Usaha kearah amar maaruf nahi mungkar kena berjalan!
         Dalam perjalanan hidup ini....kita akan sentiasa diuji....tapi dengan ujian ini sebenarnya dapat meningkatkan iman kita pada Allah. Hadapilah dengan tabah dan sabar.....Allah sentiasa bersama kita, insyaAllah!!   

    Thursday, October 21, 2010

    Ilmu yang bermanfaat.......

                 Rasulullah saw pernah mengajarkan pada sahabat tentang sebait doa iaitu apabila sesaorang itu hendak belajar,  berdoalah agar  Allah mengurniakannya ilmu yang bermanfaat. Apakah hakikat ilmu yang bermanfaat itu? Sesuatu ilmu itu dikatakan bermanfaat jika ia mengandungi maslahat iaitu ia mempunyai nilai-nilai kebaikan kepada manusia dan alam ini. Tetapi manfaatnya jadi kecil ertinya bila dengan ilmu yang dimiliki oleh sesaorang itu tidak mendekatkan hubungannya dengan Allah SWT, Dzat Maha Pemberi Ilmu. Mungkin di mata manusia memandangnya sebagai orang yang berilmu, tapi di mata Allah SWT belum tentu lagi.
            Jadi hakikat ilmu yang bermanfaat itu sebenarnya adalah ilmu yang berguna yang sinar cahayanya meluas di dada dan ia membuka penutup hati. Hati umpama bekas yang berpenutup dan penutup ini  boleh dibuka melalui ilmu yang bermanfaat.  Imam Malik bin Anas r.a. berkata," Yang bernama ilmu itu bukanlah kepandaian atau banyaknya meriwayatkan sesuatu, bahkan ia adalah nur(cahaya) yang Allah SWT turunkan ke hati dan ia dapat mendekatkan manusia dengan Allah dan menjauhkannya dari kesombongan diri."
               Ilmu itu hakikatnya adalah kalimat-kalimat Allah SWT. Tiada sesiapapun atau sesuatupun yang dapat mengukur keMaha Luasan Ilmu Allah SWT di alam raya ini.  Firman Allah dalam surah Al-Kahfi :109 yang bermaksud.....
             " Katakanlah : seandainya lautan menjadi dakwat untuk menuliskan kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (dituliskan) kalimat-kalimat Tuhanya, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak tu."
            Mungkin ilmu yang di amanahkan kepada manusia itu tidak lebih dari setitis air di tengah lautan yang luas. Namun walaupun hanya dengan setitis ilmu ini, banyak ragamnya!  Ilmu itu baik dan menjadi berkat jika  ia menambahkan ketakwaan kita kepada Allah. Sebaliknya ilmu juga boleh menyebabkan sesaorang menjadi sombong dan bongkak.  Jadi semasa kita menuntut ilmu, perbetulkanlah niat kita, bersihkan hati kita ....., insyaAllah nescaya ia akan jadi ilmu yang bermanfaat!
           Jadi...bagaimanakah caranya  untuk mendapatkan ilmu sebegini...yang akhirnya boleh membuka pintu hati?  Imam Syafi'i ketika masih menuntut ilmu, pernah mengeluh kepada gurunya," Wahai guruku, mengapakah ilmu yang ku kaji ini susah sekali memahaminya dan bahkan cepat lupa?"  Jawab gurunya, " Ilmu itu ibarat cahaya. Ia hanya dapat menerangi gelas yang jernih dan bersih."  Dengan kata lain ilmu itu tidak akan dapat menerangi hati yang kotor, keruh dan banyak maksiatnya!!
          Justru itu, kadang-kadang kita dapati ada orang yang rajin mendatangi majlis-majlis ta'alim dan pengajian agama tapi akhlaknya masih buruk, tiada perubahan di hatinya. Puncanya adalah kerana hatinya tidak dapat diterangi oleh ilmu. Umpamanya adalah  seperti cahaya yang cuba menembusi air kopi dalam gelas. Masakan cahaya dapat menembusi  dan menerangi keruhnya air kopi!  Begitu jugalah hati.  Apabila hati tamak ,rakus dengan dunia, kotor dan selalu bermaksiat, ilmu tidak akan sekali-kali meneranginya! 
          Sebaliknya bila hati itu bersih dan jernih, dengan hanya setitik cahaya ilmu itu dapat menerangi seluruh hati. Jadi ilmu yang dipelajari senang diingati, dapat dimanfaatkan dan memberi kesan positif di hati! Semakin bersih hati tersebut, semakin hati itu lebih peka memperoleh ilmu yang bermanfaat walau dari mana pun sumber ilmu itu.   
          Sebaik-baik ilmu yang dituntut adalah ilmu yang yang boleh membuatkan hati bercahaya.  Adalah menjadi kewajipan diri untuk menuntut ilmu yang dapat membersihkan hati sehingga ilmu-ilmu lain yang telah ada dalam diri jadi bermanfaat. Contohnya,  apabila kita mendalami ilmu makrifat Allah, yang mengenalkan kita dengan kebesaran dan kekuasaaan Allah SWT, hati akan sedar akan betapa kerdil dan hinanya kita di hadapan Allah SWT, lantas menunduk dan merendahkan hati kita pada Allah SWT.
         Bagaimanakah kita boleh sombong dengan ilmu yang ada pada diri sedangkan asal kita lahir ke dunia ini tidak membawa apa-apa dan bila kembali padaNya juga tidak membawa apa-apa? Semua yang kita miliki bukannya hak milik kita untuk kita merasa sombong diri! Bila-bila masa saja apa yang kita miliki boleh Allah tarik semula dengan sekelip mata....harta, pangkat, wang, kesihatan, kecantikan...!! Adakah kita boleh rasa sombong diri lagi?
          Itulah hakikatnya diri manusia ini....... lemah,kerdil, hina tiada punya apa-apa.......kita ini milik Allah! Justru itu rendahkan hati kita, sucikan dan besarkan Allah  SWT dalam kehidupan kita.  Dari Allah kita datang dan kepada Allah  kita akan kembali!   Itu adalah satu kepastian yang tidak akan dapat di tolak lagi! 

    Wednesday, October 20, 2010

    Kawallah hawa nafsu.....!

          Firman Allah dalam surah Al-Ankabut :69 yang bermaksud....
    " Dan orang-orang yang berjihad untuk mencari keredaan Kami, benar-benar Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan -jalan Kami.  Dan sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang berbuat baik."
          Untuk kita mencari keredhaan Allah, bukanlah cukup setakat kita berdoa dan berpeluk tubuh sahaja tanpa berbuat apa-apa, kita dituntut berjihad dan salah satunya jihad melawan hawa nafsu kita.  Jihad melawan hawa nafsu ini merupakan jihad yang paling besar yang mana ia perlu dilaksanakan berterusan sampailah kita menghadap Allah SWT. Ini kerana iblis dan kuncu-kuncunya tidak pernah berhenti rehat untuk menggoda dan menyesatkan manusia. Dan salah satu dari pintu godaan ini adalah melalui hawa nafsu manusia!
           Apabila hawa nafsu diikuti, jadilah kita hamba kepada hawa nafsu dan terpesonglah dari menjadi hamba kepada Allah! Hidupnya akan memenuhi tuntutan hawa nafsunya sahaja........
      Apabila nafsu ditaati pada setiap kenikmatan,
    Engkau digelar orang tidak berakal dan tidak dihormati.
    Bila engkau turuti nafsu pada setiap ajakan, 
    Ia membawamu kepada keburukan yang haram.
    Hawa nafsu adalah musuh bagimu,
    Mengingkarinya adalah teman!

          Sebenarnya Allah menjadikan hawa nafsu dalam diri kita sebagai ujian.....sejauhmana benar atau tulusnya perhambaan kita pada Allah SWT. Sifat nafsu suka mengambil kesempatan untuk mencemarkan amalan yang kita lakukan. Tambahan pula, syaitan menyuburkan lagi desakan nafsu dalam diri dan menghiasinya dengan perbuatan yang dapat memuaskan nafsu......Jika desakan nafsu ini dituruti maka keingkaran akan menguasai jiwa lantas membawa diri manusia jauh terpesong dari perhambaan pada Allah.  Jika tidak dikawal nafsu ini.....desakan nafsu ini akan terus menguasai dan mengotori jiwa. Inilah yang melesukan dan melemahkan jiwa untuk taat pada Allah!!
         Justru itu, desakan nafsu yang sentiasa berbisik dalam diri perlulah ditepis dengan meningkatkan keimanan dalam jiwa melalui......
    • doa dan munajat pada Allah SWT dengan penuh kerendahan dan keikhlasan hati dan suara yang perlahan merintih memohon pertolongan Allah dalam melawan hawa nafsu ini. Hanya Allah saja yang dapat membantu kita dalam perjuangan ini.....!
    • mendekatkan diri dengan Al-Quran, merenungi ayat-ayatNya dan menghayatinya dalam kehidupan. Ini dapat melembutkan hati yang keras, membersihkan jiwa yang kotor, menginsafi kelemahan diri dan dapat melahirkan kepatuhan pada Allah SWT.
    • Sentiasa menjaga solat-solat fardhu....lakukan dengan penuh khusyu dan menghayatinya. Khusyu dalam solat berkait rapat dengan amalan seharian yang kita buat diluar solat. Bagaimana kita nak khusyu jika kita disepanjang hari kita banyak buat dosa hatta dosa kecil pun! Dosa-dosa ini mengotori jiwa.....sukar nak menghayati ayat-ayat dan saranan Allah didalam solat!  Jiwa kita dikuasai hawa nafsu dan syaitan...jadi solat cuma sebagai rutin, tak mampu nak cegah diri dari maksiat! Sedangkan hakikatnya....solat itu dapat mencegah dari perbuatan keji dan mungkar!       
    •  Sentiasa perbanyakkan amalan ibadah sunat, seperti solat-solat sunat tahajjud, rawatib, witir, taubat, dhuha, zikir Al-Mathusurat, puasa sunat........Amalan sunat menampung ibadah fardhu yang kurang sempurna dan ia dapat memperkuatkan jiwa dan meneguhkan pendirian. Ia akan dapat menambahkan lagi benteng pertahanan melawan godaan hawa nafsu dan bisikan syaitan!  
    • Sentiasa bergaul dan bersahabat dengan sahabat dan orang yang soleh dan berakhlak mulia. Sahabat yang baik dan soleh apabila kita memandangnya dapat mengingatkan kita mentaati Allah dan menjauhi kemungkaran. Bergaul dengan sahabat yang soleh ini umpama berkawan dengan penjual minyak wangi......kita akan sentiasa mendapat mencium bau wanginya! Tapi bersahabat dengan orang yang tidak soleh dan pembuat maksiat...umpama berkawan dengan tukang besi....sentiasa mendapat tempias percikan apinya yang menyakitkan! Jadi pilihlah kawan atau sahabat yang soleh yang dapat menjaga iman kita, memperbaiki akhlak kita, sentiasa mengingatkan kita.....sahabat soleh umpama cermin bagi diri kita!   Kita adalah siapa kawan kita.  Jika kita suka bersahabat dengan orang yang baik-baik , itulah sebenarnya realiti diri kita. Tapi jika kita suka berkawan dengan orang yang jahat.....kita sama seperti mereka!! Pengaruh kawan dapat membekas di jiwa..........jadi awasilah siapa kawan dan sahabat kita.
        Jadi bersegeralah kita dalam ketaatan pada Allah. Tepislah dan tahan hawa nafsu yang cuba menguasai diri. Yakinilah bila kita bertahan dan bersabar kerana Allah dalam dugaan dan ujian nafsu ini, insyaAllah kita akan dapat mengatasinya. Allah akan membantu kita !! Mujahadah diri ini  perlu dilakukan dengan istiqamah dan insyaAllah ia akan membuahkan ketaatan yang teguh dan mampu menepis maksiat. Jiwa akan menjadi suci bersih dan dapat merasai hakikat kebahagiaan yang sebenar!

    Sunday, October 17, 2010

    Rasulullah saw.....contoh dan ikutan kita!



    Firman Allah dalam surah Al-Ahzab :21  yang bermaksud......
    " Adalah pada diri Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagi sesiapa yang berharap bertemu dengan Allah dan hari Akhirat, dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya."
      
     Dalam ayat di atas Allah menyarankan kepada kita supaya mencontohi Rasulullah  saw dalam semua aspek kehidupan kita. Tapi bagaimana kita nak mencontohi baginda jika kita tidak benar-benar mengenalinya? Kita lebih mengenali  selebriti, penyanyi dan tokoh lain selain Rasulullah! Penyanyi-penyanyi seperti Michael Jackson, Siti Norhaliza,  pemain-pemain bola seperti Manchester United, Liverpool lebih kita kenali dan minati dari Rasulullah saw.....begitu fanatik dengan mereka, mengikuti perkembangan diri mereka ini sehingga mereka ini dijadikan idola...!  Kenapa kita jadi begini? 

    Tak kenal, maka tak cinta....itulah hakikatnya bila kita tidak  atau kurang mengenali sesaorang. Sebagai manusia, apabila kita mengenali sesaorang, hati budinya yang baik, akhlaknya yang soleh, senang bertolak ansur lantas kita akan suka dan senang pada sesaorang itu...dan mencintainya! Itulah fitrah insan yang Allah campakkan dalam hati manusia yang sememangnya sukakan kebaikan dan keindahan.

    Justru itu pengenalan kita pada diri Rasulullah itu perlulah sampai ke tahap kita mencintainya....kerana pada Baginda terkumpul sifat-sifat yang agung, mulia, manusia yang sempurna di sisi Allah, yang sangat mengasihi umatnya sehingga ke akhir hayatnya, sanggup berkorban apa  sahaja hatta nyawa demi menegakkan kalimah Allah di muka bumi, tiada kepentingan diri untuk dakwah.       Beliau merupakan Rasul yang mulia, murabbi agung yang mendidik manusia mengenali Allah, mengenali diri sendiri, membuka mata manusia tentang hakikat kehidupan ini, menunjukkan kita jalan yang lurus....jalan menuju kebahagiaan! Kerana perjuangan Bagindalah dan sahabat-sahabatnya menyebabkan kita merasai nikmat iman dan Islam sekarang....sejarah perjuangan yang cukup getir di mana di penuhi dengan airmata dan darah para syuhada untuk mempersaksikan tertegaknya kalimah Allah yang tinggi dan daulah Islam dalam masyarakat! Selayaknyalah Rasululllah saw lebih kita kenali dan cintai  dari orang lain!! 

    Tidak hairanlah kita lihat bagaimana sahabat-sahabat generasi Al-Quran sangat-sangat mencintai baginda melebihi diri sendiri......sehingga sanggup berkorban nyawa untuk Rasulullah saw. Saidina Ali yang masih lagi kanak-kanak pada masa itu sanggup menggantikan  Rasullulah di tempat tidur baginda takala rumahnya dikepung oleh orang kafir Quraish...supaya baginda dapat keluar dan berlepas diri! Para sahabat rasa resah gelisah bila tidak bersua dengan Rasulullah walaupun sehari! Takala Saidina Umar sedar dari pengsannya setelah dipukul oleh kafir Quraish kerana mengumumkan keislamannya secara terang-terangan bersama dengan Rasulullah......soalan pertama yang ditanya di mana dan bagaimana Rasulullah? Beliau lebih pentingkan keselamatan Rasul dari dirinya....kerana cintanya pada Baginda! 

    Kenapa mereka sangat cinta pada Baginda?Sebenarnya hati sahabat-sahabat ini telah diikat dengan ikatan iman pada Allah dan Rasul....dimana jiwa jiwa mereka ini terpimpin dengan roh Al-Quran yang di bawa oleh Rasulullah. Segala kebenaran yang dibawa oleh beliau dan contoh tauladan yang berlandaskan Al-Quran.....membuka mata para sahabat bahawa Rasulullah ini benar-benar pesuruh Allah....keyakinan inilah yang menyebabkan mereka tanpa ragu-ragu menyerahkan seluruh jiwa dan raga untuk Allah dan Rasul! Setiap tutur bicara Rasulullah didengari dan di taati, setiap langkah diikuti dan segala tindakannya dicontohi. Ketaatan mereka pada perintah Allah dan Rasul adalah  bulat, tiada berbelah bagi dan tanpa soal. Mereka mengikuti arahan seperti dalam firman Allah dalan surah Ali-Imran  yang bermaksud....

    " Katakanlah, jika kamu mencintai Allah, ikutlah aku (Rasulullah) nescaya Allah akan mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang."
     
    Asas kecintaan pada Rasul adalah kerana kecintaan pada Allah.  Bagi kita yang mengaku umat Muhammad di akhir zaman ini....inilah yang sepatutnya kita contohi.Apabila kita  mengaku  beriman pada Allah, kita juga diwajibkan beriman pada Rasul yang membawa risalah Allah dan mengasihi mereka. Mengenali diri Rasulullah dari segi peribadi, akhlak dan perjuangannya akan melahirkan rasa cinta kita padanya. Walaupun Rasulullah sudah wafat dan tidak bersama kita sepertimana sahabat-sahabat terdahulu, segala sirah dan Sunnah Rasul cukup banyak yang boleh kita kaji, teliti dan diikuti.

    Ketiadaan Rasulullah secara fizikal tidak boleh kita jadikan alasan bahawa sukar nak kembali pada Islam tanpa contoh hidup. Al-Quran dan Sunnah Ar-Rasul masih terpelihara yang boleh dijadikan sumber tarbiyyah diri kita untuk kita kembali pada Allah. Apa yang penting adalah keikhlasan hati kita....jika kita hendak seribu daya kita, jika tak nak seribu dalih!   
    Rasulullah pernah bersabda, " Bertuahlah orang yang beriman dengan ku tapi tidak pernah melihatku."

    Ganjaran yang besar kerana iman kepada Rasul ketika beliau sudah tiada....iman pada Allah dan Rasul yang kedua-nya ghaib yang perlu pada keyakinan diri yang tinggi. Inilah realiti kita sekarang..... 
     
    Dalam segenap aspek kehidupan kita, Rasulullah adalah contoh utama kita. Contohilah sikap, dan rasahati  Baginda dalam menghadapi mehnah dan fitnah hidup. Contohi kesungguhannya dalam mendidik umat dan menyampaikan dakwah tanpa penat dan jemu. Contohilah kesederhanaan hidupnya, akhlaknya yang mulia, cara kehidupan berkeluarganya, sebagai pemimpin, sebagai suami, sebagai ayah............

    Kita akan hanya dapat merasai nikmat berada dalam Islam apabila kita mengikuti Rasulullah. Tiada jalan lain. Jadi perlu ajak diri kita, keluarga kita dan masyarakat untuk balik semula kepada sumber kita yang soheh...Al-Quran dan Sunnah serta Sirah Rasul .....menghayati perjuangan nya seolah-olah kita berada bersama Rasul sehingga kita benar-benar merasai dijiwa kita kegetiran dan kepahitanya, dicaci  dihina, dipulau, difitnah  diserang oleh kafir Quraish sehingga kita menitiskan airmata!

    Dengan itu kita akan dapat menghargai jerih payah Rasulullah dan para sahabat memperjuangkan Islam dalam keadaan serba kekurangan tapi dengan penuh keimanan dan kesabaran, sentiasa istiqamah diatas jalan ini!     Pengorbanan mereka sungguh tinggi ......kita bagaimana? Jika kita ini mengaku umat Muhammad, kita harus meneliti diri kita sejauh mana kita sudah melaksanakan risalah yang dibawa oleh Baginda....adakah Allah dan Rasul dekat di hati kita?      

    Thursday, October 14, 2010

    Untuk rasa reda dan syukur.....lihatlah pada mereka yang lebih rendah!

           Dari satu hadis Rasulullah saw  oleh Abu Hurairah.........
    "Rasulullah saw telah bersabda, " Lihatlah pada orang yang lebih rendah dari kalian dan janganlah melihat orang yang lebih tinggi dari kalian, kerana yang demikian lebih baik supaya kalian tidak meremehkan nikmat Allah keatas kalian." (Riwayat Muslim)
           Dalam kehidupan ini, keadaan dan nasib manusia serta bentuk fizikal adalah tidaklah sama. Allah jadikan kita ini semuanya berbeza-beza dari semua aspek. Ada yang dilahirkan dalam keluarga berada, ada yang miskin, ada yang sempurna sifatnya, ada yang cacat, ada yang cantik dan ada yang kurang cantik, ada yang pandai, ada yang kurang pandai ................pendekata bermacam-macam rupa bentuk dan keadaan sebenarnya manusia ini.  Disinilah terletaknya kekuasaan Allah yang Maha Tinggi. Dan disisi Allah semua keadaan ini sempurna, perfect belaka......tetapi manusia melihatnya dari sudut pandangan yang berbeza!! Manusia menilai menggunakan neraca fizikal sedangkan Allah melihat terus ke hati!
          Apabila manusia redha diatas segala nikmat yang diterima dalam kehidupan ini.....itulah yang menjadi pangkal kebahagiaan hidupnya. Bila hati sudah redha, barulah jiwa dapat bersyukur padaNya diatas apa yang Allah kurniakan padanya baik banyak mahupun sedikit. Jiwa jadi puas dan qanaah( rasa cukup) dengan apa yang Allah beri. Sebaliknya jika dalam hati tidak redha, jiwa akan sakit hati ,sedih dan sesal....mungkin akan meyemarakkan api kedengkian.......natijahnya jiwa akan terus menderita dalam menjalani kehidupan di dunia ini....  
            Tanpa redha, tiada kebahagiaan walaupun dia mendapat banyak kehormatan dan kekayaan. Apabila dia mencapai apa yang dihajati....dia akan rasa bosan, terus mencari-cari......apa yang dicari? Hati sentiasa rasa tidak puas dan jiwa kosong! Sebenarnya jiwa itu kosong dari rahmat dan barokah Allah yang menyaluti hati insan yang bersyukur dan redha denganNya.  Jadi sepatutnya diri manusia itu sentiasa melihat pada orang yang kurang bernasib baik dan lebih rendah darinya untuk menyuburkan sifat redha dalam diri dan lantas bersyukur dengan apa yang ada. Bukannya melihat pada orang yang lebih tinggi status, kaya, popular dan serba serbi ada!! 
              Sepatutnya, dengan kekurangan yang ada dalam diri, kita patut lebih berfikir menggunakan akal kita apakah hikmat disebalik sesuatu kurniaan!  Mungkin kita kurang dari segi harta benda, tapi kita lebih sihat dari mereka yang kaya...itu sesuatu yang patut disyukuri! Bila kesihatan bagus...ini salah satu kunci kebahagiaan! Betapa ramai mereka yang kaya raya...tapi di uliti penyakit diri seperti sakit jantung, strok, lemah fizikal.....mereka tak dapat pun menikmati kekayaan sepenuhnya! Duit banyak pun untuk bayaran bil hospital swasta yang mahal.....bukannya dinikmati!  Jadi ada pro dan con bagi sesuatu itu....sama-samalah kita fikirkan.
            Justru itu, walau apapun yang Allah izin keatas diri kita.....bertafakkurlah dahulu, fikirkan sejenak dan tarbiyahlah diri supaya dapat menerima takdir Allah pada kita....takdir yang kita tidak boleh tolak...sudah ditentukan sejak azali lagi. Tapi bagi takdir yang boleh diusahakan tidak ditetapkan.....usahakan untuk mendapat takdir yang baik...bukan menyerah saja! Contohnya takdirnya kita akan lulus periksa bila belajar bersungguh-sungguh. Jika tidak belajar, takdirnya akan gagal. Jadi perlulah berusaha dan berusaha....selepas tu tawakkal dan serah pada Allah! 
          Apapun dalam kehidupan ini....yang penting bukanlah siapa kita disisi manusia, tapi siapa kita disisi Allah. Manusia mungkin pandang hina dan remeh pada kita.....tapi janganlah Allah yang pandang remeh dan hina pada kita! Nilaian manusia terletak pada material dan fizikal.....tapi nilaian Allah berbeza. Nilaian Allah itu pada kita yang mahal dan tinggi harganya...bukannya manusia. Jadi kita kena cari jalan dan rebut peluang sementara jantung masih berdegup, mata masih melihat, telinga masih mendengar dan hati masih merasai untuk kita dinilai tinggi dan mulia disisi Allah.......!!

    Wednesday, October 13, 2010

    Jagalah pandangan .....untuk hati jadi tenang!

        Firman Allah dalam Surah An-Nur :30-31 yang bermaksud................
        "Katakan pada lelaki beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat. Katakan pada wanita beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasan kecuali apa yang biasa nampak dripadanya." 
        Daripada ayat di atas, wajib bagi kita lelaki dan wanita muslim mengawal dan menahan padangan mata kita...........sesungguhnya pengaruhnya sangat kuat dan ia berkaitan dengan desakan nafsu!  Lantaran itu Rasulullah saw mengumpamakan pandangan mata itu seperti  anak panah racun iblis yang boleh menggoda manusia......setiap pandangan mata mesti dijaga! Tak kiralah pada mereka yang menutup aurat ataupun tidak.   Mata adalah jendela hati.....jadi apa-apa yang terpandang oleh mata akan memberi kesan dihati. Pandangan mata yang rakus dan liar boleh menjerumuskan setiap diri kepada hal-hal yang membinasakan.
           Sabda Rasullah pada Saidina Ali, " Wahai Ali, janganlah engkau susuli satu pandangan dengan satu pandangan lagi, kerana yang pertama menjadi bahagianmu dan yang kedua bukan lagi menjadi bahagian mu ( dosa atasmu)." 
           Jadi kita bersihkanlah jiwa kita dengan bersungguh-sungguh menjaga pandangan mata kita......takala menonton TV yang banyak di paparkan gambar-gambar mereka yang tidak menjaga aurat, ketika kita berada di luar rumah , berada di shopping kompleks dan di mana sahaja.......dimana terdapat suasana yang tidak soleh yang boleh menggugah iman kita! Kita akan mengutip dosa demi dosa jika kita tidak berhati-hati dalam menjaga pandangan  kita! Ingatlah hati akan jadi tenang bila pandangan mata
    sentiasa dapat dikawal, mudah melaksanakan ketaatan dan menjauhi kemungkaran.  Dan berwaspada lah kerana  kemungkaran bermula dari pandangan mata yang turun ke hati!
           Kata-kata daripada Ibnu Abbas.......
           "Kedudukan syaitan dalam diri orang lelaki ada tiga tempat iaitu pada pandangannya, pada hatinya dan pada ingatannya.  Manakala kedudukan syaitan dalam diri wanita pula juga ada tiga tempat iaitu pada lirikan matanya, pada hatinya dan pada kelemahannya."
           Sabda Rasulullah saw yang bermaksud...
           " Pandangan mata itu laksana anak panah iblis.  Barangsiapa yang  menahan pandangannya dari keindahan wanita maka Allah akan mewariskan kelazatan di dalam hatinya yang dia dapat rasakan hingga dia bertemu Allah."
    Sama-sama kita renungi syair Arab ini...

    Aduhai betapa buruknya pemuda..
    Memiliki pekerti tidak beradab
    Nafsu sendiri menuruti kehinaan
    Padahal disedari tercemarnya maruah diri
    Menyenangi kehinaan!
    Alahai kedua mata.... 
    Kau nikmati pandangan......
    Lalu kau susupkan kepahitan dihati
    Hatilah yang memaksakan kehendakya
    kerana hati dan mata tidak tunduk pada Pencipta!!.   
        
         Jadi segala saranan dari Al-Quran dan hadis di atas perlulah kita ambil perhatian yang serius.  Allah dan Rasul telah menggariskan cara-cara bagi kita menjaga hati  yang merupakan wadah tempat iman dan takwa bertakhta.  Jadi kebersihan hati perlu dijaga supaya iman dan takwa ini dapat hidup subur dalam jiwa dan tiada yang dapat merosakkannya!

    Petikan dari buku Anak-anakku berjuanglah

    Tuesday, October 12, 2010

    Membangun akhlak Al-Quran dalam diri.....!!

         Kita yang mengaku Muslim sebenarnya perlulah memberikan perhatian yang serius dalam memperelokkan akhlak diri supaya ia jadi contoh yang baik dalam usaha mengajak orang lain kepada kebenaran Islam. Dengan adanya contoh ini nampak keindahan akhlak Islam yang mulia dan tinggi.....lantas orang akan tertarik kepada Islam! Ia juga salah satu usaha dakwah kita...menarik orang pada Islam melalui qudwah hasanah(contoh yang baik).
          Kedatangan Rasulullah saw sebenarnya adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia..... Saidatina Aisyah ditanya bagaimanakah akhlak Rasulullah saw....Jawab beliau," Akhlak Rasulullah adalah Al-Quran."  Jawapan yang ringkas tetapi tepat dan padat...menggambarkan bagaimana Rasulullah menterjemahkan Al-Quran dalam dirinya.....sebagai contoh kepada sahabat-sahabat beliau dan seterusnya contoh bagi kita.  Firman Allah dalam surah Al-Qalam : 4 yang bermaksud.....
       " Sesungguhnya kamu benar-benar mempunyai budi pekerti yang agung." 
         Satu pengiktirafan dari Allah tentang akhlak Rasulullah saw.   Dalam diri Rasulullah dan seterusnya para sahabatnya terserlah pengaruh dan kesan dari didikan Al-Quran.....terbimbing hati dan jiwa dengan ayat-ayat Allah .....sehingga merekalah umat terbaik dan generasi Al-Quran yang unik....yang mana Al- Quran bukan setakat dihati malah dalam seluruh aspek diri, keluarga dan masyarakat!! 
         Mereka berjaya memiliki akhlak yang unggul kerana 
    • mengambil Al-Quran dengan sepenuh hati- membaca Al-Quran untuk diamalkan bukannya semata-mata untuk tujuan lain seperti merawat penyakit hati, menjadi hafiz Quran atau menghalau syaitan dsbnya....
    • menerima arahan dan larangan Allah dalam Al-Quran dengan penuh keikhlasan hati- bersungguh-sungguh dalam hal ketaatan padaNya ,meletakkan dan mengutamakan Allah dalam semua aspek
    • benar-benar menyakini Al-Quran sebagai pemisah antara hak dan batil...tiada secebis keraguan dalam jiwa. Al-Quran adalah kebenaran dari Allah, tidak dapat disanggah lagi!! Keyakinan ini menghunjam dikalbu sehingga ia mempengaruhi persepsi diri tentang hidup ini....dunia adalah sementara sahaja, akhiratlah yang kekal abadi. Dengan keyakinan yang mendasari jiwa ini, mereka nampak matlamat akhir hidup ini....apa yang dibuat menjurus kearah ini! Sungguh hebat transformasi diri yang berlaku akibat dari keyakinan ini!
         Umat Islam sekarang ketandusan jiwa dan akhlak mulia yang syumul....tiada contoh unggul seperti sahabat generasi Al-Quran yang unik. Masyarakat bukan Islam tidak tertarik kepada Islam melalui contoh yang dipaparkan.....mereka kebanyakan masuk Islam kerana meneliti dan mengkaji Al-Quran yang mulia...! Contoh akhlak mulia ini sudah hilang dari diri umat Islam...syahsiah mereka bercampur aduk, tiada pemisah yang jelas antara Islam dan bukan Islam! Pelaksanaan Islam dalam diri kucar kacir....tidak mempamirkan yang benar-benar yang Islam kehendaki! 
        Contoh yang sangat jelas berlaku dalam realiti sekarang..... sebagai contoh lihatlah cara tutup aurat wanita Islam, berbagai-bagai cara dan fesyen terkini, sehingga minima yang dibenarkan dalam Islam tidak dipraktikan! Tudungnya yang singkat, mengikut bentuk tubuh, jarang,  menarik perhatian, pakaian yang ketat, lengan nampak separuh, bersolek ....unsur-unsur tabarruj yang terlarang nyata kelihatan. Itu baru satu aspek fizikal...belum lagi sentuh akhlak diri..... Memang kita umat islam ini benar-benar ketandusan akhlak tidak seperti akhlak Al-Quran ! Sewajarnya kita kembali meneliti balik apa yang Allah kehendaki dari kita .....bukan ambil ikut hawa nafsu kita! Sakit mata memandang dan tidak terpelihara pandangan mata kita bila keluar dalam masyarakat. Jadi bagaimana nak jaga hati kita bila pandangan mata kita liar? 
          Jadi bagaimanakah kita yang mengaku masyarakat muslim akan mendapat rahmat dan barokah Allah? Kita tidak jaga apa yang Allah suruh jaga! Wanita diamanahkan pada kaum lelaki untuk mendidiknya....jadi para-para suami, para-para ayah, abang-abang di wajibkan untuk mendidik dan menjaga urusan wanita ini....bukan lepas tangan ...mereka perlu dididik oleh lelaki beriman! Dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan di dunia ini adalah wanita yang solehah!! 
         Sebenarnya bukan mudah nak bangunkan Akhlak Islam dalam diri jika tiada kesungguhan. Kesungguhan inilah yang hilang dalam hati kerana banyak sangat alasan diri, tidak mampu dan tak sanggup berkorban, tipis iman, kurang keikhlasan..........
         Jadi kita sama-samalah muhasabah diri kita.....adakah kehendak hati kita selaras dengan kehendak Allah? Sejauhmana kita dah  mula kembali ke ajaran Allah? Atau kita masih bertangguh lagi? 
    Masa tetap berlalu, tidak menunggu kita..........wajarkah kita masih berpeluk tubuh dan tidak mengorak langkah?  Sama-samalah kita fikirkan!! 

    Monday, October 11, 2010

    Perkara-perkara yang menghalang mendekatkan diri pada Allah.

         Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya Minhajul Abidin menyenaraikan empat ujian yang menghalang manusia mendekatkan diri pada Allah......iaitu
    1. Dunia- menghancurkan ramai manusia dengan kelazatan dan keindahannya. Ramai manusia menjadi tidak normal hari ini kerana mengejar glamor. Ramai manusia tertipu dengan dunia yang menggoda. Ramai manusia yang tewas diri kerana cintanya pada nikmat dunia....sanggup berbuat apa saja asal hajat tercapai.
    2. Manusia-  kadangkala jadi penghalang kebaikan...Contohnya suami yang tidak bertanggungjawab yang selalu mendera isteri dan anak-anak.... Mengabaikan tanggungjawab rumahtangga sehingga anak isteri terbiar! Pemimpin dan ketua yang sering  menyalahgunakan kuasa juga jadi menghalang kepada kebaikan...menggunakan posisi untuk kepentingan diri...tidak fikir akan orang lain.
    3. Hawa nafsu- tidak dapat dipisahkan dari manusia. Nafsu yang tidak terkendali menukar manusia jadi haiwan yang tidak memahami erti tanggungjawab. Menuruti hawa nafsu bererti menempah kebinasaan kerana hawa nafsu tidak mengenal erti puas dan batas-batas yang dibolehkan. Jika nafsu dituruti dan diikuti, badan jadi lesu, jiwa jadi lemah.....tiada jati diri mudah saja menuruti apa saja.
    4. Syaitan- merupakan musuh yang nyata bagi manusia yang mana ia bersumpah dengan Allah untuk menghancurkan semua manusia tidak kira siapa pun. Tidak akan berhenti selagi misinya tidak tercapai!!
      Jadi bagi kita yang ingin kembali pada Allah SWT perlu berwaspada terhadap ujian-ujian ini. Hati jangan dibiarkan tergoda oleh ujian-ujian  ini, kelak jiwa akan sakit dan menderita...! Mencegah lebih baik dari mengubati hati yang sakit! Usaha dan keazaman yang kuat perlu di buat untuk mengubati jiwa yang sakit ini....
    Mengenai Hati , menurut Ibnul Qaiyyim......
    • Didalam hati manusia terdapat kekuatan- tidak akan terurai kecuali menerima kehendak Allah
    • Didalam hati ada keganasan- tidak hilang kecuali berjinak dengan Allah
    • Didalam hati ada kesedihan- akan terlerai dengan menyukai dan berhubung baik dengan Allah.
    • Didalam hati ada kegelisahan- akan tenang dan damai jika berjumpa dan berlari mendapatkanNya.
    • Didalam hati ada api penyesalan- tidak akan padam kecuali dengan redha pada suruhan, larangan, qadha dan sentiasa sabar sehingga menemuiNya.
    • Didalam hati ada hajat- tidak akan terbendung kecuali dengan kecintaan pada Allah SWT, memohon padaNya, ikhlas dan sentiasa berzikir padaNya.  
        Hati ibarat raja dalam badan, jika baik hati, baiklah seluruh anggota badan tersebut. Jadi perlulah kita jaga hati kita lebih dari yang lain! Dengan hati inilah kita merasai nikmat dan manisnya iman, dengan hati juga kita merasai kesengsaraan jiwa! Dan hati ini jugalah yang akan menghadap Allah SWT nanti.
    Dan di atas dunia ini tiada bejana atau bekas yang Allah lebih cintai melainkan hati yang paling bersih dalam keyakinan, paling lembut dengan saudaranya dan paling keras dengan musuh Allah. Jadi proses tarbiyah dan pembersihan hati ini perlu kita lakukan sentiasa....supaya hati kita dapat hidup sihat sejahtera! Hati yang sejahtera inilah yang merasai hakikat kebahagiaan sebenarnya!!    

    Sunday, October 10, 2010

    Umur yang barakah....

         Hari demi hari berlalu.....begitu cepat sekali....sedar-sedar kita dah semakin berusia, umur semakin bertambah sedangkan hayat kita berkurang. Rasanya perjalanan kehidupan ini yang begitu pantas berlalu menyedarkan kita....apa yang dah ku perbuat selama ini? Bagaimana telah ku habiskan umur ku ini?  Atau mungkin kita tidak peduli langsung......aku sudah dapat apa yang dicita-citakan...kaya-raya, hidup senang tiada masalah kewangan.....puas dengan hidup ini?? 
          Adakah kita sedari sebenarnya umur kita ini  adalah modal....sama seperti modal untuk berniaga...tanpa modal kita tidak dapat menjalankan perniagaan untuk meraih keuntungan. Jadi umur ini juga adalah modal untuk perniagaan akhirat... kita perlu menggunakan sebaik-baiknya umur kita yang merupakan kurniaan Allah ini bagi kita untuk meraih keuntungan nanti dihari akhirat! 
            Jadi umur kita ini mestilah kita gunakan secara optimum....ia tidak boleh dipersia-siakan! Tapi malangnya itulah yang sering berlaku samada sedar atau tidak!! Kita sangat sensitif tentang pembaziran wang ringgit kita, harta benda kita.....tapi adakah kita sensitif dengan pembaziran umur dan masa kita? Banyak masa dari umur kita dibazirkan dengan aktiviti melalaikan seperti perbualan kosong, melayari internet berjam-jam, chatting, facebook, main game komputer, bergayut di telefon, window shopping......nak disenaraikan terlalu banyak!! Kita tak rasa bersalah dan rasa rugi pun berbuat demikian......kita bazirkan masa bermakna kita bazirkan usia kita!
            Apabila umur dibazirkan, ia tidak akan kembali lagi....wang yang dibazirkan dapat di cari ganti.
    Umur ini umpama harta, bukan banyak yang jadi perhitungan tetapi keberkatannya! Harta yang  berkat....sedikitnya mencukupi, banyaknya dapat diagih-agihkan. Begitu juga umur yang berkat, pendeknya bermanfaat, panjangnya melimpahkan kebaktian! Janganlah kita jadi seperti orang Yahudi, mengharapkan umur panjang kerana rakus terhadap dunia.
            Firman Allah dalam surah Al-Baqarah : 96 yang bermaksud......
    " Dan sungguh kamu akan dapati mereka manusia paling tamak terhadap kehidupan dunia, bahkan lebih tamak daripada orang Musyrik.  Masing-masing mereka ingin supaya diberi umur seribu tahun, padahal umur yang panjang itu tidak sekali-kali akan menjauhkannya daripada seksa.  Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan." 
           Perbandingan dari Al Quran tentang masa  di dunia dan akhirat: 1 hari di akhirat adalah bersamaan
    1000 tahun di dunia. Jadi jika umur kita hanya setakat 63 tahun di dunia itu adalah bersamaan satu jam setengah diakhirat!! Sama seperti masa kita menjawab soalan peperiksaan objektif 50 soalan! Jadi apalah sangat dengan masa sependek itu. Memang benar pun hidup kita seolah-olah sedang  menghadapi ujian/peperiksaan yang masanya amat pendek. Jadi wajar ke kita main-main, buang masa, mengelamun bila sedang menghadapi peperiksaan/ujian? Kesannya kita akan gagal dan kecewa! Tapi bagi mereka yang perihatin tentang ujian  ini, setiap soalan akan dibaca dan dijawab dengan teliti, masa digunakan sebaik-baiknya, sering perhatikan masa agar sempat buat semua soalan dengan baik!  Begitulah sepatutnya sikap kita sebagai seorang Muslim! Sentiasa meneliti akan bagaimana umur ini di habiskan.  Inilah hakikat yang diungkap oleh Imam Syafie dalam syairnya...
          Sangat aneh melihat masa berlalu terlalu laju
          Lebih aneh lagi sikap manusia yang melalaikannya
    Sahabat Nabi Abdullah bin Masud pernah berkata....
          "Aku tidak pernah menyesali sesuatu...
            seperti penyesalanku ketika matahari terbenam..
            yang saat umurku berkurang
            Namun amalku tidak bertambah!
    Kita telitilah hati kita....sama ke rasa hati sebagaimana sahabat ini? Jika kita tiada rasa sesal di jiwa......ada sesuatu yang tidak kena pada kita! Perlu buat sesuatu.....hati kita yang tidak sensitif ini merupakan simptom jiwa kita ada penyakit hati!
          Jadi tambahkan keberkatan dan panjang umur kita dengan benar-benar menambah kuantiti umur melalui amalan yang dianjurkan , menambahkan kualiti umur dengan mengisi padat dengan amalan yang berganda pahala dan melakukan amal jariah yang sentiasa hidup walaupun kita sudah mati. Setiap hari dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya tanpa bertangguh. Setiap hari juga adalah  penghidupan baru, hari esok tidak pasti dan tidak ditunggu. Tiada hari esok bermakna tiada kata tangguh. Lakukan pada hari ini juga!!  Inilah semangat yang ada pada sahabat Rasulullah saw. 
         Jadi kita perlu perihatin akan diri kita, bagaimana umur ini dihabiskan....untuk ketaatan pada Allah atau untuk menderhakaiNya?  Apapun kita perbuat...kitalah yang akan menanggung risikonya nanti....
    Sanggupkah kita menanggungnya? Tepuk dada tanyalah iman dijiwa....aku ini benar-benar ke yakin dengan janji Allah ini? 

    Thursday, October 07, 2010

    Mengharaplah.......hanya pada Allah!



          Ke manapun kita hadapkan wajah kita.....pandangan mata dan pandangan hati kita...sebenarnya kita tidak terlepas dari pandangan Allah SWT.  Allah sentiasa bersama-sama kita jua sama ada kita seorang diri, bersama orang ramai........di tempat sunyi dan gelap ataupun tempat terang. Jadi sudah sewajarnyalah kita takut pada Allah yang sentiasa Maha Melihat dan Menyaksikan segala apa yang kita perbuat. Perlulah kita bersegera melaksanakan suruhanNya dan menjauhi laranganNya.........kita sentiasa ingat akan ikrar kita setiap kali kita solat......sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah SWT!! Seluruh pengharapan kita sebagai manusia yang hidup di dunia ini.... perlulah hanya pada Allah!!
         Mengapa kita perlu mengharap hanya pada Allah sahaja? Bukan pada manusia.......anak kita, suami atau isteri kita, ibu atau ayah kita?? Dari Ibnu Taimiyyah mengatakan..." Hati manusia ini secara tabiinya memang sudah dijadikan untuk berhajat pada Allah kerana dua sebab iaitu untuk beribadah dan berserah diri pada penciptaNya. Hati tidak akan jadi baik dan berjaya, selesa dan gembira, tidak bersih dan tenang selagi belum sepenuhnya beribadah menyembah Allah dan sepenuh cinta berpaut padaNya."
       Firman Allah dalam surah Al-Fatihah yang bermaksud......
       "Sesungguhnya hanya Engkau yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan."
    Inilah ikrar kita setiap kali kita solat.......adakah kita menyedari makna ikrar ini? Sudahkah kita melaksanakan apa yang kita ikrarkan?
     Apabila kita ikhlaskan seluruh hidup ini untuk ubudiyyah hanya pada Allah, akan tersingkaplah hijab dari hati kita................
    Kita akan mengenali siapa diri kita ini.....
    Kita akan menemui rahsia kewujudan diri kita ini....
    Kita akan merasai kebahagiaan rohani dalam hati ini.....
    Kita akan merasai kemanisan iman.....
    Apabila kita mengenali Allah dan mengutamakanNya lebih dari yang lain!!
          Dari Ibnu Qaiyyim.." Tiada yang lebih disukai oleh hati, melainkan suka pada penciptaNya kerana Allah memelihara dan mentadbir segala urusanNya........
    Allahlah Maha pemberi rezeki.......
    Allahlah yang menghidupkan dan mematikan...
    Cinta pada Allah adalah kebahagiaan pada semua jiwa...
    Cinta pada Allah adalah kehidupan bagi roh, makanan setiap hati dan cahaya bagi akal dan mata!!
        Imam Fakhrur-Razi mengatakan.." Orang yang memahami akan faedah ibadah pada Allah akan senang melakukan ibadah dan merasa berat untuk mementingkan orang lain selain Allah SWT."
    Hati yang sihat sejahtera memahami hakikat ibadah iaitu......
    Ibadah merupakan perkara sempurna yang memberi kebaikan untuk kehidupan dunia dan akhirat...
    Ibadah merupakan amanah terbesar dari Allah......
    Ibadah bererti mengeluarkan diri dari kesibukan memenuhi keperluan diri kepada matlamat keredaan Allah dan berpindah dari alam tipu daya dan khayalan kepada alam kehidupan sebenar yang membahagiakan.
          Firman Allah dalam surah Al-Ahzab :72 yang bermaksud....
         "Sesungguhnya Kami(Allah) telah mempelawakan amanah(tugas beribadah) kepada isi langit dan bumi serta bukit bukau, semuanya enggan memikul beban dan merasa takut hendak memikulnya, tetapi manusia sanggup memikulnya."      
        Manusia yang Allah jadikan dengan serba kelemahan sanggup memikul amanahNya kerana hati manusia yang Allah jadikan telah ada persediaan untuk itu.  Memenuhi amanah yang beri merupakan kesempurnaan yang digemari oleh hati yang sejahtera.....!!
     Dan apabila amanah Allah kita pelihara dengan baik......
    Allah akan memelihara kita .........
    Allah tidak akan membiar dan melupakan hambaNya yang memelihara amanahNya!
    Apabila kita mengharap pada Allah atas segala sesuatu..........
    Allah tidak akan mengecewakan kita!!
    Apabila kita memohon pertolongan dari Allah......
    Allah dekat dengan kita dan mendengarkan rintihan hati kita!
    Apabila kita redha dan pasrah padaNya....
    Keredhaan Allah atas diri kita!
       Justru itu, apa lagi yang kita kehendaki dari kehidupan ini.....selain ini! Kehidupan sebenarnya bagi manusia apabila seluruh hati, jiwa dan raganya di hadapkan kepada pencipta kita.....yang menginginkan kebahagiaan bagi kita...dan menunjukkan kepada kita jalan mencapai kebahagiaan!  

    Rujukan buku Tazkirah untuk Remaja
     Anak-anakku, berjuanglah oleh Ummu Anas

    Wednesday, October 06, 2010

    Belajarlah untuk mendapat kegembiraan hati......

            Perasaan gembira, tenteram dan ketenangan hati merupakan di antara nikmat yang paling besar......kerana dalam kegembiraan terdapat keteguhan fikiran, produktiviti yang bagus dan keriangan jiwa.  Apabila kita bangun di pagi hari......kita perlu mencari sebab untuk rasa gembira pada hari itu walaupun terdapat berbagai masalah meliputi diri.....
           Sesiapa yang mengetahui cara memperoleh, merasai dan menikmati kegembiraan akan dapat memanfaatkan pelbagai nikmat dan kemudahan hidup sama ada yang ada di hadapannya atau yang masih jauh dibelakangnya. Dan kegembiraan merupakan seni yang dapat dipelajari......
          Hakikatnya hati yang lembik, lemah azam, lemah semangat dan selalu gelisah akan selalu dirundung kecemasan dan kebimbangan. Jadi, jika kita bersabar dan bertahan di atas segala benturan, tekanan dan kegoncangan yang melanda diri, segalanya akan terasa ringan.
         Untuk hati gembira dan tenang selalu, perlulah mengawal dan menjaga fikiran supaya tidak bingung dan buntu. Jika tidak, keadaan jadi tidak terkawal, dan fail-fail kesedihan masa lalu akan terbuka semula, menghidupkan luka lama dan membisikkan masa depan yang mencengkam. Tubuh jadi gementar, sahsiah diri goyah dan perasaan terbakar.  Berserahlah pada Allah yang Maha hidup diatas segalanya!! Kasihanilah diri sendiri......kerana kita tidak boleh mengharapkan orang lain mengasihani diri kita!!
              Di samping itu, untuk mendapat kegembiraan diri, perlu menempatkan hidup ini sesuai dengan bahagian dan tempatnya.... perlu lah mencari jalan-jalan untuk kita rasa gembira dan bahagia.....kebahagiaan itu tidak datang dengan sendirinya tanpa usaha dan hanya menyerahkan diri pada takdir! Sebagai seorang Muslim...kita hanya berserah pada takdir setelah kita berusaha dahulu! Sebagai contohnya....dalam mencari jodoh kita di suruh memilih pasangan yang baik dan soleh sebagai teman hidup kita ....dan berdoa serta berserah pada Allah untuk pilihan dibuat! Bukan hanya berserah bulat-bulat tanpa ada usha untuk mengenal latar belakang dan hati budi sesaorang! Kita menempah kesengsaraan sebelum kita berbuat apa-apa lagi!
             Hakikatnya keindahan hidup di dunia ini sering palsu, janji-janjinya adalah fatamorgana belaka apa  pun yang dilahirkan sentiasa berakhir dengan ketiadaan......semuanya adalah kosong belaka! Tiada yang dapat diharapkan ....melainkan kecundang! Itulah dunia dan segala tipu dayanya....dan kita disurah awas dengan dunia yang menipu serta perangkap-perangkapnya. Bagi orang Mukmin dunia ini di tangannya,  bukan di hatinya.......!  
            Orang yang bijaksana, cerdik dan waspada tidak akan mudah menyerah pada kesengsaraan , kesusahan ,kecemasan dan kesedihan dalam hidupnya......sebaliknya harus melawan dengan seluruh kekuatan yang Allah anugerahkan dalam dirinya ....ia tidak menyerah begitu sahaja pada takdir!
    Jadi.....ceriakan hari ini dengan senyuman gembira..........
    Gembira kerana masih diberi peluang oleh Allah untuk hidup hari ini......
    Gembira kerana masih berpeluang untuk bertaubat....
    Gembira kerana masih berpeluang untuk berbuat amal soleh..
    Gembira kerana masih dapat memperbaiki diri...
    Gembira kerana masih dapat menikmati keindahan alam ini...
    Gembira kerana masih dapat mensyukuri nikmatnya.......
      Sebenarnya semua orang sangat memerlukan pada senyuman, wajah yang berseri, hati yang lapang, akhlak yang menawan, jiwa yang lembut dan pembawaan yang tidak kasar......
    Semua ini boleh diusahakan dalam diri dengan tarbiah jiwa yang beterusan.....dan doa pada Allah selalu!!

     Dari La Tahzan

    Monday, October 04, 2010

    Kerendahan hati pada Allah......

           Apabila kita mendekati ayat-ayat Allah atau menerima saranan-saranan untuk tunduk dan patuh pada perintah Allah.....hati kita perlu ada sifat kerendahan (tawaddhu') untuk menerimanya. Rendah hati untuk menerima kalimah Allah yang tinggi........tiada sedikit pun sifat ego atau sombong diri yang terselit di jiwa! Secebis sifat ego (sombong atau takabbur) ini akan menyebabkan hati susah nak tunduk dan tidak bersedia untuk kembali pada Allah! Firman Allah dalam surah Al-Mukmin :35 yang bermaksud.........
    " Dan demikianlah Allah mengunci mati hati orang -orang sombong dan sewenang-wenangnya."
    Bila kita ego atau sombong........hidayah Allah susah lekat di jiwa.....perlu di buang dan dikikis habis dalam diri.......perlu ada kesungguhan nak buang sifat ini !!
           Jiwa manusia memang pada dasarnya ada sifat ego ini untuk survival diri......tapi sifat ini tidak boleh ada pada diri kita untuk menjadi hamba pada Allah SWT. Keegoan kita ini akan menghalang sesaorang untuk meneliti kelemahan diri sendiri......rasa diri dah sempurna, tak perlu terima teguran atau bimbingan orang lain! Bila ada rasa hati sebeginilah yang menyebabkan kita akan nampak banyak kelemahan dan kesalahan orang lain berbanding diri kita........! Hakikatnya manusia tiada yang sempurna melainkan Allah SWT sahaja!!
       Rasulullah saw bersabda, “Bahwa Allah swt. telah berfirman (dalam Hadis Qudsi):
    ‘Keagungan adalah sarungKu dan Kebesaran adalah selendangKu. Siapa yang meniru Ku dalam dua sifat itu, maka dia akan Ku binasakan’.”
        Semua manusia tidak sunyi dari cacat cela masing-masing......maka apakah yang perlu dibanggakan sangat dengan kelebihan diri seperti kepandaian, berharta, cantik, keturunan mulia, berilmu tinggi seperti mempunyai Masters, PHD........ semuanya adalah pinjaman Allah kepada kita bukan hak kita pun untuk kita bangga? 
        Kadang-kadang kita lihat dalam masyarakat kita, kelas atas tidak boleh bergaul dengan orang bawah...perlu ada protokol tertentu......., yang kaya rasa diri mulia dan menuntut untuk di hormati dan tidak mahu duduk semeja dengan si miskin, begitu juga yang berilmu, berpangkat dan berkedudukan tinggi ....... cakap pun besar dan ada gaya tersendiri dan macam-macam lagi..... ...........adakah Allah menetapkan protokol sedemikian?? Di sisi Allah yang paling mulia adalah yang paling bertakwa!
        Rasulullah saw bersabda,
    “Sesungguhnya Allah tidak mau memandang kepada orang yang memanjangkan pakaiannya sebagai wujud kesombongan. “
    “Barangsiapa yang meninggikan dirinya dan sombong dalam berjalan, maka dia akan menemui Allah, sedang Dia murka kepadanya."
        Maka perlulah insaf diri kita ini hanyalah manusia hina dan kerdil di sisiNya......disebalik pakaian dan hiasan diri kita yang mungkin berbeza, kita ini adalah sama saja.......keturunan Adam dan Hawa di mana darah yang mengalir sama warna merahnya!! Apakah untungnya kita berbangga?? Adakah kita boleh menongkat langit dan merentasi awan?....Manusia pada hakikatnya memang sebenarnya mudah lupa diri sendiri dan sombong bila sudah dapat nikmat Allah! 
         Sabda Rasulullah saw,
    "Allah swt. berfirman kepada Nabi Musa as, ‘Sesungguhnya Aku hanya menerima solat hambaKu yang tawaddhu’ kepada keagunganKu, tidak menyombongkan diri kepada makhlukKu, selalu mengaitkan hatinya dengan rasa takut kepadaKu, menghabiskan siangnya dengan dzikir kepadaKu dan mengekang nafsunya demi Aku’."
    “Tawadhu’ itu tidak akan menambah derajat hamba, kecuali Allah meninggikan derajat itu. Maka, bertawaddhu’lah kamu sekalian, niscaya Allah akan mencintai kalian.”
      Perlulah selalu kita muhasabah diri kita ini, adakah kita mempunyai sifat ego atau sombong ini? Bila kita ego, kita tidak mahu menerima teguran yang baik, cepat melenting dan marah..... hanya orang tertentu saja yang boleh tegur kita....kita merendah-rendahkan orang lain dan cakap kita saja yang betul. Ego atau sombong ini adalah satu dosa besar. Kerana sifat inilah iblis dilaknat Allah kerana keengganannya untuk sujud pada Nabi Adam kerana sombong dengan kejadian nya yang dirasakan lebih baik dari Nabi Adam! Jadi sama-samalah kita takut pada laknat Allah SWT ini kerana sifat ego ini. 
         Sabda Rasulullah saw yang bermaksud, 
    “Takabur, muncul dari masa bodoh terhadap kebenaran, menganggap rendah manusia, dan merasa lebih benar. Takabur menutup pintu kebahagiaan, begitu juga merendahkan makhluk.”
      Sebagian sufi berkata sesungguhnya Allah swt. menyembunyikan tiga perkara dalam tiga hal:
    1) Menyembunyikan ridhaNya dalam ketaatan kepadaNya. Maka, janganlah merendahkan sedikit pun terhadap taat, siapa tahu ridha Allah ada di dalamnya.
    2) Menyembunyikan murkaNya dalam maksiat kepadaNya, maka janganlah meremehkan sekecil apa pun maksiat itu, barangkali di dalamnya tersembunyi murkaNya.
    3) Menyembunyikan kewalian dalam diri hamba-hambaNya, maka janganlah merendahkan seseorang, siapa tahu orang itu wali Allah swt.
       Sombong atau takabur dapat menghalangi sesaorang dari akhlak mulia dan terpuji kerana orang yang sombong dan takabbur tidak akan pernah merasa mencintai orang lain sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.
       Orang yang sombong tidak akan mampu merendah diri, meninggalkan kedengkiannya dan amarahnya kerana daya ketahanan dirinya kurang, kasar dalam bicara, dan tidak mampu meninggalkan riya’. Jadi umumnya setiap perlakuan keji dan tercela senantiasa dilalui oleh orang takabur, dan tidak ada perilaku terpuji, kecuali mesti meninggalkan sifat takabur tersebut.
        Sama-samalah kita berdoa agar Allah menjauhkan diri kita dari sifat takabbur ini yang merosak jiwa dan amalan kita, mendapat murka Allah dan tidak akan dimasukkan ke syurga walau ada secebis sifat takabbur dan ego ini dalam diri. 
            Rendahkan hati kita pada Allah dan pada orang-orang yang beriman, dan perbaikilah diri selalu...........
           Perlu kita insafi siapa diri kita sebenarnya.......runtuhkanlah tembok keegoan dan sombong diri dengan selalu mengenangkan saat kematian kita ..........selalu mengenangkan masa hadapan kita di manakah tempat kita nanti , adakah bahagia atau celaka, surga atau neraka..............!!!

    Friday, October 01, 2010

    Sikap mukmin yang benar dalam menghadapi ujian......

    1.   Dalam  hidup ini, kita sentiasa diuji dan teruji. Walau siapa pun dia, miskin atau kaya, tua atau muda......semua akan merasainya....kenapa demikian? Firman Allah dalam surah Al-Ankabut : 2-3 yang bermaksud....     "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan begitu sahaja dan mengatakan, 'kami beriman', sedangkan mereka belum di uji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."


     2.   Dalam hidup ini,  seringkali kita tidak beroleh apa yang kita hajati dan kita harapkan. Cita-cita kita, kehendak hati kita tidak dapat direalisasikan. Lain yang dihajati.....lain pula  yang kita dapat, sehingga kadang-kadang timbul rasa tidak puas hati dalam diri.....kenapa aku tidak beroleh apa yang aku harapkan?
    Firman Allah dalam surah Al-Baqarah:216 yang bermaksud......
         " Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia sangat baik bagi kamu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia sangat buruk bagi kamu, Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui."     
    Maka yakinilah dengan apa yang Allah telah kurniakan padamu, reda dan pasrahlah!  Pujukilah hati ,ini yang terbaik  bagiku.....!

    3.   Ujian yang dihadapi kadang-kadang terlalu berat untuk dipikul......lemah longlai  rasa diri....pedih, sakit dan mencengkam perasaan...aduh kenapa jadi begini...kenapa aku diuji seberat ini? Aku lemah Ya Allah, tidak tertahan rasanya..........Renungilah firman Allah dalam surah Al-Baqarah:286 yang bermaksud.....
          " Allah tidak akan membebani sesaorang itu sesuai dengan kesanggupannya."
    Jadi kembali padaNya merendahkan hati memohon pertolongan supaya mampu menghadapi ujian......

    4.   Kekecewaan kadang-kadang membuatkan  diri rasa tidak dapat di tolongi lagi, buntu dan hilang semangat untuk hidup.........detik-detik masa berlalu begitu perlahan, diisi masa dengan hanya bersedih  dan bermenungan memikirkan masalah yang menimpa.............  
    Ingatlah firman Allah dalam surah Ali- Imran:139 yang bermaksud.....
        " Janganlah kamu bersikap lemah dan jangan pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang yang beriman."
     Ayuh bingkaslah bangun....dari kekecewaanmu....Allah masih menyayangimu! Kembalilah padaNya....
    Dia Maha Pengasih lagi Maha Penyayang!!


     5.   Bagaimana cara sebaik-baiknya untuk menghadapi ujian? Apa yang harus ku lakukan......meluah perasaan pada manusia, menangis, merintih, mengurung diri dan bermuram durja? Akan selesai masalah dengan berbuat sedemikian......mungkin akan menambah masalah yang sedia ada!!
     Allah telah menggariskan cara-cara yang terbaik........
    FirmanNya dalam surah Ali-Imran : 200 yang bermaksud...
       "Wahai orang-orang yang beriman,bersabarlah kamu (dalam menghadapi kesukaran), dan kuatkanlah kesabaranmu lebih dari kesabaran musuh di medan peperangan, dan bersedialah dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu mencapai kemenangan."
    Firman Allah lagi dalam surah Al-Baqarah:45 yang bermaksud......
         " Dan mintalah pertolongan Allah dengan jalan sabar dan solat, sesungguhnya solat itu sangat berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk."
    Benarlah firmanNya.....sabar dan solat.......jalan keluar dari masalah.....ingatlah hanya dengan mengingati Allah hati akan jadi tenang!!

    6.    Setelah melalui ujian kehidupan ini, apakah yang ku perolehi dari semua ini? Wang ringgit, kesenangan, kepuasan atau kesengsaraan.........? Jika kita redo dan pasrah, akan beroleh lebih baik dari itu......bukan di dunia ini...tapi di akhirat sana! Yakinilah......Balasan Allah balasan yang terbaik!
    FirmanNya dalam surah At-Taubah:111 yang bermaksud....
         " Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka."

    7.    Apabila melalui ujian hidup yang berat ini.....kadang-kadang rasa tidak tertahan, rasa macam nak pecah dada, rasa macam nak mati.....tidak tertanggung rasanya....rasa putus asa? Renungilah firman Allah dalam surah Yusuf : 12 yang bermaksud......
          "......dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa daripada rahmatnya melainkan kaum yang kafir....."

    8.    Bila pengharapan ditujukan pada manusia, manusia sering mengecewakan.....  janganlah mengharap pada manusia untuk simpati dan menyelesaikan masalah kita....kadang-kadang bukan simpati yang dapat, malah cacian dan umpatan....
     Firman Allah dalam surah At-Taubah: 129  yang bermaksud......
          " Cukuplah Allah bagiku, tiada Tuhan selain daripadaNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal."
    Jadi berharaplah pada Allah dalam segala hal....hanya Allah tempat kita mengadu segala kesusahan diri dan masalah kita. Dan hanya Dia sahaja yang dapat membantu kita......Kembalilah pada Allah......!! 

    Bila kita teruji dan diuji....... pengembalian diri kita pada Allah merupakan jalan terbaik.....tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan bila kita kembali pada Allah......
    Inilah jalan kita......bila kita beriman dan bertakwa pada Allah!!





    Hakikat hidup ini...

    Siapa yang gemar membantu orang, Maka hidupnya senantiasa dipermudahkan. Siapa yang memiliki sikap belas ihsan, Maka akan disayang sesa...